Saturday, May 16, 2009

Sahabat

"Terima kasih kerana masih berkawan dengan aku. Walaupun macam² orang fitnah aku, tapi kau masih kawan dengan aku"

Begitu katanya ketika kami bersalaman dan berpelukan. Airmata menitis di pipi.

sahabatku,
biar apa mereka kata tentangmu
biar apa mereka fikir tentangmu
tidak penting bagi aku
kerana engkau kenal siapa dirimu

usah dibelenggu
usah membelenggu

wahai engkau seorang hamba
tidak mereka menjadi tuan kerana lebihnya harta
tidak juga kita suci kerana tiada berada
engkau, aku dan mereka
bukankah kita semua 
berpijak di bumi milik-Nya ?
berteduh di bawah langit milik-Nya ?
menjamah rezeki ihsan dari-Nya?
hidup dan mati dengan izin-Nya?
mereka, kau aku 
hanya sebutir debu
tidak ada lebih aku dari mu
tidak ada kurang engkau dariku
tidak juga lebih kotor mereka darimu atau dariku

sesungguhnya anak Adam itu sentiasa berdosa
siapakah kita untuk menghukum antara sesama?

senyumlah sahabat
telah kau serahkan jiwamu pada Yang Maha Besar
maka dunia ini terlalu kecil untuk melukakan kita
dunia ini terlalu kecil untuk memberikan kita duka
kita tidak jadi keji kerana dihina
kita juga tidak jadi mulia kerana menghina
malah manusia terlalu hina untuk menghina

hanya Allah berkuasa memberi kemuliaan
hanya Allah berkuasa memberi kehinaan
bukankah engkau berzikir
memanggil-Nya yaa Mu'izz.. yaa Muzil

hanya Allah yang berkuasa menjatuhkan
hanya Allah yang berkuasa mengangkat
darjat seseorang hambaNya
bukankah telah engkau akui
Dialah Al-Khaafidh, Dialah Ar-Raafi'

airmata terlalu mahal untuk ditumpahkan kerana manusia
airmata terlalu berharga untuk ditumpahkan pada dunia
biarlah ia menitis
hanya untuk Dia
hanya kerana CINTA pada ALLAH Yang Esa