Saturday, January 29, 2005

Al-Fatihah buat Shah

Semalam aku terima berita, Shah telah kembali ke Rahmatullah. Arwah dijemput mengadap Illahi disaat menunggang motor pulang dari solat Jumaat. Tersentap aku seketika.

Shah adalah seorang teman di bangku sekolah. Walau tidak pernah berbicara sesama sendiri sewaktu di sekolah, namun takdir menemukan kami semula kira² 5 tahun lalu, lantas takdir juga membuka ruang untuk kami bertempat di hati satu sama lain. Kami hampir mendirikan masjid. Malah aku telahpun menemui kedua orang tua Shah. Namun takdir juga telah menetapkan tiada jodoh antara kami. Meski saat itu hatiku amat terluka, namun aku pasrah atas ketentuan Illahi. Aku redha Shah kembali ke pangkuan bekas kekasihnya.

Aku lalui hari² seterusnya dengan sulaman airmata, berita majlis perkahwinan Shah lebih meruntun jiwa, namun ku gagahi langkah meneruskan kehidupan, ku cari kekuatan demi kekuatan sehingga setahun kemudian aku bertemu Abang, segala kepahitan berlalu dengan kisah cinta baru. Allah lebih berkuasa dan lebih mengetahui siapakah sebenarnya pasangan yang paling sesuai buat hambaNya.

Meski aku tidak pernah bertanya² lagi berita tentang Shah, namun aku tak pernah sama sekali menduga akan menerima khabar tentang 'pemergiannya'. Sedih? Tidak. Aku tidak bersedih. Aku kira sebagai isteri, tidak wajar untuk aku bersedih atas pemergian bekas kekasih. Namun aku akui ia satu kejutan buatku. Aku diberitahu Shah baru saja menimang cahayamata. Sayu hatiku bila mengenangkan bayi kecil yang belum sempat memahatkan wajah ayahanda di hatinya. Simpati mengingatkan isterinya yang masih muda dan pastinya amat memerlukan Shah di sampingnya.

Shah seorang yang baik. Yang paling aku pasti, Shah sangat taat pada ibunya. Semoga Allah mencucuri rahmat buat arwah Shah. Semoga Allah berikan kekuatan buat isteri Shah meneruskan kehidupan.

Akhir² ini aku sering mendengar dan membaca berita tentang kematian. Benarlah setiap kematian itu menimbulkan keinsafan. Shah dan aku sebaya. Sememangnya ajal tidak mengenal usia. Saat aku sedang menulis ini pun, berkemungkinan Allah mengutuskan Izrael menjemputku mengadapNya. Bersediakah aku? Cukupkah amalanku untuk mengimbangi segala dosa² ku? Rasanya aku sangat jauh dari bersedia. Sangat² jauh.

6 Comments:

Anonymous mag said...

Al-fatihah

5:34 PM  
Anonymous Emy said...

Al Fatihah moga rohnya dicucuri rahmat

5:34 PM  
Anonymous Ounis said...

al-Fatihah..moga kawan akak tu dicucuri rahmat..akak pun banyak2 bersabor ee..

5:38 PM  
Anonymous shamina said...

ALFATIHAH.....

hmmmm.... rasanya mcm sejarah kita hampir serupa yer...

5:38 PM  
Anonymous FaRiS said...

Keciknya dunia ni kan..
Aku sempat salam sekali je dgn Syah..

Itu pun sebab dia yg hulurkan tangan.
Masa dia baru2 join tempat kerja aku.

Kalau dia tahu aku kenal ko, mesti dia terkejutkan..

Balu syah dapat RM400K dari insuran company dia,
tapi kongsi dgn family syah kot..

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham..
Al-Fatihah!

5:39 PM  
Blogger SuMie said...

Keciknya dunia..

5:39 PM  

Post a Comment

<< Home