Tuesday, June 29, 2004

Selepas Konsert-3 AF2

Ada yang bertanya kenapa aku suka sangat menonton rancangan dimana muda-mudi melonjak-lonjak, terkinja-kinja, yang kemudiannya melelehkan airmata demi mengejar glamour?
Apa yang anda ingin lihat, itu lah yang anda nampak.
Ada yang melihat AF sekadar medan iklan bagi para penaja. Ada yang melihat AF hanya sebagai sebuah rancangan mencari bakat baru. Ada juga yang menganggap AF adalah fantasi yang dicipta bagi memuaskan keinginan penonton.

Persepsi manusia berbeza-beza. Dan bukan mudah untuk merubah persepsi seseorang. Sepertimana berbezanya warna rambut dan warna kulit setiap manusia, begitulah berbezanya minat setiap individu. Ada yang minat sukan, memancing, memasak dan sebagainya. Minat aku pula adalah dalam setiap cabang seni. Maka aku melihat AF sebagai sebuah rancangan untuk aku menimba ilmu seni. Murah. Aku tidak perlu berbelanja besar menghadiri kelas muzik atau kelas vokal untuk mengetahui apa itu falsetto, pitching, teknik pernafasan, dinamik suara, kaitan kawalan kemarahan dengan seni, dan sebagainya. Mungkin ada yang mengatakan ilmu seni itu tiada gunanya. Terpulang. Yang tidak suka rokok boleh menganggap merokok itu sekadar pembaziran, membakar duit. Yang tidak suka memancing boleh menganggap memancing itu hanya membuang masa, kerja orang yang suka berangan-angan. Usahlah begitu angkuh merasakan diri anda lebih class atau lebih intelek dari orang lain hanya kerana anda tidak suka menonton AF. Alangkah baiknya jika kita dapat menghormati minat masing-masing.

Selepas Konsert 3, pilihan Top-5 aku masih Farah, Kaer, Zahid, Zarina dan Linda.
Status AFUNDI - KOSONG

Friday, June 25, 2004

Imbasan

Aku sering mendengar nyanyiannya di karaoke. Ada-ada sahaja permintaannya. Up 2 keys lah, down one key lah. Kadang² aku malas layan. Dia minta maaf sebab menyusahkan aku. Tapi dia tak pernah marah aku. Buat² merajuk adalah. Kadang² kami berduet. Kadang² aku puji dia. Kadang² dia puji aku. Aku melihat dia menyertai pelbagai pertandingan nyanyian. Aku terpegun melihat dia menyanyi sambil menari lincah. Aku melihat dia gembira bila menang. Aku melihat dia sedih bila aku kalahkan dia (hehehehe..). Aku juga mendengar keluhannya bila dia gagal dalam ujibakat untuk satu rancangan hiburan popular suatu masa dahulu. "Aku tahu aku tak hensem" itu lah keluhannya. Tapi dia terus menyanyi. Samada untuk suka², atau untuk berlumba². Samada dengan iringan muzik, atau sekadar suaranya. Dia terus menyanyi.
Lama aku tidak bertemunya. Kali terakhir aku terserempak dengannya, di shopping complex beberapa hari selepas perkahwinanku. Aku menujukkan gambar² majlis perkahwinan yang baru saja dicuci, baru ambil dari kedai gambar. Dia tak puji pun gambar aku cantik. Tapi dia asyik puji Abang hensem aje. Ciss!! Aku tanya macamana keadaannya ketika itu. Katanya "Macam tu jugalah...". Tapi aku tahu, dia masih menyanyi. Seorang teman kata dia menyanyi di hotel. Ya, dia masih menyanyi.
Setahun kemudian, aku sedang mengadap TV. Wajahnya tiba² muncul. Betul ke itu dia? Betul ke dia dalam TV? Namanya tertera di bahagian bawah kaca TV. Tak salah lagi. Memang itu dia. Itulah kali pertama aku menonton rancangan itu. Dan aku terus setia menonton perkembangannya dari hari ke hari. Dan aku terus menghabiskan duit aku memastikan dia tidak tersingkir. Dan aku terus mengkayakan penerbit rancangan itu. Tak apalah. Aku mahu dia berjaya. Kerana sejak aku kenal dia, aku tau itu sajalah yang dia buat. MENYANYI.
Aku bertemunya lagi setelah dia kini dikenali ramai. Melihat dia di atas pentas, aku gembira. Suaranya, nyanyiannya dan personalitinya diterima. Wajahnya bukan lagi halangan untuk dia menyanyi. Ya, dia masih MENYANYI. Cuma kini dia tidak lagi menyanyi di karaoke atau sekadar di hotel lounge. Dia kini menyanyi di atas pentas, di kaca TV, di Brunei, di Indonesia. Dia dikelilingi peminat. Jika dulu aku berebut mikrofon dengannya, kini aku hanya mampu melihat dia conquer mikrofon sorang-sorang, dan aku hanya menyanyi dari bawah pentas bersama peminat²nya yang lain. Aku sangka dia sudah lupa pada aku. Tapi dia masih macam dulu. Sedikit tidak berubah.
"Sihat sekarang ko nyahh.." kata dia. (Ciss!!)
"Glamour ko sekarang nyahh.." kata aku.
"Ala..glamour nak buat apa.." kata dia.
Aku kurang pasti apa maksudnya.. Mungkin maksudnya, bukan glamour yang dia cari. Dia hanya ingin MENYANYI.

Monday, June 21, 2004

Selepas Konsert-2 AF2

Menitik juga airmata aku. Bukan kerana ada peserta yang tersingkir. Tapi bila melihat seorang ibu tunggal melepas rindu kepada dua anaknya yang masih kecil. Naluri keibuanku pastinya tersentuh membayangkan aku terpaksa berpisah dari Raha selama berbulan-bulan demi mengejar cita-cita.

Sekali lagi pihak-pihak tertentu telah mensensasikan kehidupan seorang wanita. Mungkin ramai yang simpati dan terharu dengan kecekalan ibu tunggal ini lantas mula mengundi sebanyak mungkin bagi memastikan ibu tunggal ini menjadi juara agar dapat membela kedua-dua anaknya. Aku tak pasti apa yang aku rasa. Adakah aku bangga kerana kisah seorang ibu tunggal yang masih muda mampu meretakkan hati berjuta penonton, atau adakah aku merasa sedih kerana sebegitu mudah cerita kepincangan rumahtangga seorang wanita dijual, dijadikan modal meraih undi dan untung?

Hari ini aku melihat peratus kedudukan Mas melonjak ke tangga teratas. Aku tak pasti adakah kerana bakat atau kerana simpati masyarakat. Walau apa pun sebabnya, pengundi-pengundi Mas pasti telah menyumbangkan banyak duit kepada pihak-pihak tertentu. Selepas ini Mas bakal menjadi bintang. Adakah itu menjamin masa depan Mas dan anak-anaknya? Bukankah Mas bakal sibuk menghiburkan mereka yang telahpun berhabisan mengundinya? Mewahkah kehidupan Mas nanti? Atau sekadar lebih kurang dengan pendapatan berniaga bersama bapanya? Senangkah kehidupan anak-anak Mas? Atau semakin jauh terpisah dengan ibu yang semakin sibuk dengan show dan jarang dapat pulang ke kampung untuk meluangkan masa dengan anak-anak?

Aku tak pasti dengan masa depan Mas. Aku tak pasti dengan nasib anak-anak Mas. Tapi aku pasti pengundi-pengundi Mas kena bayar bil telefon yang tinggi dalam 2-3 bulan ini. Dan aku pasti pihak-pihak tertentu tersenyum lebar nampak gigi.

Selepas Konsert 2, pilihan aku adalah Zahid, Zarina, Farah, Kaer dan Linda.
Status AFUNDI - KOSONG

Wednesday, June 16, 2004

Andai Raha nak masuk AF?

"kalaulah, 20 tahun akan datang, tiba-tiba anak kau Raha nak masuk AF. adakah kau nak sokong atau sebaliknya.

sekadar soalan.
saya "


Begitulah soalan yang aku terima dari seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai 'saya'.

Jawapan aku adalah - TIDAK. Sebagai seorang emak, pastinya aku inginkan yang terbaik untuk anak aku, dunia dan akhirat.

Bukan niat aku untuk mengatakan kehidupan seorang artis itu jelek, tetapi amat nyata dunia hiburan lebih banyak perkara negatif dari positif. Samada artis yang separuh bogel, artis yang berpakaian sopan hinggalah ke artis yang bertudung litup, mereka bukan sahaja boleh menjadi idola dan disayangi, namun mereka juga tidak dapat lari dari dibenci, digossip, difitnah dan diganggu kehidupan peribadi. Tiada privacy hinggakan cerita dalam seluar dalam pun menjadi bahan bualan masyarakat.

Mungkin anak aku sangat berbakat dan boleh jadi lebih kaya raya dari Siti Nurhaliza, dan aku pun boleh tumpang senang. Tetapi sebagai emak, aku lebih rela hidup sederhana. Aku lebih rela anak aku membenci aku kerana tidak membenarkan dia menjadi artis, kerana cuba melindungi kehidupannya, daripada membiarkan dia dibenci oleh masyarakat yang hanya membaca atau mendengar kisah² peribadinya dari akhbar, namun tidak pernah mengenalinya sejak dari dalam perut.

Sebenarnya terlalu banyak sebab-sebab yang boleh aku senaraikan. Terlalu banyak contoh di surat khabar, majalah dan ruang forum internet yang rasanya tak perlu aku ulas. Belum lagi masuk bab hukum-hakam agama yang terang² tidak menyebelahi.

Sebagai emak, hati mana yang tidak tercalar pedih jika anak yang kau bawa di dalam perut dari sebesar zarah, yang kau lahirkan kedunia dalam keadaan menyabung nyawa, yang kau tatang sepenuh jiwa, kau susukan hingga kenyang, kau ajarkan perkataan pertamanya, kau tatihkan langkah pertamanya, bila dewasa menjadi umpat cerca hanya kerana dia bergambar dengan seorang lelaki, atau hanya kerana dia TIDAK MAHU bergambar dengan seorang lelaki?

Walau seburuk mana perangainya, walau sehodoh mana wajahnya, walau sebodoh mana akalnya, dia tetap anak aku. Satu perkataan mengeji dia, bagai halilintar menyentap jantung aku, bagai seluruh langit menimpa dada aku.

Secara peribadi, aku tidak sekuat ibu Nana, Atie, Azza, Rosma, Liza dan Nija yang mampu memberi sokongan kepada anak² mereka untuk menceburi bidang ini. Aku tidak sekuat mereka yang mampu memekakkan telinga, membutakan mata, membisukan mulut, bila orang mengutuk mengata anak mereka di kaca TV dan di dada majalah. Aku takut aku tidak kuat memaut tangan anak aku agar dia tidak hanyut dibawa arus. Aku takut aku tidak mampu menariknya berdiri andai dia rebah menyembah bumi.

Yang lebih aku takut, jika aku tak mampu menjawab bila tiba masanya, DIA bertanya adakah aku menunaikan tanggungjawabku menjaga, melindungi dan mendidik AMANAH NYA dengan betul seperti mana yang DIA tuntut, seperti mana yang telah diajar oleh UTUSAN NYA, dan seperti mana yang difirmankan dalam QALAM NYA?

Monday, June 14, 2004

Selepas Konsert-1 AF2

Aku tak tau lah entah apa 'mandrem' Astro ni. Walaupun adakalanya aku menyampah tengok Diari Akademi yang banyak sangat promote tisu premier tu, walaupun aku benci Astro naikkan fee RM5 sebulan, walaupun aku tak suka dengan fenomena anak² Melayu yang macam kemaruk glamour menyertai uji-bakat sana sini untuk jadi artis, tapi aku tetap setia menonton Konsert AF2. Jangan kata konsert, ulangan konsert pun aku tengok.

Sebelum Diari AF bermula, pilihan aku adalah Linda. Linda seorang.
Selepas Konsert 1, pilihan aku adalah Kaer, Zarina dan Linda.

Kaer - selain dari muka dia yang cute, aksi dia yang macam orang blurr, suara dan nyanyian dia yang menarik tu, aku rasa aku terpengaruh dengan Ana, adik perempuan aku yang suka sangat dengan Kaer.

Zarina - Aku suka muka dia. Aku suka suara dia. Aku suka attitude dia (setakat hari ini lah). Mak aku suka dia, Abang pun suka dia (ternyata semangat kenegerian memainkan peranan). Yang pastinya, orang Malaysia memang suka gossip. Kisah cinta lama Zarina-Khai nampaknya menyumbang dalam mempopularkan (atau mungkin menjatuhkan) Zarina. Sebagai seorang perempuan, aku pun pernah bercinta, gagal bercinta, putus cinta, ditinggalkan kekasih dan meninggalkan kekasih. Bagi aku Zarina hanyalah melalui kehidupan biasa sebagai seorang remaja perempuan. Namun kisah 'cinta biasa' seorang 'gadis biasa' yang 'berbakat luar biasa' itu telah digunakan oleh pihak tertentu untuk meraih untung. Hebat betul cinta seorang perempuan.

Linda - bertenaga. Itulah satu perkataan yang dapat aku gambarkan mengenai vokal Linda pada Konsert 1. Dalam Diari AF juga aku melihat Linda tidak cuba mempromosikan tisu premier bagi meraih undi. Airmata memang dikatakan senjata wanita, namun airmata bukanlah tiket menjadikan seseorang wanita itu cemerlang. Airmata juga tidak menjanjikan kejayaan. Linda memberikan penumpuan penuh di dalam setiap kelas. Aku suka melihat keazaman, kerajinan dan kesungguhan begitu dalam diri seorang perempuan.

Status AFUNDI - KOSONG.
Aku masih berkira-kira. 1 SMS = 65 sen. 100 SMS = RM 65. Boleh beli 2 tin besar susu Raha. Aku masih kuat sebagai emak Raha.

Tuesday, June 08, 2004

Dah Demam?

Sebut aja "Dah Demam?", satu Malaysia tahu apa bendanya. Begitulah hebatnya team promosi Astro. Dengan 2 perkataan saja, mereka berjaya membuatkan peminat dunia hiburan Malaysia panas punggung.

Malah, aku sendiri mula mengenali dunia blog kerana 'demam' yang sama tahun lepas. Dari website Astro, aku lari ke blog sultanmuzaffar yang ternyata memberi ulasan lebih bernas dan membuka forum yang lebih intelek berbanding Astro sendiri. Sekalung tahniah buat SM, penulis blog berkenaan yang berjaya menarik minat ribuan pembaca terus mengikuti perkembangan Akademi Fantasia. Dan segunung terima kasih dariku secara peribadi kerana, dari situ lah tercetus keinginan aku untuk mempunyai blog sendiri.

Kini demam dah kembali. Belum pun seminggu bermula, ruangan forum AF dah diasak pelbagai gossip dan isu. Sindrom demam aku pun dah bermula seperti tidur lewat menonton ulangan Diari AF atau membaca ulasan di blog SM. Adik aku, Ana yang di Bangi tu pun dah tentu tiap-tiap minggu pasti ke rumah nak menonton konsert AF nanti. Dah nampak dah sindrom 'demam Kaer' pada adik aku tu. Ayat yang keluar dari mulut dia, asyik-asyik, "Comelnya Kaer..", "Sedapnya suara Kaer..".

Astro pun bukan main lagi 'demam'nya. Demam buat duit. Tak cukup dengan dengan sponsor² gergasinya musim ini, SMS yang bakal diterimanya, tiket konsert AF pun dijualnya kali ini. Itu belum termasuk subscription feenya yang dah naik RM5. Sudahnya poket peminat fanatik yang demam teruk payah nak kebah nanti.

Aku sendiri, untuk hari ini, detik ini, masih lagi bertahan untuk mengawal suhu badan aku. Kalau boleh tak mahu lagi SMS mengAFUNDI. nanti bil Celcom aku pula yang demam. Tapi itu untuk hari ini, detik ini lah. Besok aku tak tahu lagi. Hehehehe..

Wednesday, June 02, 2004

Telephone ada Kamera

-from my mailbox-

Aku dapat email ni minggu lepas. Best aje soalan dia.

"Siapa nak telefon ada kamera? Murah.. murah!!"

Haaa... sekali engkau..!!