Tuesday, August 31, 2004

Merdeka! (?)

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan buat semua warga Malaysia.

Aku lahir pada tahun 1975, 18 tahun setelah tanahair ini mencapai kemerdekaan. Aku tak pernah tahu bagaimana rasanya hidup di zaman penjajahan Jepun, zaman perjuangan menentang British, zaman ancaman Komunis. Dari apa yang aku dengar, aku baca dan aku tonton, kehidupan ketika itu seolah-olah nyawa di hujung tanduk, saban saat diselubungi ketakutan. Semangat juang yang kental harus dibayar dengan darah atau kepala sendiri.

Setiap tahun, ramai orang bertanya dan ditanya, apakah erti kemerdekaan bagi diri masing²? Ada yang menjawab, bebas ke sana ke mari, tanpa rasa takut pada peluru dan bonet, pada askar² Jepun dan Komunis. Benarkah begitu? Saban hari tersiar di dada akhbar mahupun di kaca TV, jenayah rogol, rompak, ragut, bunuh, samseng di mana² sahaja. Mangsanya tak kira umur atau bangsa. Bebaskah aku?

Ada yang berkata, kemerdekaan bukan sahaja bererti bangsa dan tanahair bebas dari jajahan, tetapi minda dan jiwa juga harus bebas dari dijajah. Namun aku tidak pula menghafal lagu² Ghazal, Keroncong mahupun lenggok tari Inang dan Zapin. Sebaliknya aku lebih selesa mendengar lagu² Rock, R&B atau Pop. Tidak merdeka kah aku?

Aku sebenarnya masih kurang pasti, masih mencari-cari erti 'kemerdekaan' buat diri aku. Namun untuk 29 tahun yang telah aku lalui sebagai warga Malaysia, aku bersyukur kerana aku berpeluang bersekolah, menuntut ilmu, bekerja, berkahwin dan berkeluarga, tanpa iringan letupan bom atau tembakan senapang. Selama aku hidup, aku tak pernah kekurangan beras. Nasi adalah makanan seharianku. Malah banyak ketikanya aku jemu makan nasi, lalu mencari McD, A&W atau KFC. Tidak seperti nenek moyangku di zaman sebelum merdeka yang terpaksa makan ubi rebus kerana ketiadaan beras. Kini, setelah 47 tahun merdeka, ubi rebus pun susah nak cari.

Bila ya kali terakhir aku makan ubi rebus? Eh, sedap pulak kalau dapat ubi rebus cicah sambal tumis ikan bilis, kena pulak dengan kopi panas...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home