Monday, April 05, 2004

Mak Mertua

Kesian kawan aku tu. Kata Iza (bukan nama sebenar) dia sedih, kerana mak mertuanya tidak seperti maknya, tidak seperti mak aku maupun mak mertua ku. Lebih haru bila dia kata (dia taip sebenarnya), "Uwaa... tu lah mak mertua aku sampai aku mati!!" Mula² aku rasa kelakar. Tapi bila aku fikir semula, Iza kata "sampai aku mati". Kalau ikut purata, manusia hidup antara 60 ke 70 tahun. Iza baru 29 tahun. Emak mertua Iza pun muda lagi. Bermakna Iza ada 30 ke 40 tahun lagi untuk bertahan dengan kerenah mak mertuanya tu.

Memang susah kalau tak 'sebulu' dengan mertua. Kena pula mertua yang suka sangat cari kesalahan. Ada saja yang tak kena. Iza samalah seperti kebanyakan wanita sekarang, bekerja untuk membantu pendapatan suami. Pada masa yang sama dia juga menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bukan apa, bolehlah nanti pohon jawatan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi. Bukan untuk orang lain, untuk memperbaiki taraf hidup keluarga juga. Memang lah sibuk, tapi Iza mendapat sokongan penuh suaminya. Bila Iza sibuk, suaminya sama² membantu menjaga anak. Bab makan pula, dah tentulah mereka selalu makan di luar.

Yang tak sedapnya, bila mak mertua Iza mempersoalkan tentang apa perlunya Iza menyambung pelajaran. Suami Iza pula dimarahi kerana mengambil alih tugas isteri menjaga anak dan menolong di dapur, sedangkan isteri sibuk dengan kerja pejabat, belajar atau menyiapkan assignment. Suatu ketika mak mertua Iza berkunjung ke rumah, di sebabkan ketiadaan ration barangan mentah (maklum lah selalu makan di luar), juga disebabkan kesuntukan masa, Iza masak simple saja hari tu, habis pada seluruh saudara mara mak mertua Iza menjaja cerita makan nasi goreng saja di rumah menantu. Bila belanja makan di luar, dikata membazir, menghabiskan duit anaknya pula. Walaupun sebenarnya Iza yang bayar!

Pendapatan Iza dan suami kalau diikutkan boleh tahan juga. Tapi setiap hujung bulan, Iza terpaksa bertapa di pejabat bila tiba waktu makan tegahari. Katanya short of cash untuk lunch. Semuanya kerana wang gaji Iza habis digunakan untuk perbelanjaan rumah, sedangkan gaji suami Iza habis dicurah untuk mak mertuanya. Bukan sedikit, malah hampir setiap bulan melebihi separuh pendapatan suami Iza. Ada saja yang diminta oleh ibu mertuanya. Untuk buat kenduri lah, cat rumah lah, beli perabot lah. Bukan Iza menghalang suaminya memberi duit pada ibu, tetapi bagi Iza agak keterlaluan apabila segala perbelanjaan rumahtangga terletak di bahunya seorang.

Dari segi penjagaan anak juga Iza selalu saja di sindir, seolah² Iza tidak pandai mendidik anak. Jika ditakung, agaknya sudah berperigi air mata Iza menahan sindir mak mertua. Kadang² Iza rasa, mungkin mak mertuanya sengaja mencari salah supaya suami Iza merasa menyesal kerana tidak mengahwini calon isteri pilihan ibunya dulu. Sering juga Iza bermasam muka dengan suami disebabkan mak mertuanya.

Banyak lagi cerita Iza. Kalau ditulis satu persatu, boleh buat drama bersiri. Namun aku yakin Iza tak keseorangan. Pasti banyak cerita yang sama di luar sana. Malah ada yang lebih sengsara lagi dari Iza. Ada pasangan hinggakan bercerai-berai disebabkan tak boleh ngam dengan mertua masing². Seorang temanku yang lain pula, bercinta sejak di bangku universiti lagi. Bertahun² lamanya bercinta macam Erra Fazira dan Awie dulu tu lah. Tapi tak sampai setahun berumahtangga, temanku itu terpaksa akur dengan ketentuan jodoh yang tidak berpanjangan. Gara² mertua juga khabarnya. Soal jodoh tu memang lah telah tertulis, tapi hati mana tidak terkilan jika mak mertua yang menjadi punca.

Namun itulah sebahagian dari ujian rumahtangga. Lain pasangan, lain ujiannya. Ada yang diuji dengan masalah tidak ada anak, tidak sefahaman dengan pasangan sendiri, pasangan terlalu sibuk dengan kerja, pasangan main kayu tiga, dan aku rasa masalah yang paling banyak dihadapi oleh pasangan berumahtangga ialah masalah kewangan. Yang belum berumahtangga tu jangan lah takut pula untuk berkahwin. Mana ada manusia hidup tanpa masalah. Kalau tidak merasa pahit, bagaimana kita tahu enaknya rasa manis.

Kembali kepada cerita mertua tadi, aku rasa dalam masalah begini, suamilah yang sebenarnya lebih tertekan. Tersepit antara ibu yang melahirkannya kedunia, dan isteri yang melahirkan zuriatnya. Kasihan pada isteri, hormat pada emak. Takkan nak tinggalkan anak dan isteri? Takkan pula nak menderhaka pada emak? Kita perempuan menangani tekanan dengan tangisan. Bagaimana lelaki? Ketika kita menumpahkan air mata di bahu suami, mungkin kita terlupa hati suami dibanjiri airmatanya sendiri.

5 Comments:

Anonymous ima said...

wahh acak.. boleh jadik columnist di "Celah celah kehidupan" kat Mingguan Malaysia heheheheheheh

9:25 AM  
Anonymous unAg said...

sbb tu dalam memilih pasangan hidup, perlu dapatkan restu keluarga. perkahwinan bukan sekadar penyatuan 2 insan yg bercinta, tp termasuk dgn ahli keluarga. tanggungjawabnya cukup berat, tanpa sokongan keluarga, payah nak melalui hidup suami isteri.suami perlu tau tanggungjawab menyara istri, dan dalam tanggungjawab mentaati ibu, perlu ada ketegasan agar tidak mengabaikan mana2 dari 2 wanita. andai bapa mertua masih hidup, dapatkan bantuan dia supaya ibu tidak keterlaluan memcampuri gerbang perkahwinan si anak. perjalanan hidup masih terlalu jauh, kalau berlanjutan bimbang pulak masa depan anak2 yg tak ketentuan....

9:26 AM  
Anonymous lelasari said...

saya tak salahkan ibu mertuanya 100%. Kalau saya ada anak lelaki pun saya akan merasa sedih jika diperlakukan begitu ..amat memalukan bagi seorang wanita jika barang basah pun tak ada dlm simpanan.

Sebagai seorang isteri, kita tidak boleh memberi alasan tidak memasak hanya krn kita sibuk.

9:27 AM  
Anonymous Anonymous said...

Salah laki dia la..bkn salah bini dia..
Apa2 hal nafkah tu tgjwb suami..
Untung la bini bg mkn pkai duit dia sendiri..
paling jahat MIL yg materialistik!!

5:14 PM  
Anonymous Anonymous said...

Bagi sy pula tengok keadaan..kalau dah housewife sepenuh masa memang kurang patut la brg2 dapur tak ada n tidak memasak,tapi tengok keadaan juga..apa masalah dihadapi waktu tu.. Kalau dah sama2 tolong menolong cari duit kat luar mmg biasa lah terjadi keadaan mcm tu..jgn kata walau sesibuk mana pun wife kena memasak,tengok situasi mungkin mereka lebih selesa memasak dihujung minggu.. Sbg MIL nak ng nasihat pun kena teliti situasi dlu,tak boleh suka2 nak sedih menyedih..

1:04 AM  

Post a Comment

<< Home