Thursday, March 18, 2004

Album mini Azizi pelbagai jenis rentak

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

KEJAYAANNYA menduduki tempat ketiga di belakang Vince dan Khai pada musim pertama Akademi Fantasia (AF) tahun lalu memberikan ruang buat artis berbakat, Azizi, untuk merakamkan suara ke album.

Malah, ramai peminat rancangan itu beranggapan suara yang dimiliki jejaka berusia 28 tahun itu cukup bermutu dan selayaknya dia menjadi artis rakaman. Azizi sendiri bukan asing kepada dunia nyanyian kerana dia memang aktif menyanyi sejak dulu lagi.

Azizi yang berasal dari Pahang kini sibuk di studio untuk proses rakaman album pertamanya. Album itu bakal memuatkan lagu daripada beberapa komposer terkenal tanah air seperti Azmeer, Adnan Abu Hassan serta Adi Hassan.

“Insya-Allah, jika segala-galanya berjalan lancar, album ini akan turut mendapat sentuhan komposer terkemuka, Fauzi Marzuki,” kata Azizi ketika Persada Seni menemuinya sewaktu dia hadir memberikan sokongan kepada calon uji bakat Akademi Fantasia musim kedua di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Azizi hanya akan muncul dengan album mini sebagai percubaan pertamanya. Sebanyak enam lagu akan dimuatkan dalam album yang berkonsepkan muzik pelbagai itu.

“Saya tidak kisah sama ada saya muncul dengan album penuh atau album mini, kerana peluang merakamkan suara ke album itu sendiri sudah cukup memberi erti buat saya,” tegas Azizi yang peramah ini.

Katanya, menerusi album yang mungkin menggunakan judul Afundi itu, dia menyanyikan lagu-lagu berentak balada, R&B, rock dan lagu etnik yang diberikan sentuhan baru. Ia lebih kepada album percubaan untuk melihat sejauh mana dia mampu membawakan irama terbabit, di samping mencari kesesuaian untuknya, bagi projek rakaman selepas ini.

Album terbabit dijangka berada di kedai muzik seluruh negara mulai pertengahan April ini. Setakat ini, Azizi sudah pun merakamkan empat lagu. Album sulungnya itu memuatkan lima lagu baru di samping sebuah lagu lama yang diberikan nafas baru.

“Ia adalah album terima kasih saya kepada peminat dan mereka yang banyak memberikan sokongan buat saya selama ini. Saya benar-benar menghargai sokongan dan dorongan yang mereka berikan, sehingga saya boleh berada di sini hari ini,” kata Azizi.

Anak muda yang berbangga dengan AF, yang memberikannya banyak peluang keemasan dalam dunia seni, juga tidak terasa dirinya terpinggir daripada mendapat publisiti selepas berakhirnya tayangan AF musim pertama dulu.

Sebaliknya dia memberitahu, dia sentiasa menerima jemputan mengadakan persembahan di serata tempat di seluruh negara.

“Saya juga sentiasa cuba memenuhi permintaan para wartawan dan pihak media massa yang ingin menemubual saya atau mengadakan sesi fotografi bersama saya. Saya amat bersyukur dengan pelbagai publisiti yang mereka telah berikan untuk saya selama ini,” ujar Azizi.

Ditanya mengenai jodoh pula Azizi cepat-cepat memberitahu, buat waktu ini dia ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya dulu. Namun dia tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dalam waktu terdekat ini.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home