Monday, July 25, 2005

AF3 - Konsert Minggu Ke-8

Bagi aku, konsert ke-8 adalah antara konsert yang menghiburkan dalam musim AF3 ini. Pengenalan diri ala Hindustan memang menarik (walaupun aku lebih suka yang ala askar dulu). Nyanyian berkumpulan untuk lagu bonus Ladki, walaupun tak lah se-gah yang aku jangkakan, tapi boleh tahan lah, dan tetap menghiburkan. Masa bebudak lelaki junjung bebudak pompuan tuh, aku ngan adik² aku ala² berdoa depan TV - "Jangan laa jatuh, jangan laa ada yang jatuh". Huhuhuu..

Aku suka rambut baru yang memberi sedikit kelainan pada Amylea, tapi antara spaghetti dengan maggi, aku prefer mee maggi, cepat dimasak sedap dimakan.. Aku lebih suka rambut lama Amylea, sebab sebelum ni rambut tu macam dah jadi trademark dia, jadi bila tukar rambut, cam hilang pulak 1 identiti. Tapi tu aku jek laa yang rasa. Apa pun Amylea tu sendiri memang dah ada strong character, jadi dia buat rambut macamana pun tetap nampak dia ada personaliti tersendiri.

Aku sangat tertarik dengan Yasmin yang dijemput sebagai pengkritik. Cara dia bercakap, komen² yang dia berikan, muka dia, baju dia, semuanya lah aku suka. Paling menarik bila Yasmin kata "Jamban dia best..", ala² vulgar tapi bersopan gitu. Amboi.. abah aku ketawa berdekah² dengar Yasmin komen camtu.

Marsha - Cobalah Untuk Setia
Ada sikit shaky. Part chorus tu pitching tak terkawal. High notes dia tak berapa sedap dan sengau, kekadang dengar cam katun lak. Keseluruhannya, nyanyian Marsha agak bersepah. Kalau dilihat dari beberapa persembahannya yang lepas, bagi aku Marsha sebenarnya mampu bawa lagu ni dengan lebih baik, tapi mungkinkah dia kurang berlatih minggu ni? Atau terlalu banyak lagu tugasan berkumpulan menyebabkan tumpuan pada persembahan solonya terganggu? Masa lagu Seri Langkat pun, Marsha agak kurang menyerlah. Aku harap Marsha tak hanyut dengan pujian melambung dari pengkritik masa dia nyanyi lagu Destiny dulu, sebab 2 minggu ni aku nampak graf persembahan Marsha agak menurun.

Kefli - Hati Emas
Persembahan Kefli penuh bersemangat. Ada banyak peningkatan yang ditunjukkan oleh Kefli. Malah aku memberikan Kefli markah yang lebih tinggi dari Marsha. Pada awalnya, aku menjangkakan Kefli akan tersingkir minggu ni, tapi selepas melihat persembahan beliau, aku yakin peminat² Kefli tertutamanya Kak Aidid (huhuhuuu) akan mengundi habis²an untuk dia, dan aku yakin Kefli mendapat sedikit sumbangan dari Saturday voters yang cukup untuk mengekalkan dia minggu ni. Dengan satu lagi persembahan bertenaga seperti ini di minggu hadapan, maka Kefli akan melangkah ke final.

Yazer - Mengapa Harus Cinta
Sapa laa yang menguruskan wardrobe bebudak ni? Kasi penampar gaban sikit kat orang tu. Tak buat homework langsung! Sebelum bagi baju, tolong selidik dulu lagu apa diorang nyanyi deknon oii.. Sesuai ke seluar ala² pemuzik tepi gerai makan Bangsar tu untuk lagu tu? Aku tau laa Yazer tu rock, tapi kalau lagu dia tak rock, apa ke jadahnya nak bagi seluar dikerik tikus tu? Maka dengan ini aku menyalahkan Tukang Jaga Baju sebagai penyebab mengapa Yazer kurang menghayati lagunya. Ye laa, baju tak sesuai, penghayatan pun kurang. Baru nak feel sedih, tunduk bawah terpandang lutut sendiri, terus terganggu feel tu.
Persembahan Yazer agak tenggelam minggu ni, tapi aku rasa Yazer dah bawa lagu ni dengan cara dia sendiri. Jika dibandingkan dengan persembahan bertenaga Kefli, aku agak kedudukan Yazer agak goyah. Jadi aku ingat kalau Kefli selamat, mesti Yazer lah yang terkeluar. Tapi pengundi² memang sukar diduga.

Mawi - Pupus
Kalau tadi penampor, kali ni kasi tendangan gaban pulak kat 'jebon' yang menguruskan baju tu. Buruk bebeno. Aku tengok Mawi macam Mat Spanar Jaya yang putus cinta. Tinggal lagi dia pegang mic jek, kalau dia pegang spanar dengan palit minyak hitam sikit kat pipi dia, ada jugak tokey bengkel Ah Wong naik atas stage tarik Mawi suruh balik bengkel dan repair kereta.
Namun walaupun dengan baju yang buruk itu, nyanyian Mawi malam tu BEST GILER!! Remuk redam hati aku mendengarnya. Aku ngan Kak Teh sikit lagik nak histeria depan TV. Ini merupakan persembahan terbaik Mawi. Macam yang pernah aku katakan, kekuatan Mawi terletak pada suaranya sendiri. Bila disertai dengan penjiwaan dan nyanyian yang sempurna, maka auranya bukan setakat menggapai aku di luar kaca TV, tapi turut menarik aku untuk peluk TV tuh sekali.

Akma - Selamat Jalan Romeo
The 'gelek' is fine. But the ' Beyonce melentik' part is so very buruk. Namun aku tabik dengan keberanian Akma. Kesian pun ye jugak, dia buat macam tu atas keperluan lagu sepertimana yang diminta oleh EE. Sampai ada sekali tu Akma kedengaran semput. Dah lah lagu tu panjang gila. Tapi bagi aku, walaupun menyanyi lagu dangdut, tak bermakna mesti bergelek sampai kelihatan tak selesa. Rasanya aku tak pernah pulak tengok Ramlah Ram bergelek gerudi bila menyanyi lagu tu, tapi persembahan Kak Ramlah tetap hidup jugak. Apapun nyanyian Akma okay, maybe better than Kak Ramlah sendiri (banding dengan nyanyian Kak Ramlah untuk malam tu jek la).
Ramlah Ram nampak cantik. Dah lama tak nengok Ramlah menyanyi live, jadi lepas jugak lah rindu seketika.

Amylea - Dua Insan Bercinta
Best siut.. pandai lak tu dia buat gaya rock kangkang tahun 80an. Walaupun gaya tu cam ketinggalan sikit la, aku still suka persembahan Amylea. Cuma aku agak frust dengan sedikit gangguan TV semasa Amylea menyanyi.
Kemunculan emak Amylea mungkin dinantikan oleh ramai orang. Ramai yang kata mak dia Zur Eda, jadi bila mak dia muncul aku pun expect Zur Eda lah yang keluar. Sekali muka lain, aku pun kata lah, dah tua muka lain kot, dah potong rambut kot.. tapi memang muka tu tak sama langsung la dengan Zur Eda, dan bila emak Amylea bagitau nama dia Nor Azizah, huruf Z dengan R aje yang sama rupanya. Tapi muka Amylea memang ada iras Zur Eda kan?

Felix - Hukum Karma
Aku tabik Aznil kerana merendahkan diri meminta maaf dari Felix, walaupun bagi aku secara logiknya kesilapan itu bukanah kesilapan Aznil. Takkanlah Aznil yang merancang paparan gambar orang utan tu pulak kan. Mestilah pihak penerbitan (tak tau lah kalau Aznil contribute idea). Tetapi mungkin pihak penerbit agak ego untuk membenarkan Aznil menggunakan line "Saya bagi pihak Astro memohon maaf..", lalu terpaksalah Aznil menggunakan skrip seolah² dialah pesalah dalam hal ini. Memang benar kalau Aznil kata dia agak terluka dengan perkara tu. Dan aku juga kagum dengan jawapan² Felix yang sebenarnya menyelamatkan maruah Aznil secara tak langsung. Mungkin juga Felix nih memang tak terasa langsung dan tak terfikir langsung bahawa gurauan tersebut menjadi isu di luar.
Selepas penampor dan tendangan gaban, kali ini sila bagi torpedo maut pulak pada jebon jaga baju tu. Entah fesyen tahun berapa yang dipakaikan kat Felix tu. Kalau rambut Amylea yang dipakainya tu digantikan dengan topi mengkuang, maka Felix boleh terus pegi berkelah atau pergi berkebun. Heran betul aku. Takkan lah tak ada sapa pun kat Astro yang bagi perhatian kat baju bebudak tu. Dah bukan tahap BURUK jek dah. Dah sampai tahap BURUK NAK MAMPUS dah tuh. Tolong laa.. kenapa la bebudak tu dibalut dengan baju macam orang-orang yang terpacak atas kayu kat tengah sawah padi?
Aku rasa pengkritik perlu berhati² sebelum menggunakan perkataan 'perfect'. Nyanyian Felix ternyata beberapa kali off key di beberapa tempat. Tak tau lah kalau kat stadium tak dengar sangat. Tapi memang off key. You don't have to be a musician to realize that. Camanapun, dari segi persembahan, Felix memang ganazzz.. dia punya head banging cukup buat aku risau. Dia buat macam rambut sendiri jek. Takut tercabut lak rambut Amylea tuh. Nampak cam saja nak kasi tercabut pun ada gak. Persembahan Felix memang all out dan menghiburkan.

Aku agak kesal dengan pekikan 'FELIX UNIVERSE' yang dikatakan dilaungkan oleh bekas² pelajar yang tersingkir. Betul ke pelajar² tersingkir yang buat macam tu? Kalau betul, buruk betul lah perangai diorang. Nampak sangat macam busuk hati dan dengki kat Mawi. Tak kisah lah kalau diorang sokong Felix atau sesapa pun. Hak masing² lah nak sokong sokong sesapa saja, tapi dengan menyebutkan 'FELIX UNIVERSE', nampak sangat sebagai satu slogan untuk melawan dan meletakkan slogan 'MAWI WORLD' lebih ke bawah. IA TIDAK MENUNJUKKAN SOKONGAN KEPADA FELIX, TETAPI MENUNJUKKAN HENTAMAN KEPADA MAWI. Sekiranya mereka betul nak buktikan sokongan kepada Felix, atau sekiranya nak sangat beritahu semua orang bahawa mereka merasakan Felix yang terbaik, kenapa tak gunakan saja slogan seperti 'Felix The Best' atau 'Felix The Bomb' atau 'Felix Hebat' atau banyak lagi perkataan lain, but not UNIVERSE!

Perangai macam tu nak memenuhi industri muzik tanahair? Belum pun tamat musim AF3 dah tunjuk perangai busuk hati? Tak heran lah aku kalau diorang ni besok bakal suka bercekau macam sesetengah artis² yang ada dalam industri sekarang ni. Tak heran lah aku kalau ada antara diorang ni besok turun naik court sebab kes hantar email layang memburukkan teman sesama artis.

Tapi pendapat aku tu, hanyalah SEANDAINYA yang melaung tu adalah pelajar² yang tersingkir. Kalau bukan, aku minta maaf dan tak perlulah terasa pedas kalau tak makan cili. Tapi andainya yang melaungkan tu adalah peminat² Felix, kira busuk hati jugak lah tu, dan aku nasihatkan, cari lah slogan lain.. ko letak laa UNIVERSE ke, GALAXY ke, LANGIT KE-7 ke.. masih dikira MENIRU jugak. Takde modal lain ke deknon?


IMBASAN
Amat meloyakan dan memualkan bila tajuk yang dibincangkan sekadar untuk membela Astro dan mempromosikan diary extended. Terima kasih Mag kerana memulangkan baldi Fear Factor aku. Terima kasih juga Cheeka selaku supplier baldi kerana menghantar baldi baru dengan begitu cepat sekali.

Akma
Sekalipun tersingkir, bagi aku Akma dah membuktikan bahawa dia telah memberikan yang terbaik sepanjang di akademi. Bagi aku, kegagalan Akma ke final hanyalah disebabkan ketiadaan X-factor yang sering diperkatakan, namun aku yakin kelebihan itu mampu dibinanya jika diberi sedikit masa. Bak kata M. Nasir, it take years to have that. Aku harap Akma akan mengekalkan ciri² kewanitaan yang aku lihat pada dirinya ketika menjawab segala soalan Aznil dalam Imbasan malam tu. Selain Aidil, Akma adalah antara pelajar yang teratur tutur bicaranya. Kepada Akma, SuMie di RuMaH mengucapkan tahniah kerana mampu bertahan hingga ke minggu ke-8 dan semoga Akma berjaya mengharungi dunia seni sebenar di luar sana.

**Lebih kurang pukul 2 atau 3 pagi selepas menonton konsert dan Imbasan malam tu, aku terjaga dan termuntah dengan banyaknya. Tak dapat dipastikan samada ianya lanjutan dari rasa loya menonton Imbasan atau disebabkan terlebih makan nasi kenduri siangnya tu.. huhuhuuu..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home