Monday, May 16, 2005

Selamat Hari Guru

Entah bila kali terakhir aku mengucapkan Selamat Hari Guru pada seseorang. Dah lama sangat agaknya, sebab itulah aku tak ingat.

Oleh itu aku nak ambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru dan mengalungkan jutaan terima kasih kepada semua insan yang pernah bergelar guru, cikgu, pensyarah atau apa² saja yang seerti dengannya dalam hidup aku. Mungkin tak ada seorang pun dari cikgu² aku yang membaca ucapan ini, tapi tak apalah. Setidak²nya, mungkin untuk satu entry ini, aku dapat mengenang kembali insan² yang telah terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membentuk hidup aku hari ini.

Selamat Hari Guru buat dua insan yang merupakan guruku yang pertama, dan masih lagi guruku sehingga hari ini, yang mengajar aku tersenyum, ketawa, bercakap, merangkak, bertatih dan berlari. Yang mengajar aku seribu satu pengajaran yang tidak mampu aku coretkan di sini. Selamat Hari Guru buat Emak dan Abah, yang begitu sabar mendidik aku dengan segala ilmu untuk aku menempuh pahit maung, dugaan dan godaan hidup ini.

Selamat Hari Guru buat ustazah yang mula² mengajar aku Alif, Ba, Ta. Sungguh aku tak ingat apa namanya. Masa tu aku kecik lagi, baru 4 tahun kot. Tapi aku ingat selalu pergi mengaji dekat rumah dia dengan Abang Long. Masa tu kami sekeluarga masih duduk di Kg. Jawa, Kota Tinggi.

Selamat Hari Guru kepada Cikgu Sam dan Cikgu Ani di sekolah tadika Kg. Awah. Cikgu Sam dulu selalu ajar menyanyi. Ingat lagi, ada satu lagu tu, liriknya "Samba gelek-gelek.. samba gelek-gelek.. pusing belakang". Tapi aku suka tukar jadi "Cikgu Sam-ba gelek-gelek.. cikgu Sam-ba gelek-gelek..". Tapi aku tak nyanyi depan dia lah. Aku nyanyi depan mak aje.

Selamat Hari Guru juga buat Cikgu Amnah guru kelas yang garang sewaktu aku darjah 1. Tapi kerana kegarangannya juga tu lah menjadikan aku cepat tangkap segala ilmu yang diajar. Aku takut betul kalau kena pukul dengan pembaris kayu yang besar tu. Ucapan yang sama juga buat semua cikgu² di Sekolah Kebangsaan Felda Kg. Awah yang pernah mengajar aku, Cikgu Zainiah yang sentiasa ceria, Cikgu Chong guru tarian yang suka sangat menocang rambut aku dengan segala bentuk tocang, Cikgu Zainal dan Cikgu Adnan guru muzik, Cikgu Tarmiyah, Cikgu Fatimah, Ustazah Habsah, Cikgu Mokhtar, Cikgu Zakaria, Cikgu Marhana, Cikgu Sahazudin yang hensem yang membuatkan bebudak perempuan baru nak naik semua tergedik². Miss Khoo Ah Kwan guru Bahasa Inggeris favourite aku. Miss Khoo ni boleh tahan juga garangnya. Kalau marah dia mesti sebut - stupid dumb dumb, atau stupid dumb bell. Belakang dia, aku dengan adik-beradik aku gelarkan dia Miss Khoo tonggek. Jahat ek kitorang?Tapi kitorang suka dia sebenarnya. Dia ajar English memang best, memang senang je masuk kepala.

Selamat Hari Guru juga buat cikgu² yang mengajarku di MRSM Kuantan, MRSM Kerteh dan MRSM Terendak. Cikgu Salihah, Cikgu Hamdan, Ustaz Zawawi, Ustazah Rokiah, Cikgu Zul, Cikgu Hamidah, Cikgu Ahmad, Cikgu Roslan, Cikgu Ruhilah, Cikgu Norlela, Cikgu Zalilah, Cikgu Zaliah, Ustaz Wahab, Cikgu Jamaludin, Cikgu Abdullah, Ustaz Abdullah. Banyak nama yang aku dah lupa disebabkan batch aku banyak sangat pindah² MRSM, jadi banyak sangat cikgu² yang mengajar aku di MRSM.

Selamat Hari Guru juga kepada pensyarah² yang menurunkan ilmu di MLA Cheras, MCC Kuantan, IKIP Kuantan dan FTMS KL. Mr. Hari Ramulu pensyarah akaun kegemaran aku, walaupun adakalanya Mr. Hari suka buat lawak miang. Mr. Tang yang tersangatlah friendly, yang akhirnya terjatuh chenta pulak dengan best friend aku, dan kini telahpun memeluk Islam, dah anak sorang pun diorang. Puan Azizah yang sentiasa percaya kepada kebolehan aku. Dan ramai lagi yang tak mampu aku ingat nama kesemuanya.

Juga Selamat Hari Guru buat guru² tak langsung yang lainnya seperti Pok Leh cikgu gitar, Kim cikgu DJ, Lynn cikgu menyanyi, instructor Taekwon-Do yang aku dah lupa namanya, dan Lena, seorang kakak yang aku tak pernah ada, yang banyak mengajar aku tentang pelbagai perkara dalam hidup ini.

Selamat Hari Guru juga buat mak dan abah mertua ku yang sememangnya bekas guru.

Buat guru² ku yang telah kembali ke Rahmatullah, Pak Kassim yang mengajarku Al-Quran dan Ustazah Anisah bekas wardenku di MRSM Kerteh, semoga Allah menempatkan kalian dalam golongan mereka yang beriman. Jasamu mendidik anak bangsa tidak ternilai harganya.

Kalau nak diikutkan tak terbilang ramainya guru yang kita jumpa sepanjang hidup ini. Lebih tak terbilang lagi jasa dan ilmu yang mereka turunkan. Buat semua insan yang merupakan guru² dalam hidup aku, maafkan aku kalau aku telah lupa nama² kalian, namun aku tidak pernah lupa jasa kalian dan aku tidak pernah lupa menyebut kalian di dalam setiap doaku selepas solat. Semoga Allah merahmati kehidupanmu di dunia dan di akhirat, dan memberkati segala ilmu yang telah kau curahkan.

Buat semua guru² ku dan guru² lainnya di luar sana, aku ucapkan Selamat Hari Guru.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home