Friday, September 16, 2005

Kisah seorang Anak Jepun di sebalik gambar

Ni gambar zaman bila ni haa?

Kalau tak silap, ni gambar kat Penang, masa aku ikut Mak & Abah ambik Abang Long dari sekolah tempat dia buat matrikulasi kat Penang tu, lepas tu hantar dia pergi USM. Lihatlah deknon, betapa remajanya akak pada masa itu.. huhuhu. Tengok lah baju ala buruh Indon tu.. baju pesen apa tuh?! Muahahahaa.. Tapi kalau nak tahu, baju tu menjadi rebutan ramai zaman tu tau! Sebenarnya tu baju Abang aku, tapi disebabkan aku tersangat la muka tak malu, memula aku pinjam, lepas tu aku buat² lupa nak pulang, lepas tu terus aku pakai macam harta sendiri. Lepas tu, entah macamana baju tu boleh beralih lak kat Ana. Aku rasa dia pun pakai taktik yang sama macam aku, memula pinjam, pastu buat² lupa nak pulang dan dengan tak tau malunya terus buat macam harta sendiri jugak.

Yang lelaki tu, Abang Long aku. Budak pompuan kecik tu - Kak Teh, adik aku yang nombor 5. Budak laki tu pulak - Apiq, adik aku yang bongsu. Sekarang dedua dah besar panjang, dah banyak jerawat pun. Huhuhuuu.. Ada lagi 2 orang adik aku - Ana & Ounis tak ada dalam gambar ni sebab masa ni diorang kat asrama, still sekolah. Aku masa ni baru habis SPM kot, sebab tu boleh ikut Mak & Abah jalan² gi Penang.

Gambar ni sebenarnya dah tak ada dalam simpanan keluarga aku. Kitorang dah bagi pada penganjur Program Pertukaran Pelajar dalam tahun 1995 dulu. Masa tu, aku lah yang cadangkan kat keluarga aku supaya join program tu, ambik salah sorang pelajar dari luar negara sebagai anak angkat keluarga aku. Mula² tu Mak aku macam tak setuju sangat, takut tak reti nak sesuaikan diri dengan orang asing. Aku pun bagitau Mak, bukan kita yang kena sesuaikan diri dengan budak tu, tapi budak tu yang kena sesuaikan diri dengan cara hidup kita. Masa tu aku ingat akan dapat orang putih - student dari US ke, UK ke, New Zealand ke, Australia ke. Aku cakap kat Mak, kalau ada orang putih tu nanti, boleh lah speaking dengan adik² aku kat rumah, secara tak langsung membantu subjek English diorang. Maka Mak aku pun setuju lah nak terima anak angkat.

Rupa²nya tahun tu program tu tak ada ambik pelajar² mat salleh, tapi ambik pelajar² Korea & Jepun. Aku lak tiba² rasa bersalah sebab penganjur dah bagitau, budak² dari Korea & Jepun tak berapa reti Bahasa Inggeris pun. Hoh! Macamana nak berkomunikasi tu? Tapi penganjur tu cakap, tak usah cakap orang putih dengan budak tu nanti, sebab tujuan dia datang Malaysia nak belajar bahasa kita, budaya kita. Maka aku pun bagitau Mak, cakap aje lah bahasa kita, lama² dia faham jugak.

Bila Aki (pelajar dari Jepun tu) sampai Malaysia, keluarga aku sambut dengan hati dan tangan yang terbuka. Aki sebaya dengan Ounis. Kitorang panggil dia Kak Lang, supaya dia tak rasa macam orang luar. Dan sememangnya dia memang dah macam keluarga sendiri. Kalau aku pernah gaduh dengan adik-beradik aku, macam tu juga lah Aki dengan adik² aku, ada gurau², ada gaduh², merajuk², lepas tu baik semula. Lepas setahun duduk dengan keluarga aku, Aki dah fasih cakap Melayu, dah biasa pakai baju kurung, dah boleh makan pedas. Masa Aki balik semula ke Jepun, keluarga aku nangis² jugak lah. Kak Teh & Apiq yang memang rapat dengan dia, aku rasa mestilah lagi sedih.

Tapi hati Aki memang melekat kat Malaysia ni kot. Walaupun dah balik Jepun, dia masih selalu berhubung dengan kitorang. Sesekali dia datang untuk bercuti. Kehadiran Aki dalam keluarga kitorang jugak menjadi pendorong untuk Ounis sambung study kat Jepun lepas SPM. Kak Teh pulak, masuk Tingkatan 1 kat Shah Pekan, pilih subjek Bahasa Jepun sebagai salah satu subjek pilihan. Kiranya, ketara juga lah pengaruh Aki dalam keluarga aku walaupun dia cuma tinggal dengan keluarga aku setahun je.

Lepas tamat Degree kat Jepun, Aki datang sini semula, sambung belajar kat sini pulak. Sekarang dia tengah buat Master kat USM. Walaupun tak duduk dengan keluarga aku lagi, tapi bila cuti selalu lah dia balik kampung, macam aku balik kampung jugak lah. Hari Raya pun mesti dia ikut sekali balik rumah Tok. Sedara-mara aku pun semua dah kenal sangat dengan dia. Kalau 10 tahun dulu, dia cakap Melayu sepatah² dengan diorang, sekarang siap dah boleh buat lawak lagik.

Tahun lepas Aki scan gambar² lama ni dan email kat kitorang. Inilah antara gambar² keluarga aku yang dikirimkan oleh penganjur Program Pertukaran Pelajar tu pada dia, sebelum dia datang Malaysia dulu. Tiap kali aku nengok gambar² ni, mesti aku senyum sorang², teringat kenangan masa adik² aku masih kecik lagi. Teringat macamana Apiq selalu cerita - tiap kali jumpa Kak Lang, mesti teringat yang Apiq pernah gaduh dengan Kak Lang masa kecik² dulu, sampai suruh Kak Lang balik Jepun cepat², dan sampai sekarang Apiq masih rasa bersalah dan menyesal sebab pernah cakap macam tu kat kak Lang.

Aku tersenyum bila teringat macamana terkejut dan bulatnya mata Aki yang sepet tu bila mula² tengok lauk yang kuahnya warna merah. Agaknya dalam kepala dia mesti pikir, "Macamana aku nak hirup sup kaler merah ni? Apasal diorang makan air lada nih?!!". Huhuhuu..

Aku tersenyum bila teringat waktu kami meyambut harijadi Aki 10 tahun dulu. Bila Mak keluarkan hadiah untuk Aki yang merupakan seutas rantai emas, aku terkejut sesangat. Bukan sebab aku jeles, tapi sebab masa tu lah aku sedar yang Mak memang sayang Aki macam anak sendiri, sebab hadiah berupa rantai emas ni Mak cuma berikan pada anak² perempuannya saja. Err.. sebenarnya aku jeles jugak, sebab rantai emas dia, ada huruf 'A' yang cute sangat. Huhuhu.. Bila difikir²kan kembali, aneh kan? Nenek moyang aku dulu mungkin membenci nenek moyang Aki yang digelar 'penjajah', yang membunuh ramai pejuang bangsa kita. Tapi hari ini, keluarga kami mungkin menyayangi Aki lebih dari kami menyayangi nenek moyang kami yang tak pernah kami kenali. Mungkin lebih tepat kalau aku katakan, kisah Aki dan keluarga aku adalah suatu bukti bahawa kasih sayang antara insan bukan saja merentasi jurang bangsa, bahasa dan agama, malah menembusi tembok kebencian yang pernah dibina dek sejarah.

Seperkara lagi, aku mesti senyum nengok gambar² lama ni, sebab.. oh lihat lah betapa remajanya wajah akak dalam gambar nih deknon oi..

0 Comments:

Post a Comment

<< Home