Sunday, January 09, 2005

Sampah-sarap Hidup Aku

Secara rasminya dah lebih kurang seminggu aku memegang jawatan sebagai Director, Manager, Accounts Executive, 'Sexytary', Clerk, Tea Lady dan Cleaner di 'office baru' aku. Amboi gila kuasanya aku. Semua jawatan aku nak pegang. Habis tu apa jawatan Abang ya? Tak apalah, aku bagi dia 2 jawatan penting - Sales Manager cum Office Boy.

Selama seminggu yang lepas, rasanya jawatan aku sebagai Cleanerlah yang memainkan peranan paling penting. Dari ruang tamu ke bilik tidur, ke bilik air, ke stor hingga ke dapur, segala sawang dan habuk aku bersihkan. Entah berapa banyak plastik sampah, kain buruk dan tisu dapur yang menjadi korban. Meski resdung ku menjadi² akibat sensitif dengan habuk, namun kuteruskan jua tanggungjawab ku sebagai seorang Cleaner yang berdedikasi. Tak sangka rumah yang kecik ni pun memakan masa berhari² untuk 'dibersihkan'. Nampak sangatlah selama ni aku mengemas cuma secara ala kadar sahaja.

Manakala hampir separuh dari barang² dalam rumah telahpun aku buang atau berikan pada orang lain. Habis seluruh stor aku geledah, entah apa² barang aku jumpa. Jam tangan lama lah, kotak² kosong lah, bola golf pun ada, padahal aku dan Abang bukan main golf pun. Klip rambut, cekak rambut dari zaman aku belum bertudung dulu, dah berkarat² pun aku simpan juga. Anting² plastik, gelang dan rantai yang bermacam² fesyen, eei.. aku pakai semua tu dulu? Kasut² lama yang dah berkulat yang kalau diberikan pada penagih dadah atau pencuri kasut pun diorang tak hendak. Radio buruk, cenderamata² yang tak boleh digunakan, negatif² gambar lama, kad² raya, kad harijadi, sampaikan surat² cinta dari 10 tahun lepas pun aku jumpa!

Almari baju pula hampir kosong aku kerjakan. Rasanya selama ni lebih separuh dari isi almari tu adalah baju² yang aku tak pakai. Ada antara pakaian² tu masih elok dan cantik lagi, tapi aku tak pakai sebab tak selesa. Yang peliknya, kenapalah aku beli baju tu dulu kalau dah tau tak selesa? Ada sesetengah pakaian tu pulak, samada aku baru pakai sekali atau tak pernah pakai langsung. Masa beli dulu muat lah, lepas tu belum sempat pakai, badan dah naik, pregnant pulak. Lepas bersalin, berat tak turun². Dulu berangan nak tunggu kurus baru nak pakai baju tu semua. Bila fikir balik, entah bila lah nak kurusnya, entah² takkan kurus pun. Daripada membazir membiarkan pakaian tu berlapuk tanpa dipakai, lebih baik aku bagi pada yang lebih memerlukan. Malas aku nak fikir berapa banyak duit aku dah laburkan atas pakaian tu semua. Aku anggap itu bukan rezeki aku. Memang dah ditakdirkan menjadi hak orang lain.

Baju² 'seksi' dari 'zaman gelap' dulu pun ada lagi. Aku tertanya² juga sendiri, kenapalah aku simpan lagi baju² tu? Macam lah aku nak pakai. Duduk di rumah pun aku tak ingin nak pakai lagi baju² tu. Nak buat kain buruk pun segan. Habis tu kenapa pula baju² tu masih dalam almari aku? Maka selamatlah baju² 'zaman gelap' tu masuk ke 'tong gelap'. Tak mau aku bagi orang baju² tu, dibuatnya ada perempuan 'menyeksi' dengan baju aku tu, sia² aku pun dapat dosa jugak. Dosa² yang ada ni pun tak tertanggung, tak terpikul dek bahu.

Hari ni setelah aku singkirkan segala 'sampah-sarap' dari rumah, terasa lebih banyak ruang dalam rumah aku, terasa segar udara yang kuhirup, tenang jiwa aku, aman hidup aku. Malah hati aku berbunga² bila Abang balik rumah, buka pintu dan berkata "Waaahhh..." sambil mengangguk² kepala dengan senyuman dibibir pabila melihat suasana rumah yang kini berbeza, pastinya lebih selesa, lebih sedap mata memandang. Lalu aku menambah satu lagi azam untuk tahun ini, iaitu untuk tidak menambah dan menyimpan lagi sampah sarap dalam hidup kami.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home