Friday, May 21, 2004

Cerita Hutang

Jelak betul aku dengan cerita hutang-piutang nih. Tapi ada ke manusia hidup tak berhutang? Susah nak cari. Kalau ada pun, mesti manusia tu bawah 18 tahun sebab dia belum layak nak mintak hutang dengan bank. Pendekata, kalau manusia tu dah bekerja, mesti ada lah hutang. Hutang rumah, hutang kereta, dan hutang paling masyhur sekali hutang kad kredit. Itu yang berkerja. Yang belum bekerja pun banyak juga yang berhutang. Tak percaya pergi aje lah kat mana-mana universiti, tanya siswa-siswi tu diorang belajar tu hutang ke Mak Abah yang tanggung? Tapi aku bukan nak kutuk sistem hutang-piutang ni. Kalau tak berhutang, mana lah mampu nak buat harta. Kalau nak tunggu duit cash seguni baru nak membeli harta, jangan kata nak pakai kereta, nak beli basikal pun belum tentu mampu. Kalau tak ada organisasi nak bagi hutang, ramai lah anak bangsa kita tak ada ijazah. Kalau tak berhutang, macamana nak dapatkan modal nak berniaga? Tak ada pulak anak bangsa kita yang kaya-raya nanti. Lagi kaya seorang manusia tu, lagi banyak lah hutang dia. Lagi besar perniagaan dia, lagi besar lah hutang dia. Iyalah, kalau dah banyak harta, banyaklah yang boleh dicagarkan. Banyak pula lah yang boleh dipinjam.

Tapi yang buat aku sakit jiwa, sakit kepala dan sakit hati ni, bila orang berhutang atas harta dan nama orang lain. Dah tak cukup harta sendiri, pinjam harta mak bapak atau adik-beradik dijadikan cagaran. Tak pun, disebabkan nama sendiri dah tak boleh pakai, atau kata lainnya, dah disenarai hitamkan lah, maka nama orang lain yang masih putih bersih suci murni dijadikan mangsa. Si Pakcik pakai nama anak saudara, tak pun si Abang pakai nama adik yang masih muda remaja. Asalkan budak tu cukup umur nak buat pinjaman, maka kira jadi aje lah. Dokumen semua boleh ditipu. Setakat nak buat slip gaji atau Borang EA palsu tu, kacang putih aje. Semuanya Pakcik boleh uruskan. Si budak tu tinggal sain aje. Janji si tua kutuk tak sedar diri tu, "Don't worry, bulan-bulan aku bayar punya. Kita kan sedara, bukan boleh lari mana." Budak baik yang hormat orang tua tu ikut sajalah kata Pakcik atau Abangnya, tak baik melawan orang tua. Lagipun, apa salahnya tolong sedara. Maka termaktublah mengikut kanun bahawa si budak telah membeli sebiji kereta dengan meminjam beribu-ribu lemon dari bank.

Selang 2-3 tahun si tua kutuk mula buat perangai. Nak beli kereta barulah, nak jual keretalah, tak bayar loan lah. Dah tu tak reti-reti pulak nak bawak berbincang dengan tuan punya nama. Suka hati tok nenek dia aje jual kereta. Janji dia dapat duit, konon pembeli baru akan sambung bayar dengan bank. Loan di atas nama budak malang tadi tak di uruskannya. Kiranya, kalau ikut undang-undang, budak tu masih lagi penghutang, walaupun dia sendiri tak pernah pegang stering kereta yang dah pun terjual tu. Dah dekat setahun kemudian, datanglah surat bank, mintak budak ni jelaskan hutang yang dah tertunggak berbulan-bulan, tak pun dah bertahun-tahun. Siap kena turun-naik mahkamah macam penjenayah pulak. Hah melopong lah si budak yang dah tak budak lagi tu. Baru minggu lepas dia berangan nak beli GTI. Tak pun baru je malam tadi dia janji dengan gelfren nak buat personal loan untuk dijadikan hantaran meminang dara pujaan. Terbantutlah cita-cita dia. Puas di rayunya si Pakcik tua bangka tu supaya tolong settle kan loan atas namanya tu. Kot ye kalau nak mampus pun, tolong lah bersihkan nama budak yang nak hidup lama lagi tu. Tapi si tua pun setakat melepas batuk di tangga aje lah. Takde masanya dia nak pegi cari pembeli kereta dia yang lama tu. Lagipun dia sekarang dah pakai BMW (entah nama sapa pulak dia jadikan mangsa). Business pun dah semakin maju. Busy lah, mana ada masa nak layan hal-hal macam tu. Lagipun tak ada kena-mengena dengan nama dia lagi. Tak pun diberinya alasan, anak-anak dia ramai, tak cukup duit dia nak bayar ansuran tu.

Habis apa la sudahnya budak yang baru nak mula hidup tadi? Bergaduhlah dia dengan gelfrennya sebab tak jadi kahwin. Melelehlah air liur dia tengok kawan-kawan lain memandu kereta sendiri sedangkan dia terpaksa naik bas atau LRT. Tak pun, kalau dia dah kahwin, muncung lah bini dia sebab tak jadi beli rumah idaman yang dia tinjau tempohari. Nak beli macamana, nama dah kena blacklist, tak bolah apply loan lagi. Muncung bini bukan setakat di rumah, habis pakcik-makcik, biras dan mertua pun terkena tempiasnya. Iyelah, dia tau si Pakcik menjadi punca dia laki-bini tak dapat mengumpul harta untuk masa depan anak-anak dia pula. Nak bersuara, nanti dikata kurang ajar pula. Lagipun masa pinjaman dibuat dulu, dia dan suaminya belum bercinta pun lagi. Nak bermanis muka, hati dia memang dah sakit, menyampah, meluat nengok muka si Pakcik yang tak bertanggungjawab. Sudahnya dia dan suami yang makan hati.

Semuanya gara-gara sedara-mara. Nama aje sedara, masa nak meminjam nama dulu dia kenal la sedara, tapi bila dah masuk bab-bab settle hutang, putus sedara pun dia tak kisah agaknya. Yang penting leher sendiri tak terjerut, orang lain sengsara, dia peduli apa. Ini dah kira menganiaya. Cerita panjang pun tak guna. Biar Tuhan aje lah yang balas nanti. Orang yang menganiaya orang lain, jangan kata kat akhirat, kat dunia pun belum tentu selamat. Aku pernah dengar orang kata, Tuhan selalu makbulkan doa orang yang teraniaya.

3 Comments:

Anonymous lela said...

biasalah sue zaman sekarang...bapak pun dah tak leh percaya dah....

12:35 PM  
Anonymous Anonymous said...

saya pn terkena mcm ni disebabkan pakcik sendiri...sudahnya kami sekeluarga yg nerempat...kesian anak2...tapi nak buat mcmana...doa Allah yg membalasnya...

4:30 PM  
Anonymous Anonymous said...

saya pn terkena mcm ni disebabkan pakcik sendiri...sudahnya kami sekeluarga yg nerempat...kesian anak2...tapi nak buat mcmana...doa Allah yg membalasnya...

4:30 PM  

Post a Comment

<< Home