Friday, March 05, 2004

Bagai Tiada Lagi Istilah 'Rehat'

Masuk hari ni, baru 5 hari aku mula kerja semula selepas 2 bulan lebih bercuti. Tapi penatnya bukan kepalang. Abang pun macam tu juga. Dah 3 hari dia demam. Mungkin kami belum dapat menyesuaikan diri dengan rutin sekarang. Rutin baru sebagai emak dan abah Raha.
Kalau dulu, pukul 7 pagi pun belum tentu kami dah bangun tidur. Subuh pun selalu miss. Tapi sekarang, kalau rasa tak mahu bangun pun, dah tentu Raha akan kejutkan kami. Kalau tak pukul 5 pagi, pukul 6 pagi. Menyusu. Lepas solat, aku terus basuh baju. Baju sendiri boleh lah masuk washing machine, baju Raha kena lah aku basuh tangan. Lepas tu kena siapkan pakaian dan barang² Raha untuk dihantar ke rumah Kak Ika. Abang pula siapkan sarapan pagi. Kesian juga tengok Abang. Dulu jarang sekali dia pegang kuali dan sudip. Dulu kamilah pelanggan setia Padang Kota. Dulu hari² kami sarapan roti canai, roti telur, roti sardin dan apa sajalah jenis roti yang mamak tu jual. Dulu hari² kami baca surat khabar sambil bersarapan. Dulu ada saja berita akhbar yang menjadi bahan bebelan aku di kereta dalam perjalanan ke pejabat.
Tapi tu dulu. Sekarang kami dah jadi 'Mat Salleh', bukan tekak 'India' lagi. Sekarang hari² sarapan roti, nugget, frankfurter. Habis tu, dah itu saja yang paling mudah untuk Abang sediakan. Sekarang aku dah tak tau apa berita dalam atau luar negara sebab sekarang aku dah tak beli surat khabar. Parlimen dibubarkan pun aku tak tau, sampai lah aku ternampak tajuk utama akhbar di pejabat. Sekarang sepanjang perjalanan ke pejabat, aku tidur dalam kereta, sebab malam sebelumnya tak cukup tidur.
Di pejabat pula, aku masih terkial² nak mengejar kerja² yang dah lebih 2 bulan aku tinggalkan. Dan masih hangat bercerita tentang Raha pada teman sepejabat atau bergossip perihal pejabat sepanjang ketiadaan aku selama 2 bulan. (Dan masih ada hati juga mengadap weblog ni). Sedar² dah pukul 5.30.
Dulu aku tak kisah kalau Abang sampai lambat. Dulu pukul 7 pun aku masih di pejabat. Dulu lepas kerja terus cari tempat makan, atau merayau di shopping complex. Dulu jarang sekali makan di rumah. Dulu jarang sekali aku memasak. Dulu peti sejuk di rumah tu kosong saja. Kalau ada pun, makanan dan minuman ringan atau ais krim. Dulu sampai rumah terus capai remote control, mengadap peti TV sampai waktu tidur.
Tapi tu dulu. Sekarang pukul 6 petang aku dah panas punggung dan membebel kalau Abang belum sampai. Sekarang aku terus balik ke rumah, tak ada lagi fikir tentang kedai makan atau window shopping. Sekarang sampai saja di rumah, aku terus capai periuk nasi. Sekarang peti sejuk aku dah berisi dengan lauk dan sayur. Sekarang hari² aku memasak. Abang pula akan jaga Raha. Lepas makan malam, Abang dah pandai basuh pinggan dan kumpul baju kotor, giliran aku pula melayan Raha. Lepas tidurkan Raha, gosok baju untuk ke pejabat esok harinya pula. Sedar² dah pukul 1 atau 2 pagi. Baru aku teringat, aku dah terlepas untuk menonton CSI, American Idol atau Roda Impian, maupun Bulletin TV3. Rupanya sekarang aku pun dah terlupa jadual siaran rancangan TV... tapi aku dah terlalu penat pula untuk tengok siaran ulangannya. Aku perlu tidur sebab aku tahu, pukul 3, 4, 5 atau 6 pagi besok Raha pasti akan kejutkan kami..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home