Monday, May 24, 2004

Noritta

'Noritta could have had oral sex on the day of her murder'
'Noritta aktif lakukan hubungan seks'
'Noritta mati selepas seks kasar'
'Noritta pernah jadi GRO'


Kalau dah begitu tajuknya, dah tentu laju aje tangan kita mencapai untuk membeli (termasuklah tangan aku sendiri). Kayalah company surat khabar tu ye. Pada mulanya memang bersunguh-sungguh aku ikuti kes perbicaraan ni. Tapi semakin hari, aku semakin jijik. Namun jijik aku bukan pada Noritta. Tapi pada penulis yang mensensasikan kes perbicaraan tersebut. Banyak sangat gaji mereka dapat agaknya, atau mungkin semakin sensasi tajuk berita tu, semakin mencanak elaun atau bonus mereka nanti.

Pasti ramai yang mencebik mencemuh gadis yang telah pun berada di alam barzakh itu. Ramai pula yang naik syok tertunggu-tunggu, apa pula kisah sensasi esoknya. Satu Malaysia tahu apa yang dibuat oleh Allahyarham Noritta sebelum dia meninggal dunia. Satu Malaysia tahu betapa exoticnya Noritta, berapa ramai lelaki ditidurinya, dimana lebam pada tubuh badannya, berapa banyak takungan air mani di dalam… Cerita di akhbar kini tidak lagi menjadi ulasan kes perbicaraan pembunuhan, tapi dah jadi rentetan cerita seks Noritta! Berapa ramai agaknya yang baca akhbar tu tertunggu-tunggu samada si Haniff Basree tu bersalah atau tidak? Berapa ramai agaknya pembaca yang mencemuh mereka yang telah meniduri Noritta? Berapa ramai agaknya pembaca yang mengutuk betapa kejamnya si pembunuh? Berapa ramai pula yang meletakkan diri mereka di tempat ayah, ibu, adik-beradik dan saudara-mara Allahyarham Noritta?

Aku bukanlah ingin membela Noritta. Namun bagi aku Allahyarham masih terlalu muda. Mungkin Allahyarham tersilap dalam mengejar kemewahan dan keseronokan dunia. Aku juga seorang perempuan, pernah melalui usia 22 tahun, pernah mengingini pelbagai perkara, juga tidak lari dari melakukan pelbagai kesilapan, kerana aku hanyalah manusia biasa. Begitu juga Allahyarham Noritta. Dia juga seorang manusia biasa. Sekiranya Allahyarham telah melakukan dosa, biarlah ianya antara Allahyarham dan Tuhan. Mengapa pula kita yang hidup ni nak buat dosa kering dengan mengaibkan Allahyarham? Mungkin perbicaraan memerlukan butir terperinci bagi mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh, namun perlukah butiran terperinci itu dipaparkan untuk tatapan umum? Perlukah Allahyarham yang ditemui mati dalam keadaan berbogel itu 'ditelanjangkan' lagi? Konon untuk dijadikan pengajaran? Aku rasa, ianya lebih kepada untuk menjadikan DUIT.

Tak cukup-cukup kah pihak akhbar di saman oleh Mikko Kauko Johannesjarva dan Shahfrul Azrin Azman yang pernah direman di awal kes ini? Mungkin pihak akhbar ini menunggu kunjungan peguam dari pihak keluarga Allahyarham Noritta pula. Aku bayangkan seandainya Allahyarham Noritta itu adalah sebahagian dari ahli keluargaku. (Aku tak pasti samada Allahyarham ada mempunyai adik, kakak atau abang. Namun yang pasti Allahyarham ada ibu bapa.) Bagaimana aku hendak ke pejabat sekiranya melangkah sahaja ke pejabat, teman-teman sekerjaku sedang mengadap akhbar dengan tajuk utama - adikku aktif lakukan hubungan seks. Bagaimana boleh aku ke sekolah, jika teman-teman asyik memandang-mandang padaku, mungkin mereka sedang memikirkan bahawa kehidupan aku juga seperti kakakku? Bagaimana aku hendak menghadiri kenduri-kendara jiran-tetangga sekiranya baru malam tadi akhbar mewar-warkan anakku yang telahpun menjadi arwah itu pernah jadi GRO?

Di saat kita membaca surat khabar sambil menggeleng-geleng kepala, mencemuh-cemuh dan berbincang-bincang sesama kita , di saat tauke surat khabar ketawa besar mengaut untung berjuta, sedarkah kita, keluarga Allahyarham Noritta memerah kain mengelap airmata?

Buat ahli keluarga Allahyarham Noritta, aku doakan semoga kalian tabah dan diberikan kekuatan menghadapi saat paling getir ini. Buat Allahyarham Noritta, Al-Fatihah...

Friday, May 21, 2004

Cerita Hutang

Jelak betul aku dengan cerita hutang-piutang nih. Tapi ada ke manusia hidup tak berhutang? Susah nak cari. Kalau ada pun, mesti manusia tu bawah 18 tahun sebab dia belum layak nak mintak hutang dengan bank. Pendekata, kalau manusia tu dah bekerja, mesti ada lah hutang. Hutang rumah, hutang kereta, dan hutang paling masyhur sekali hutang kad kredit. Itu yang berkerja. Yang belum bekerja pun banyak juga yang berhutang. Tak percaya pergi aje lah kat mana-mana universiti, tanya siswa-siswi tu diorang belajar tu hutang ke Mak Abah yang tanggung? Tapi aku bukan nak kutuk sistem hutang-piutang ni. Kalau tak berhutang, mana lah mampu nak buat harta. Kalau nak tunggu duit cash seguni baru nak membeli harta, jangan kata nak pakai kereta, nak beli basikal pun belum tentu mampu. Kalau tak ada organisasi nak bagi hutang, ramai lah anak bangsa kita tak ada ijazah. Kalau tak berhutang, macamana nak dapatkan modal nak berniaga? Tak ada pulak anak bangsa kita yang kaya-raya nanti. Lagi kaya seorang manusia tu, lagi banyak lah hutang dia. Lagi besar perniagaan dia, lagi besar lah hutang dia. Iyalah, kalau dah banyak harta, banyaklah yang boleh dicagarkan. Banyak pula lah yang boleh dipinjam.

Tapi yang buat aku sakit jiwa, sakit kepala dan sakit hati ni, bila orang berhutang atas harta dan nama orang lain. Dah tak cukup harta sendiri, pinjam harta mak bapak atau adik-beradik dijadikan cagaran. Tak pun, disebabkan nama sendiri dah tak boleh pakai, atau kata lainnya, dah disenarai hitamkan lah, maka nama orang lain yang masih putih bersih suci murni dijadikan mangsa. Si Pakcik pakai nama anak saudara, tak pun si Abang pakai nama adik yang masih muda remaja. Asalkan budak tu cukup umur nak buat pinjaman, maka kira jadi aje lah. Dokumen semua boleh ditipu. Setakat nak buat slip gaji atau Borang EA palsu tu, kacang putih aje. Semuanya Pakcik boleh uruskan. Si budak tu tinggal sain aje. Janji si tua kutuk tak sedar diri tu, "Don't worry, bulan-bulan aku bayar punya. Kita kan sedara, bukan boleh lari mana." Budak baik yang hormat orang tua tu ikut sajalah kata Pakcik atau Abangnya, tak baik melawan orang tua. Lagipun, apa salahnya tolong sedara. Maka termaktublah mengikut kanun bahawa si budak telah membeli sebiji kereta dengan meminjam beribu-ribu lemon dari bank.

Selang 2-3 tahun si tua kutuk mula buat perangai. Nak beli kereta barulah, nak jual keretalah, tak bayar loan lah. Dah tu tak reti-reti pulak nak bawak berbincang dengan tuan punya nama. Suka hati tok nenek dia aje jual kereta. Janji dia dapat duit, konon pembeli baru akan sambung bayar dengan bank. Loan di atas nama budak malang tadi tak di uruskannya. Kiranya, kalau ikut undang-undang, budak tu masih lagi penghutang, walaupun dia sendiri tak pernah pegang stering kereta yang dah pun terjual tu. Dah dekat setahun kemudian, datanglah surat bank, mintak budak ni jelaskan hutang yang dah tertunggak berbulan-bulan, tak pun dah bertahun-tahun. Siap kena turun-naik mahkamah macam penjenayah pulak. Hah melopong lah si budak yang dah tak budak lagi tu. Baru minggu lepas dia berangan nak beli GTI. Tak pun baru je malam tadi dia janji dengan gelfren nak buat personal loan untuk dijadikan hantaran meminang dara pujaan. Terbantutlah cita-cita dia. Puas di rayunya si Pakcik tua bangka tu supaya tolong settle kan loan atas namanya tu. Kot ye kalau nak mampus pun, tolong lah bersihkan nama budak yang nak hidup lama lagi tu. Tapi si tua pun setakat melepas batuk di tangga aje lah. Takde masanya dia nak pegi cari pembeli kereta dia yang lama tu. Lagipun dia sekarang dah pakai BMW (entah nama sapa pulak dia jadikan mangsa). Business pun dah semakin maju. Busy lah, mana ada masa nak layan hal-hal macam tu. Lagipun tak ada kena-mengena dengan nama dia lagi. Tak pun diberinya alasan, anak-anak dia ramai, tak cukup duit dia nak bayar ansuran tu.

Habis apa la sudahnya budak yang baru nak mula hidup tadi? Bergaduhlah dia dengan gelfrennya sebab tak jadi kahwin. Melelehlah air liur dia tengok kawan-kawan lain memandu kereta sendiri sedangkan dia terpaksa naik bas atau LRT. Tak pun, kalau dia dah kahwin, muncung lah bini dia sebab tak jadi beli rumah idaman yang dia tinjau tempohari. Nak beli macamana, nama dah kena blacklist, tak bolah apply loan lagi. Muncung bini bukan setakat di rumah, habis pakcik-makcik, biras dan mertua pun terkena tempiasnya. Iyelah, dia tau si Pakcik menjadi punca dia laki-bini tak dapat mengumpul harta untuk masa depan anak-anak dia pula. Nak bersuara, nanti dikata kurang ajar pula. Lagipun masa pinjaman dibuat dulu, dia dan suaminya belum bercinta pun lagi. Nak bermanis muka, hati dia memang dah sakit, menyampah, meluat nengok muka si Pakcik yang tak bertanggungjawab. Sudahnya dia dan suami yang makan hati.

Semuanya gara-gara sedara-mara. Nama aje sedara, masa nak meminjam nama dulu dia kenal la sedara, tapi bila dah masuk bab-bab settle hutang, putus sedara pun dia tak kisah agaknya. Yang penting leher sendiri tak terjerut, orang lain sengsara, dia peduli apa. Ini dah kira menganiaya. Cerita panjang pun tak guna. Biar Tuhan aje lah yang balas nanti. Orang yang menganiaya orang lain, jangan kata kat akhirat, kat dunia pun belum tentu selamat. Aku pernah dengar orang kata, Tuhan selalu makbulkan doa orang yang teraniaya.

Friday, May 14, 2004

Mimpi Raha


Sejak tiga malam lepas Raha asyik batuk-batuk. Pagi tadi makin menjadi-jadi pula batuk dia. Risau aku. Abang ajak ke klinik. Tak mahu tunggu petang. Sampai di klinik elok aje pulak dia. Sekali pun tak batuk. Suhu badan pun biasa saja. Agaknya dalam hati doktor tu kata, "Mengada-ngada betul mak abah budak ni".

Aduhai Raha.. batuk-batuk sebab dah lama tak naik kereta agaknya. Saja dia berlakon supaya Mak dan Abah bawa pergi klinik, boleh jalan-jalan. Tak pun, setiap kali tidur, Raha mimpi makan ais krim atau minum milo ais. Mesti dia makan dan minum banyak-banyak kan? Sebab tu lah sampai terbatuk-batuk.

Thursday, May 13, 2004

Thanks Abang!

Dalam seminggu ni aku dok asyik mahsyuk 'bercinta' dengan notebook baru aku. Hadiah dari Abang sempena harijadi aku ke-29. Seronoknya. 2 tahun lepas Abang hadiahkan aku PC, tapi akhirnya PC tu jadi PC Abang, sebab dia aje yang selalu guna. Tahun ni Abang hadiahkan notebook pulak, supaya aku tak gaduh lagi dengan dia bila nak guna komputer. Sebenarnya, aku aje yang suka cari gaduh dengan Abang. Bila Abang guna PC tu lama², dengan jahatnya aku kata, itu PC aku, sebab hadiah harijadi aku. Tapi Abang memang cerdik, dia selalu bagi hadiah kat aku something yang dia pun boleh guna. Tengok lah nanti, kalau Abang nak pegi mana², mesti dia nak pinjam notebook aku. Nanti birthday Abang, aku pun nak bagi hadiah yang aku pun boleh pakai juga. Apa ya?

Apa-apa pun (pinjam ayat Azizi), thanks a zillion to Abang! Sekarang makin senang aku nak buat kerja sambil menonton CSI atau American Idol, dan sambil main² dengan Raha.

Alhamdulillah syukur nikmat. Segala pujian bagi ALLAH yang memurahkan rezeki kami sekeluarga sepanjang tahun ini.

Thursday, May 06, 2004

Hari ini...

Hari ini, setahun yang lalu, aku sedang bergembira kerana semalamnya doktor beritahu aku pregnant 4 - 6 minggu. Itulah hadiah yang paling berharga pada harijadiku tahun lalu. Sebenarnya aku tak ingat pun kalau aku ada dapat hadiah lain.

Hari ini, bangun dari tidur, aku menatap wajah Raha disisi. Indahnya. Setahun yang lalu aku cuma seorang isteri. Hari ini, aku seorang emak. Begitu cepat statusku berubah dalam masa setahun. Dalam usia 29 tahun, aku bersyukur kerana memiliki pekerjaan yang baik, rumah tempat berteduh, suami yang penyayang, anak yang sihat dan comel, keluarga yang bahagia.

Hari ini, aku bersyukur kerana ada Abang dan Raha, pulang dari kerja, hatiku di dakap bahagia, tidak perlu menonton TV sendirian, tak perlu menjeling² handphone menanti panggilan teman², tak perlu menggaru kepala melayan kebosanan.
Hari ini, aku bersyukur kerana mampu memiliki kereta, walau bukan BMW, aku tak perlu berebut² menaiki bas atau berhimpit² di dalam LRT mahupun beratur membeli tiket.
Hari ini, aku bersyukur kerana mampu memiliki handphone, walau tak mahal, aku tak perlu bersungut mencari public phone yang sering rosak di tepi jalan bila ada kecemasan.
Hari ini, aku bersyukur kerana mampu memiliki komputer, walaupun kadang² lembab, aku boleh selalu menghubungi ahli keluarga dan teman² ku yang jauh tanpa perlu membeli setem dan mencari peti merah di jalanan.
Hari ini, aku bersyukur kerana mampu membeli pakaian, walau tidak berjenama, ia tidak bertampal sana-sini, masih bertukar ganti saban hari. Tetap berseri, tetap berwarna-warni.
Hari ini, aku bersyukur kerana mampu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, walau tidak di restoran mewah, perut aku tetap kenyang, tak perlu mengikat perut di hujung bulan, meratah maggie mahupun menadah tangan meminta-minta.
Hari ini, aku bersyukur kerana kakiku masih mampu melangkah ke pejabat, jemariku masih mampu menaip, mataku masih melihat, telingaku masih mendengar, mulutku masih berbicara, otakku masih mampu berfikir.
Hari ini, aku bersyukur kerana masih menerima ucapan Selamat Hari Jadi dari insan² yang aku sayangi, Abang, Emak, Abah, Abang Long, Ana, Ounis, Kak Teh, Apiq, Aki, teman² sekolah dan pejabat. Aku tidak sendiri.
Hari ini, aku bersyukur pada Mu Tuhan, kerana masih meminjamkan nyawa untuk aku terus bernafas menghirup nikmat yang engkau anugerahkan selama 29 tahun usiaku ini.