Friday, October 29, 2004

Hijrah

Bulat sudah tekad ku. Jika tiada aral melintang, akan ku tinggalkan ‘daerah itu’. Sudah lama aku di situ. Sudah tiada apa lagi yang mahu aku pelajari dari sana. Aku perlu mencari ilmu dan cabaran baru. Bukan itu sahaja, aku juga sebenarnya semakin hari semakin tidak gembira di ‘daerah itu’. ‘Dia’ bagaikan tak mahu mengerti akan bebanan tugas yang kian menggunung, kami perlukan lebih pembantu. ‘Dia’ seolah² tak pernah tahu membezakan antara urusan rasmi dan urusan peribadinya. ‘Dia’ umpama tidak peduli andai kami sering merasa kurang dihargai. Alasannya atas segala permintaan kami – “We can’t afford, we don’t have enough fund”

Siapa yang cuba dia perbodohkan? Sebetulnya aku lah yang paling tahu, benar atau tidak alasannya itu. Semakin hari aku merasa semakin dihimpit sakit hati. Selama mana mampu ku pendam sesak di dada? Aku tidak mahu mencurah bakti tanpa keikhlasan di hati. Aku masih ingat kata² seseorang, berkerja biarlah ikhlas, jika tiada keikhlasan, pahala pun tak dapat, rezeki pun tak berkat. Aku tak mahu rezeki yang tidak berkat menjadi darah daging ku, darah daging anak ku. Mungkin jalan yang terbaik bagiku adalah berhijrah meninggalkan 'daerah itu'.

Niat di hati, aku ingin bersama² Abang menumpukan perhatian, menggembling akal dan tenaga memperjuangkan empayar kecil kami. Meski risikonya tinggi, namun aku harus berani mencuba. Andai aku gagal, setidak-tidaknya aku tahu aku telah mencuba. Andai tiada rezeki ku dalam hijrah ini, aku pasti akan mencari jalan lain memperbaiki kelemahan diri.

Aku sedang menunggu saat yang terbaik untuk menghantar utusan pemergian ku kepada ‘dia’. Entah apa reaksinya nanti. Mungkin dia sudah pun mengagak bahawa lambat laun aku pasti meninggalkan institusi itu, lalu dengan senang hati akan melepaskan aku. Jika itu yang berlaku, pastinya lebih mudah bagiku melangkah. Aku harap dia tak akan memujukku dengan tawaran yang bukan². Bimbang goyah pula tekadku nanti. Namun aku sudah pun punya syarat tersendiri andai dia mahu aku kekal di situ. Pun begitu, dia yang ku kenali, mana mungkin akan menuruti permintaanku. Pasti lebih mudah baginya mencari saja pengganti aku. Ramai graduan di luar sana yang masih tercari² tapak untuk berdiri.

Mungkin ramai akan mengatakan aku bodoh kerana memperjudikan periuk nasi sendiri, namun tidak bagi teman² yang menghirup udara yang sama di daerah itu, tidak bagi Abang yang melihat aku bersengkang mata saban malam malahan di hujung minggu mengabdikan diri untuk institusi itu. Malah sering tanggungjawabku sendiri sebagai isteri dan ibu terabai ditenggelami timbunan kerja. Sokongan mereka bagai mengikis keraguan, menyuntik kekuatan untuk aku menapak keluar dari daerah itu.

Bagi diriku sendiri, aku bukanlah memperjudikan nasib. Tidak. Tidak sama sekali. Sebaliknya aku sekadar memberanikan diri mengorak langkah ke arah yang berbeza, dengan rentak yang berlainan. Risikonya pasti ada, namun tujuannya tetap sama - memperbaiki kehidupan kami sekeluarga. Inilah peluang terbaik untuk aku melangkah, kerana pada saat ini aku mempunyai pilihan. Andai aku tidak mengambil peluang ini, mungkin ia takkan mengetuk pintuku untuk kali ke dua. Andai aku terlewat, mungkin aku terpaksa terperangkap lebih lama di ‘daerah itu’.

Doaku semoga apa yang bakal aku lakukan adalah yang terbaik buat diriku, buat Abang juga buat Raha. Amiin

Monday, October 25, 2004

Lambaian Dua Ratu

Panggilan telefon dari Watie pagi ini tidak seperti panggilan²nya yang lalu. Tiada hilai tawa yang biasa ku dengar. Tiada 'anyaman ketupat' mahupun gossip liar darinya. Sebaliknya aku di sentap berita yang mengundang duka. Bagai tak percaya bila Watie kata hari ini mungkin hari terakhir baginya dan Yani bersembang di tingkap rumah Y. Benarkah begitu? Benarkah AMTY bakal kehilangan Ratu Majalah dan Ratu XXX nya? Pasti sunyi tingkap AMTY tanpa jenaka Watie dan Yani.

Namun apa sangatlah kehilangan yang dirasai oleh AMTY berbanding 'kehilangan' yang dibebani dua sahabat ku itu. Di saat menempuh cabaran Ramadhan, Watie dan Yani bagaikan kehilangan periuk nasi di kala Syawal kian menjelang. Begitu berat dugaan yang mereka terima.

Aku tiba² dikunjung keinsafan. Di saat aku berkira² belanja untuk juadah berbuka pusa, kuih muih dan baju baru di hari raya, ada insan lain yang mencongak², apakah rezeki hari ini mampu bertahan sehingga mereka bertemu punca rezeki yang lain nanti? Ingin rasanya ku kongsi bersama berat di bahu yang memikul.

Apa yang terjadi pasti ada hikmahnya. Mungkin tiada lagi rezeki mereka disana, namun bumi Tuhan ini luas. Pasti ada lubuk emas buat Yani dan Watie di tempat lain. Aku doakan semoga dua sahabatku itu diberi kekuatan dan ketabahan mengharungi dugaan mengejut ini.

Kini, 'mesyuarat tingkap' pasti kurang meriah setelah lambaian dua 'RATU' itu hilang dari pandangan kami..

Wednesday, October 20, 2004

Corat-coret Ramadhan II

Seingat aku, aku mula berpuasa ketika Darjah 1. Ketika itu pertandingan berpuasa pastinya antara aku dengan Abang Long kerana adik² yang lain masih kecil lagi. Kalau tak silap, Mak Abah janji duit raya RM 1 untuk sehari puasa kot. Tapi masa tu aku dan Abang Long terlebih cerdik, kami kira, kalau puasa setengah hari saja hari ni, dan setengah hari pula esoknya, boleh dikira 1 hari lah kan?

Yang lucunya Darjah 1 aku berpuasa dapat 18 hari, Darjah 2 pula dapat 12 hari saja. Alhamdulillah semenjak Darjah 3 aku dah dapat berpuasa sebulan penuh.

Hari pertama berpuasa, balik saja dari sekolah aku terus buka peti sejuk. Dengan selamba aku togak air putih sejuk dari botol. Arghh... memang lega rasanya tekak yang kering kontang pada tegahari yang panas tu. Tiba² Mak yang memang ada kat dapur masa tu menyergah "Heh, buat apa tu?"
Selamba aje aku jawab "Minum air lah, tak boleh ke?".
Serta-merta aku teringat yang aku sebenarnya sedang berpuasa. Masa tu rasa macam nak menangis pun ada sebab ingatkan puasa aku dah batal. Kemudian Mak cakaplah, kalau betul² terlupa tak apa.

Bukan sekali tragedi hilang ingatan ni berlaku. Ada sekali tu Mak tengah buat air sirap untuk berbuka puasa. Siap taruk selasih lagi. Masa kacau² air tu, Mak tanya "Manis ke tak agaknya air ni ek?". Terus aku ambil sudu dari tangan Mak, "Biar Yati rasa..", sambil menyudukan air sirap selasih tu ke mulut aku dan dengan yakinnya aku berkata "Manis.. manis.. sedap.. sedap".

Lepas tu baru Mak aku tanya, "Tak puasa ke?" Baru aku sedar aku dah hilang ingatan lagi. Yang hairannya kenapa Mak tak ambil aje sudu tu dari tangan aku sebelum aku terminum tu. Macam tu juga masa aku minum air dari peti sejuk tu. Padahal Mak memang ada kat dapur perhatikan aku. Bila aku dah jadi Emak ni, aku fikir² balik, mungkin Mak tak sampai hati dan kesian tengok aku, jadi dia biarkan aku hilangkan dahaga dulu, barulah dia tegur.

Tapi, bukan semua tragedi minum air di bulan Ramadhan pada zaman sekolah tu disebabkan hilang ingatan semata². Selalunya balik saja dari sekolah, aku terus mandi. Kadang² aku curi² juga minum air dalam bilik air, tapi tak adalah sampai segayung. Seteguk pun tak sampai, sebab di sekolah cikgu ajar, air yang tak di masak tu banyak kuman. Jadi aku memang takut nak minum air paip tu lebih². Setakat hisap sikit² membasahkan lidah aje.

Ni kalau Abang Long baca ni, habis lah dia tau aku mengelat..

Monday, October 18, 2004

Tukar Cat.. Lagi?

Okay.. okay.. Mata aku pun silau tadi. Semalam aku pakai cat Jotun. Lupa pulak aku sponsor Casa Impian musim ni ialah ICI. Jadi aku tukar pula pada cat yang lebih 'mesra-mata'.

Hmm.. tapi kenapa yang ni aku rasa macam dinding ofis gomen ya? Nanti² lah aku tukar cat lain. Penat mengecat time puasa ni.

Tukar Cat?

Ramai yang sibuk buat renovasi untuk 'rumah' masing². Maklumlah nak raya ni kan. Aku pun tak mahu lah ketinggalan. Aku bukan tak suka warna oren yang dulu. Bukan juga aku dah bosan. Cuma saja nak tengok blog aku dengan cat yang berbeza. Kebetulan masa tengah terfikir² warna apa yang nak aku letakkan, aku terbaca posting Emy tentang Blog Personality Color. Aku pun cubalah jawab kuiz di About Web Logs tu, dan ini jawapannya...




My Blog Personality's True Color Is...

YELLOW

It's all about warmth and cheer.

Life's too short to be anything but happy. Sure, I feel "down" too, but I try not to dwell on such negativity.
I prefer to spread goodness and joy through my blog.



Maka aku pun cubalah meng'casa impian' kan dinding rumah aku mengikut saranan kuiz tu. Berjam² juga nak siap walaupun aku cuma perlu edit code warna aje. Entah lah berapa lama mata aku boleh tahan dengan warna ni. Kalau aku rasa pedih² semacam je nanti, aku tukarlah.

Friday, October 15, 2004

Corat-coret Ramadhan

Yang ditunggu dah tiba, yang dinanti dah menjelma, kini Ramadhan menjelang semula. Setiap kali Ramadhan menjengah, bagai ada satu ketenangan yang melenyapkan segala kekusutan jiwa dan minda. Pastinya bukan aku seorang yang merasa begini. Mungkin itulah antara hikmah Ramadhan. Mungkin juga disebabkan iblis dan syaitan semua dirantai, maka bumi Tuhan ini terasa begitu sejuk dan damai.

Hari ini, 1 Ramadhan 1425 Hijrah, merupakan Ramadhan pertama aku di alam blogging. Apa yang istimewa?

Bayangkan ketika kita berjalan² di kaki lima, tiba² seseorang yang tak dikenali menarik tangan kita dan mengajak kita mendengar pengalamannya menyambut Ramadhan, adakah kita mahu berhenti mendengar? "Eeii gila ke apa mamat nih?", mungkin itu yang akan kita katakan.

Bayangkan pula di satu saat kita terkenang zaman kita puasa yang yok, lalu terasa ingin untuk bercerita kepada seseorang. Apakah kita akan berucap di tepi bazar Ramadhan "Tuan² dan puan², masa saya berpuasa di umur tujuh tahun dulu, tiap kali balik sekolah, saya mesti curi minum air di balik peti sejuk supaya emak saya tak nampak, malangnya emak saya nampak juga, lalu saya pun pura² terkejut dan berkata -Alamak orang lupa laa hari ni puasa!!". Mungkin orang sekeliling akan menyangka kita penjual ubat yang baru saja memula kan mukadimah sebelum membuka beg barang jualan.

Maka itulah istimewanya blogging. Tahun² sudah aku sekadar mendengar atau bercerita dari mulut ke telinga tentang kisah² Ramadhan, itupun bersama² orang yang aku kenali samada Abang, Mak Abah, adik-beradik ataupun jika sesekali berbuka puasa bersama bekas teman² sekolah. Namun tahun ini aku dapat membaca dan berkongsi pelbagai memori² dan pengalaman² Ramadhan yang ditulis oleh teman² bloggers samada yang aku kenali mahupun tidak aku kenali. Kadang² kisah² yang aku baca membuat aku tersenyum dan ketawa sendiri. Ada jua yang mengundang keinsafan. Mereka ini mungkin baru ku jumpa sekali dua , atau mungkin langsung tak pernah bertemu wajah, namun membaca coretan mereka terasa bagaikan aku turut bersama mereka ke zaman silam, sama² melalui pengalaman mencuit hati mahupun memori menyayat jiwa. Secara tak langsung, weblog bagaikan medium bagi kita mengenali seseorang itu dengan lebih mendalam, tanpa perlu beliau membuka mulut menceritakan segalanya kepada kita.

Sempena Ramadhan ini aku ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dan ibadah² lainnya, kepada semua teman² yang sudi mengunjungi blog aku, samada yang telah lama ku kenal, yang baru ku kenal, yang pernah bertegur sapa namun tak pernah bersua, yang tak pernah bertegur sapa dan tak pernah bersua, mahupun teman yang membaca namun tak pernah meninggalkan jejak dan bayang. Semoga persahabatan antara kita lebih diberkati sepanjang Ramadhan ini. Kepada Qyrie, aku ingin mengucapkan tahniah atas kelahiran blog beliau, yang juga merupakan 'Blog Bongsu' AMTY. Buat Yani, jangan lupa Batang Buruk Sarawak ku yang 3 peket tu. Buat Screw, jangan juga kau lupa Kuih Semperit yang cair di mulut bukan di tangan tu. Buat AMTY, bulan mulia ni, tak elok menganyam di tingkap. Kalau nak menganyam, tunggu lepas berbuka puasa ye.. mari kita menyanyam bersama² di Seremban nanti!!

Wednesday, October 13, 2004

Rentak Juara - Apa dah jadi Azwan?

Aku tak berkesempatan mengikuti Rentak Juara sedari awal pertandingan ini bermula. Sekadar menonton beberapa minggu yang akhir serta final yang disiarkan secara langsung dari Stadium Negara malam tadi. Sebenarnya aku tak faham kenapa pertandingan akhir diadakan pada malam Selasa. Kalau kita tengok kebanyakan rancangan hiburan, tak kiralah samada pertandingan mahupun majlis anugerah, penganjur rata² memilih malam minggu, apatah lagi untuk pertandingan peringkat akhir. Malam Selasa pastinya bukan malam yang sesuai sekiranya RTM berhasrat menarik perhatian lebih ramai penonton mengikuti rancangan ini.

Hadiah yang ditawarkan memang lumayan. RM 100,000 untuk Juara! Tempat ke-2 pula memenangi RM 60,000, tempat ke-3 menerima RM 20,000 dan RM 3000 setiap satu untuk 5 pemenang saguhati. Juga RM 3000 setiap satu untuk Guitarist Terbaik, Bassist, Drummer, Keyboardist dan Vocalist Terbaik. RM 5000 pula untuk kumpulan paling popular yang diundi melalui SMS. Seingat aku belum pernah ada satu pun pertandingan hiburan di Malaysia yang menawarkan hadiah sebegitu lumayan. Sebagai langkah pertama, aku rasa hadiah lumayan tu pastinya akan mendorong lebih banyak penyertaan pada tahun² akan datang. Dan disebabkan ianya yang pertama juga, maka aku kira banyak kekurangan yang perlu diberi perhatian oleh RTM bagi memastikan rancangan tersebut lebih menarik pada tahun² akan datang.

Aku tak pandai nak komen perkara² teknikal, namun kalau tak sedap di telinga aku, tak sedap lah aku kata. Aku tak tahulah samada sound system di Stadium Negara yang tak sedap, atau band² tu sendiri tu yang tak pandai sound setting, atau sememangnya sejak dulu, apa saja bunyi yang keluar dari saluran RTM memang tak sedap.

Sketsa lakonan peserta² yang ditayangkan sebelum mereka mulakan persembahan juga aku rasakan mengarut. Tak sedap langsung. Setiap kali aku tengok, maka yang terkeluar dari mulut aku ialah "Hek eleee...". Ini pertandingan band ke pertandingan badut? Kalau zaman sekolah dulu, sketsa begini kami panggil 'codek'. 'Codek' bererti lawak syok sendiri, atau, sendiri buat lawak, sendiri rasa kelakar, sendiri juga gelak. Orang lain yang menonton tetap akan kata "Hek eleee.." Tak tahulah kalau RTM nak cari band yang juga boleh boleh dijadikan pelakon bersiri rancangan ala² Senario. Mungkin tujuannya saja suka², tapi aku tetap tak suka. Aku lebih rela tengok iklan daripada tengok pemuzik² tu membodohkan diri sendiri (atau diperbodoh²kan?).

Secara keseluruhan, kesemua peserta akhir yang terdiri dari kumpulan Havoq, Gypsy, Azia, NRG, Thunderstorm, Gerhana Skacinta, The Big Band dan Skyhigh memberikan saingan sengit. Kesemuanya boleh dikatakan pemuzik versatile yang mampu bermain muzik pelbagai genre, dari pop dan jazz hingga ke blues dan rock. Aku yakin mereka pastinya telah lama berkecimpung dalam bidang ini, mungkin antaranya dari kumpulan² muzik underground, atau biasa bermain di kelab² atau hotel, mahupun di kenduri² kahwin atau fun-fair. Paling tidak pun, mereka ini pasti masuk studio jamming 2-3 kali seminggu. Malah ada antara persembahan² malam tadi yang kulihat jauh lebih baik dari persembahan live OAG. Maaf lah kepada peminat OAG, tapi inilah pendapat aku.

Persembahan selingan dari Spider, Wings dan Ramli Sarip juga tidak menghampakan. Akhir² ni aku selalu lihat Yan (Lefthanded) mengiringi persembahan XPDC. Tak tau lah samada Yan memang dah join XPDC atau sekadar bermain secara kontrak. Namun XPDC tetap mantap. Spider juga tak dapat dinafikan memang hebat beraksi. Begitu juga Papa Rock yang tetap rock walau rambut putihnya kini kian ketara. Wings agak kurang menyengat, mungkin kerana mereka memainkan lagu playsafe untuk vokal Awie yang sekarang dah tak begitu power bila tarik tinggi². Aku tak ingat tajuk lagu tu. Macam biasa, aku memang tak berkenan bila Joe banyak sangat 'menggoreng'. Mungkin bagi sesetegah orang ianya artistik. Tapi bagi aku, artistik kalau macam Yngwie Mamsteen. Tapi kalau goreng sampai sumbang tak masuk dengan bass, yang tu bagi aku bukan artistik, yang tu aku panggil overacting atau saja nak menunjuk². Apa² pun, Joe tu professional. Aku bukannya pandai pun perihal gitar ni. Cuma macam aku kata tadi lah, kalau telinga aku dengar tak sedap, tak sedap lah aku kata.

Yang paling memualkan aku tentulah pengacaranya, Azwan Ali. Pasangan pengacaranya tu pula tak pernah aku tengok sebagai pengacara di mana² rancangan. Pol? Saiful? Macam tu lah nama dia. Aku tak nak sebut pasal Pol sebab aku rasa untuk mengacarakan rancangan seperti Rentak Juara, mamat tu okay lah juga, walaupun perlu di asah lagi. Tapi Azwan Ali? Kenapa Azwan Ali? Tak ada orang lain lagi ke? Tak tahulah apa pendapat orang lain, tapi aku rasa Azwan memang sangat² tak sesuai. Dengan bebelannya yang entah apa², aku rasa Azwan lebih sesuai mengacara rancangan Rentak Periuk Belanga atau Rentak Senduk(tu pun kalau ada lah). Tambah pula dengan fesyen pakaian Mat Rempit digandingkan dengan dandanan rambutnya yang nengarut², kadang² aku rasa macam tengah tengok Pertandingan Fesyen Rambut, kadang² aku rasa macam tengah tengok Pertandingan Ratu Mak Nyah pulak. Aku jadi menyampah nak tengok Rentak Juara kerana adanya Azwan. Sejak dari minggu² yang lalu, setiap kali Azwan buka mulut, ada saja yang aku rasa tak kena keluar dari mulutnya. Mungkin Azwan ramai peminat, namun aku pasti mereka yang menonton Rentak Juara kebanyakannya berjiwa 'rock', yang pastinya bukan dari kalangan pemuja Azwan Ali. Aku pun tak faham kenapa Azwan dipilih mengacara rancangan seperti ini. Untuk menandingi populariti Aznil Nawawi barangkali? Jauh panggang dari api. Malahan Jien dan Aleya yang masih mentah tu mengacarakan Malaysian Idol lebih baik dari Azwan mengacarakan Rentak Juara.

Dan kesilapan yang paling besar dan paling bodoh pernah dibuat oleh mana² pengacara ialah mengumumkan nama kumpulan yang salah sebagai Juara. Dah berapa tahun Azwan mengacara? Macamana boleh salah? Kesian aku tengok ahli² kumpulan NRG yang melonjak² sakan bila nama mereka diumumkan sebagai Juara. Malah setelah beberapa kali Azwan mengulangi "Harap maaf, ada kesilapan", NRG masih tidak sedar, masih melompat² kerana terlalu seronok meraikan 'kemenangan' 10 saat itu. Azwan juga hingga terpaksa meminta tolong dari Pol untuk menutupi kesilapannya. Malang bagi Azwan kerana Pol juga bagaikan termangu² tak tahu nak kata apa. Aku sendiri pun terkejut bagaimana kesilapan begitu boleh berlaku. Satu kesilapan yang aku rasakan tidak dapat dimaafkan. Tak dapat aku bayangkan perasaan NRG apabila Azwan kemudiannya mengumukan semula "Keputusan sebenar, juara secara rasminya adalah kumpulan Thunderstorm". Ahli² Thunderstorm juga tidak kelihatan begitu excited diumumkan sebagai pemenang sebenar. Mungkin kerana awalnya menyangka mereka telahpun tewas, atau mungkin juga kerana tak sampai hati mengambil balik trophy dan mock cheque 100 ribu tu dari tangan NRG.

Ini merupakan musim pertama Rentak Juara Rhythm of Champions, dan pengumuman JUARA PERTAMA bagi rancangan RENTAK JUARA sepatutnya menjadi detik kemuncak keseluruhan musim ini. Namun detik itu di rosakkan sama sekali oleh pengacara yang kononnya berpengalaman bertahun². Walau Azwan berkali² memohon maaf dan cuba menerangkan bahawa kesilapan itu disebabkan kekeliruan pada senarai nama yang diberikan kepadanya, namun Azwan terus²an di boo oleh penonton di Stadium Negara malam tadi. Siaran secara langsung itu pastinya menampakkan kesilapan dan kebodohan Azwan. Dan aku hampir merasakan ianya adalah detik penamat bagi karier Azwan Ali.

Mungkin ianya kesilapan pihak penerbitan yang tidak berbincang dahulu mengenai senarai pemenang yang diberikan kepada Azwan. Pemenang diumumkan bermula dengan pemuzik² terbaik, selepas itu 5 pemenang saguhati (mengikut turutan dari bawah), diikuti pemenang tempat ke-3, dan JUARA diumumkan dahulu, barulah tempat ke-2. Senarai yang diberikan pada Azwan telah pun disusun mengikut nama yang perlu diumum, oleh itu nama Thunderstorm pastinya berada di nombor 2 dari bawah (atau nombor 2 dari atas), namun Azwan mungkin menyangka nama yang paling akhir (atau paling atas) dalam senarai adalah Juara, yang pastinya nama NRG, lantas dengan konfiden mengumumkan NRG sebagai juara. Kesalahan begitu mungkin boleh diterima sekiranya di lakukan oleh orang yang baru pertama kali menjadi pengacara. Tapi Azwan berpengalaman bertahun²!

Terlebih awal sewaktu mengumumkan pemenang² bagi kategori pemuzik terbaik - Guitarist terbaik, Bassist terbaik dan Drummer terbaik jatuh kepada kumpulan Thunderstorm. Cuma keyboardist terbaik jatuh kepada NRG dan Vocalist terbaik pula jatuh kepada satu lagi kumpulan lain (tak ingat kumpulan mana). Secara logicnya, jika 3 pemuzik terbaik berada dalam satu kumpulan yang sama, sudah pastilah kumpulan itu sepatutnya muncul sebagai kumpulan terbaik. Aku yang menonton di rumah pun dapat mengagak Thunderstorm sepatutnya diumumkan Juara jika berdasarkan keputusan pemuzik² terbaik. Sebagai pengacara berpengalaman, Azwan sepatutnya peka perkara² sebegitu. Jika keliru, Azwan sepatutnya mendapatkan kepastian.

Bagi aku inilah tamparan paling hebat buat Azwan. Disaat 'perselisihan' nya dengan Aznil masih baru saja diperkatakan, pastinya Azwan akan dibanding²kan lagi dengan 'musuh' tradisi nya itu. Dan semalam merupakan 'kekalahan' besar buat Azwan. Aznil juga pernah membuat kesilapan yang sama ketika mengumumkan penyingkiran Fitri dari AF2. Aku menganggap itu sebagai satu kesilapan yang tak seharusnya berlaku. Namun apa yang berlaku semalam bagi aku berkali ganda lebih besar silapnya. Malah ketika sidang media yang ditayangkan secara langsung selepas itu juga, seorang wartawan muda secara terang²an menegur tentang kesilapan yang tak sepatutnya berlaku itu. Dato' Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir pula yang terpaksa memohon maaf bagi pihak RTM. Menurut Dato' Paduka, ada lagi kesilapan² lain yang telah beliau perhatikan, dan beliau akan cuba memastikan ianya takkan berulang (aku harap maksud sebenar Dato' Paduka ialah: Azwan Ali takkan kembali mengacarakan Rentak Juara tahun hadapan)

Apapun, aku bersetuju dengan kata² Dato' Paduka, Malaysia mempunyai banyak kumpulan² muzik berbakat besar, kita tak perlu mengambil pemuzik² dari luar untuk menyanyi di hotel² kita. Dengan adanya Rentak Juara bukan saja dapat memberi peluang kepada bakat² berkumpulan ini menonjolkan diri, di harap juga dapat membuka mata sesetengah pihak tentang kewujudan mereka. Aku pada awalnya hanya melihat Rentak Juara sebagai hiburan semata², namun Dato' Paduka telah mengaitkannya dengan industri perhotelan tanahair. Ye lah, Dato' Paduka dulu kan dari Kementerian Pelancongan, pasti banyak pengalaman beliau yang dapat di hubung-kait kan dengan agenda² baru di Kementerian Penerangan. Khabarnya Rentak Juara Rhythm of Champions juga adalah idea Dato' Paduka sendiri. Syabas Dato' Paduka. Cuma diharap Dato' Paduka janganlah biar kan orang² yang cepat melatah tu merosakkan agenda² dan idea² bernas Dato' Paduka tu ya.

Monday, October 11, 2004

Cabaran Titi Gantung vs Cabaran Axion

Terkilan juga tak dapat menyertai Cabaran Titi Gantung KLCC bersama AMTY. Dari laporan Emy, memang seronok bunyinya. Biasalah Ratu Update, memang laju buat laporan. Magbox pulak bercerita seringkas karangan ringkas SPM, yang mana syaratnya tak melebihi 100 patah perkataan. Malaslah tu.. hehehe (jangan marah Mag). AMTY yang lain masih belum bercerita di blog masing² (setakat entry ni ditulislah). Aku masih ternanti² laporan bergambar dari Screw - Ratu Penglipurlara yang masih belum turun takhta tu. Tak apalah, walaupun aku tak dapat pergi, aku suka nak meminjam ayat iklan AM Finance, "Asalkan AMTY bahagia... mak pun bahagiaa.."

Sehari sebelum AMTY mengharungi Cabaran Titi Gantung, aku balik ke rumah Mak Abah. Alhamdulillah, dah selesai sepenuhnya pengubahsuaian rumah tu. Walaupun banyak yang telah dibelanjakan, jelas di wajah Mak Abah, betapa mereka berpuas hati dengan hasilnya. Sebagai anak, aku sebenarnya sedih sebab tak mampu berkongsi mengeluarkan belanja. Setakat memberikan pendapat dan sponsor barang sebiji dua kusyen buat perhiasan saja lah yang aku termampu.

Namun aku juga gembira melihat kebahagiaan terpancar di mata Mak Abah, lebih² lagi Mak yang beberapa tahun lalu telah mengharungi saat² yang memilukan, detik² paling pedih dalam hidupnya sebagai seorang wanita dan isteri. Aku bersyukur semua itu telah berlalu. Aku bersyukur melihat Mak berleter apabila Abah asyik bermain games di komputer, kerana itu bermakna, Abah sentiasa ada di rumah. Aku bersyukur bila Abah bising² jika Mak lambat memasak, kerana itu bermakna Abah mahu makan di rumah, mahu makan masakan Mak, bukan diluar, bukan masakan orang lain. Aku bersyukur melihat Mak Abah sama² membelai pokok² bunga mencantikkan halaman, bersama² menggilap perabot jati yang baru dibeli, kerana itu bermakna mereka masih bersatu, masih saling menyayangi. Aku bersyukur melihat kehidupan kedua insan yang paling kusayangi itu disaluti kebahagiaan. Senyum lah Mak, ketawalah Mak, biar poket kita tidak dibanjiri wang, namun airmata kesedihan itu telahpun kering. Andai masih ada yang bergenang, itulah airmata kesyukuran.

Dan Jumaat lalu, bila Mak Abah mengadakan majlis kesyukuran, majlis baca Yasin serta majlis sempena menyambut Ramadhan, aku mengambil cuti untuk bersama² Mak Abah memanjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi. Abang Long tak balik kerana dia tak tahu pun Mak Abah buat majlis ni. Kata Mak, dia memang sengaja tak bagitau sebab Mak tau Abang susah nak dapat cuti. Lagipun majlis tu dibuat pada hari Jumaat. Ana & Erma pun tak balik sebab harus berperang dengan exam hari tu. Apiq pula di asrama, bukan sewenang²nya boleh keluar. Ounis di Jepun pula dah tentulah tak dapat balik. Tinggal lah aku seorang yang mewakili adik-beradik. Terpaksalah aku mengharungi Cabaran Axion seorang diri pada hari Sabtu tu. Sebenarnya tak banyak mana pun pinggan mangkuk untuk aku basuh. Kebanyakannya dah dibasuh oleh jiran² Mak yang datang menolong malam tu.

Walau aku terkilan tidak dapat bersama AMTY untuk Cabaran Titi Gantung, namun aku tak menyesal pulang ke kampung untuk Cabaran Axion bersama Mak. Aku tak mampu membahagiakan Mak Abah dengan harta mahupun wang ringgit. Belum mampu. Jika hanya sekadar keringat dan tulang empat kerat yang mampu aku berikan, maka itu lah yang akan aku taburkan sebagai bakti.

*Mencelah:
Aku nak ucap terima kasih kat Emy atas pertolongan memilih 'radio' yang sesuai untuk 'rumah' aku ni. Ailabbiu bebeh..
Kawan², enjoy.. Truly..

Wednesday, October 06, 2004

Sepetang Bersama Dayang

Sabtu - 2 Oktober 2004, dengan semangat berkobar², sebaik saja celik mata aku mengecas bateri kamera. Puas memilih baju manakah yang akan kelihatan bergemerlapan di hadapan Dayang, dengan harapan Dayang akan mengajak aku naik ke pentas untuk berduet barang satu-dua lagu. Akhirnya aku memilih baju berwarna putih, kerana di dalam cahaya suram Planet Hollywood, berserta make-over ala² Bienda, dengan konfiden nya aku merasakan Dayang pasti akan nampak aku.

Aku gagal sampai pada jam 2.23 pm seperti mana yang dijanjikan, namun aku sempat tiba sebelum makanan yang diorder oleh Screw, Magbox dan Yani dilangsaikan. Dengan bangganya aku makan free dan melakonkan wajah tidak bersalah ketika sessi membayar. (Terima kasih Yani kerana mengenyangkan perut aku yang memang tengah lapar). Walau macamanapun, hingga ke hari ini aku masih tidak berpuas hati kerana gelas Sprite aku dan Lela (kawan Yani) lebih kecik dari gelas diorang, sedangkan kitorang bayar tiket harga sama jugak. Niat aku untuk mengadu kepada Persatuan Pengguna terpaksa aku batalkan kerana terlupa ambil gambar saiz gelas yang berbeza tu.

Sebaik saja Dayang naik ke pentas, aku, Screw, Mag, Yani dan Lela tidak mahu hanya melihat bontot Dayang dari belakang, maka kami pun bergerak mencari posisi yang sesuai. Gagal mendapatkan posisi di depan pentas bersama Chef Wan dan Afdlin Shauki, maka kami terpaksa sekadar berpuas hati dengan kedudukan di sudut kiri pentas. Kerjaya aku dan Screw sebagai camera-women pada hari itu disabotaj hebat oleh Abang Gitar dari kumpulan Acidis yang seringkali memberikan kami gambar belakangnya, atau sesekali gambar dahinya. Seorang Mat Topi di bahagian hadapan aku juga memberi cabaran hebat membuatkan aku gagal mendapatkan gambar skirt rambu-ramba yang dipakai oleh Dayang. Kegagalan itu menyebabkan aku terpaksa membatalkan niat untuk memakai skirt yang serupa pada Hari Raya nanti kerana ketiadaan contoh untuk diberikan kepada tukang jahit. Selain itu, kemunculan waiter dan waitress dari arah belakang turut menjejaskan fokus lensa aku. Bukan saja pelanggaran kecil dengan mereka itu merosakkan mood nyanyian aku bersama Dayang, malahan makanan sedap² di dalam dulang yang mereka bawa juga turut menganggu konsentrasi mata aku dari terus menatap Dayang, kerana asyik memandang makanan di dalam dulang tersebut.

Dayang kelihatan cantik petang itu. Dengan baju 'bebek' ala² baju tidur aku ketika sessi menggoda suami, serta dengan rambut panjang keemas-emasan, Dayang sangat jauh berbeza berbanding 2 tahun lalu ketika aku melihatnya di Midvalley menyanyi di pentas promosi produk kecantikan ZA. Dayang kini lebih anggun dan kelihatan lebih dewasa.





Vokal Dayang petang itu juga begitu hebat dan mengkagumkan. Hanya orang² yang pekak dan buta seni sahaja yang akan mengatakan suara Adam lebih sedap dari suara Dayang (oopps! Relevan ke?). Dayang menyanyikan lagu² dari album barunya, serta lagu² lama yang dinyanyikan semula dengan arrangement muzik yang baru. Aku tak berapa ingat judul² lagu yang Dayang nyanyikan petang itu. Cuma yang aku ingat, ada antara lagu² Dayang dicipta oleh Afdlin Shauki, Lah V.E dan Cat Ruffedge (lagu Dayang Cinta Kamu yang dinyanyikan pada malam AE04).

Selain dari nama² selebriti yang telah aku sebutkan tadi, Anuar Zain turut mencuri lampu limau (steal the limelight) pada petang itu di mana kehadirannya telah menyebabkan beberapa penonton termasuk Yani diserang histeria sejenak. Kejayaan Yani membelai rambut AZ telah membuatkan Yani tidak mahu membasuh tangannya selepas itu.. (jangan marah Yani). Aku pula seperti biasa, tetap mengcontrol ayu kerana seboleh²nya aku tidak mahu AZ tahu bahawa aku pernah berangan menjadi aweknya sewaktu Darjah 6 dahulu, ketika dia sedang popular dengan lagu Kain Pelekat. Berkali² aku cuba merakamkan wajah AZ dalam kameraku, namun gagal, kerana AZ begitu cekap bersembunyi di sebalik lengan Afdlin yang menurut Yani sama besar dengan pahanya itu.

Pada saat kami sedang seronok berfoya² pada petang itu, aku terfikir, Emy mungkin sedang memuncungkan mulut dengan bossnya kerana memusnahkan impiannya bertemu Dayang petang itu. Sememangnya 'Sepetang Bersama Dayang' pada asalnya merupakan usul Emy. (Terima kasih Emy). Ana pula mungkin telah memuncungkan mulut dengan Apek servis kereta pada petang itu kerana memakan masa berjam-jam menyiapkan keretanya. Di saat Dayang sedang menyanyikan lagu terakhir, aku menerima SMS dari Ana - "Dah start ke? Berbaloi ke koi pegi sekarang?". Lalu aku membalas, "Tak yah lah aok, rugi jek". Memang membazirlah kalau bayar RM25 setakat nak nengok Abang Gitar dan Acis cabut wayar..

Selepas Abang Gitar dan Acis membungkus gitar dan keyboard mereka, kami beramai² berkumpul di tingkat atas menunggu Dayang untuk sessi autograf. Sementara menunggu Dayang di-touch-up, aku membeli single Dayang. RM 10 untuk 2 lagu. Pelik ya, kalau ada 2 lagu, kenapa dipanggil 'single'? Sebenarnya aku tak pernah pun beli album Dayang sebelum ini tetapi disebabkan rayuan Dayang yang begitu menyayat hati pada petang itu, maka ku hulurkan jua simpati. Kata Dayang dia sanggup buat apa saja untuk jual albumnya. Dayang sanggup turun ke pasar malam, buka meja, menyanyi di pasar malam untuk menyampaikan album ni pada peminat²nya. Hmm.. pesanan aku pada Dayang, kalau Dayang nak nyanyi di pasar malam, jangan pakai baju bebek ya.

Dayang ketika sessi autograf



Berada di barisan paling hadapan, aku berjaya mendapatkan gambar Dayang dari jarak dekat. Dengan barisan gigi ala² model iklan Colgate, Dayang memberikan pose teristimewa walaupun wajahnya ketara kepenatan. Begitu bersabar Dayang melayan peminat².

Yang ni istimewa untuk aku.. (hehehe)


Dan yang ini pastinya istimewa untuk AMTY!!

(Semoga dapat mengubat demam Emy...)


Klik Sepetang Bersama Dayang untuk melihat lebih banyak aksi² Dayang dan jemputannya petang itu.

Friday, October 01, 2004

Ciptaan Tuhan vs Ciptaan Manusia

Yang ni aku ambik di luar rumah Ibu Mertuaku.


Yang ni pulak aku ambik di dalam rumah Ibu Mertuaku.


Mertua aku memang rajin. Luar rumah, dalam rumah semuanya berhias. Kalau nak tengok antara koleksi mertua aku di luar dan di dalam rumah, klik
Di luar rumah Ibu Mertuaku
Di dalam rumah Ibu Mertuaku
Namun, mana kan sama ciptaan manusia dengan keindahan ciptaan Tuhan. Aku bersyukur kerana masih mampu menikmati keindahan itu. Aku bersyukur kerana dapat mertua yang baik dan rajin.. (serius tiada niat membodek, mak mertua aku bukan pandai pun baca blog ni.. hehehe)