Thursday, September 30, 2004

Tok

Kedutan di wajah Tok Antan semakin jelas. Uban putih di rambut Tok Tina semakin nyata. Kedua-dua mereka ketara kian ditelan usia. Itulah pertama kali Raha bertemu kedua moyangnya di sebelah emak ku. Raha masih ada seorang lagi moyang di sebelah abah aku, juga seorang lagi di sebelah emak mertuaku.

Sejak lahir, Raha belum pernah kubawa menjejak bumi kelahiran ku itu. Tugas, jarak dan waktu menjadi penghalang. Atau mungkin menjadi alasan? Jika tidak kerana berita kemalangan menimpa Tok Antan tempohari, mungkin aku hanya akan menjenguk wajah tua itu bila Syawal menjelma nanti. Memang hati sering mendesak untuk kesana, namun bibir ini begitu berat meluah rasa. Mujur Abang sendiri membuka bicara. Walau cuma sehari, cukuplah buat aku melepas rindu, buat Raha mengenal asal-usulnya.

Pintu memang terbuka.
“Assalamualaikum”
Sepi. Aku masuk tanpa dijemput.
“Assalamualaikum”
“Waalaikumsalam”. Itu suara Tok Tina.
“Betul lah, ada orang datang tu”. Suara Tok Tina lagi.
“Eh Yati??!!”
Seakan terkejut melihat cucu mereka tiba² muncul di ruang tamu . Bukan cuti sekolah. Bukan hari raya. Tiada juga kenduri-kendara. Sekadar Ahad yang biasa. Mungkin mereka tidak langsung menyangka aku datang dari ‘jauh’ untuk menjenguk mereka buat sehari.

Tak jauh pun sebenarnya, Tok. Bukan lalu tanah merah pun. Dari Kuala Lumpur sampai ke muka pintu rumah Tok, jalannya hitam bertar. Tinggal ‘nak’ atau ‘taknak’ aje. Tiba² aku rasa malu. Di bumi itu aku dilahirkan, di bumi itu uri ku tertanam, di bumi itu aku bertatih, jatuh dan berlari. Namun dewasaku dalam jerebu kota yang mengaburkan pandangan mata, menjarakkan aku jauh dari bumi itu.

Sedapnya asam pedas ikan mayong masakan Cik Eli masih terasa. Perut kenyang, hujan lebat pula bagai mengundang lena. Raha pun dah lama melelapkan mata. Mungkin dia serasi di rumah moyangnya, rumah kelahiran emaknya. Aku pun terlelap sama barang sejam dua. Celik saja mata, cekodok ikan bilis dan milo panas pula tersedia. Kalau seminggu di rumah Tok, makin gemuk lah aku jawabnya.

Begitu pantas waktu berdetik. Sekelip mata matahari bersembunyi. Aku harus pergi. Aku lihat Tok Antan mengesat air mata. Adakah kerana bengkak di kakinya begitu berbisa? Atau kerana cicitnya begitu sekejap ku bawa datang bermesra? Maaf Tok, walau berat di hati, terpaksa jua melangkah kaki. Ada tanggungjawab yang terpikul di bahu, ada tugas yang menunggu. Namun andai ada izin Nya, kami pasti kembali. Belum sempat Tok ternanti-nanti, Syawal nanti cucu mu ini akan menyapa lagi.

Monday, September 27, 2004

Aksi Menggaru Tekak

Antara perkara yang paling aku tak suka terjadi pada diri aku ialah SELSEMA. Dah lah aku ni memang ada resdung. Pantang terlebih sejuk atau persekitaran berhabuk, mula lah hidung dan tekak aku ni meragam. Bersin lapan juta kali. Kertas tisu mesti habis sekotak, tak pun dua kotak. Tekak pulak gatal-gatal tak terkata, kalau boleh aku nak masukkan tangan aku ni ke dalam anak tekak, untuk digaru sesedap rasa. Lepas tu mula lah aku mengeluarkan bunyi pelik-pelik dari tekak aku ni. Aku pun tak tau apa nama aksi yang menyebabkan keluarnya bunyi dari tekak tu. Tapi bunyi tu terhasil bila aku cuba ‘menggaru’ tekak dengan menggunakan pangkal lidah, anak tekak dan tekanan udara. Macam mengarut aje penerangan aku ni. Sebenarnya aku tak tahu macam mana nak jelaskan ‘aksi menggaru tekak’ tu dari segi biologi, dari sudut kimia mahupun secara fizik. Tapi bagi mereka yang ada resdung dan selalu gatal tekak macam aku, mungkin tahu dan faham maksud aku.

Dalam keluarga, cuma aku dan adik bongsuku Apiq, yang handal membuat ‘aksi menggaru tekak’ ni. Mungkin sebab kami berdua aje yang teruk resdung. Kadang-kadang aku buat macam tu sampai berdarah tekak. Aku pun tak tahu kenapa boleh sampai berdarah. Dulu-dulu adik beradik aku yang lain pelik juga, macamana aku dan Apiq boleh buat bunyi macam tu, tapi sekarang diorang dah tak heran dah. Tapi kalau orang yang aku baru kenal tiba-tiba dengar aku ‘menggaru tekak’, mau diorang kensel berkawan dengan aku. Entah lah, aku rasa biasa aje. Tapi, aku ingat lagi, ada sorang akak yang kerja sepejabat dengan aku dulu, dia tak boleh dengar aku buat ‘aksi menggaru tekak’ ni. Dia kata, ngeri. Mesti dia suruh aku berhenti. Kenalah aku menggaru tekak jauh-jauh dari dia.

Aku bukan tak pernah cuba mengubat resdung ni. Dulu aku pernah berubat secara tradisional masa di Kuantan. Caranya dengan menyedut asap macam hisap rokok. Asap tu terhasil selepas dia bakar biji terung (kot?) atas sebiji batu. Pakcik tu kata tu batu sungai. Lepas sedut, asap tu aku hembus ke dalam air melalui buluh. Lepas aku hembus, dalam air yang pada mulanya bersih tu, ada ulat putih kecik-kecik macam ulat sampah tu. Makin banyak aku hembus makin banyak ulat tu. Eeiii.. ngeri aje. Aku tanya pakcik tu, “Ni semua dari dalam hidung saya ke?”. “Ye lah”, pakcik tu kata.”Dari hidung, tekak, telinga, mata, mana-mana ajelah yang asap tu boleh tarik”, pakcik tu sambung lagi.

Haiyyoh, itu macam ka? Patutlah tekak aku gatal semacam aje. Mesti ulat-ulat tu tengah berpesta sambil menyanyi lagu Ruffedge.. “marilah bergoyaaaang, marilah bergoyaang…”, setiap kali aku rasa gatal-gatal tu. Lepas berubat tu, untuk 6 bulan selepas tu, kurang lah resdung aku. Tapi dah lama-lama jadi semula kot. Ramai yang kata resdung ni disebabkan pemakanan. Jadi walaupun dah berubat, resdung tu boleh datang semula bila kita makan makanan-makanan tertentu. Tapi yang herannya, aku makan benda yang sama dengan apa yang Abang makan, apasal aku sorang aje yang bersin dan gatal hidung? Apasal Abang boleh makan Mee Bandung Muar 2-3 pinggan, aku baru cium je terus bersin dan selsema 2-3 hari?

Siksanya setiap kali aku diserang demam selsema. Hidung tersumbat, tekak sakit, badan lesu, makan pun tak terasa. Tapi ramai yang kata, sakit tu sebenarnya mencuci dosa-dosa kecil. Mungkin aku ni banyak buat dosa. Kalau dengan sedikit derita di dunia dapat mengelakkan aku dari derita api neraka, aku rela jika ini pembalasan Nya. Aku redha jika ini dugaan Nya.

Friday, September 24, 2004

Selamat Jalan Studioworks 700S

Minggu ni monitor aku asyik meragam. Tiba² aje dia padam. Potong stim betul, terutama bila aku tengah berborak dengan AMTY. Kena lah aku bawak laptop untuk standby setiap kali monitor tu nazak. Tapi leceh lah bila menaip pakai laptop tu. Terhegeh-hegeh. Jari-jemariku tak serasi je dengan keyboard laptop tu.

Hari Isnin aku dah suruh Kumar check. Semalam baru dia datang. Kabel kat belakang tu dia cabut dan tukar. Pagi ni monitor aku nazak lagi. Kumar kata, tahun lepas dia ada problem yang sama dengan monitor yang jenama dan modelnya sama dengan monitor aku. Sah. Memang monitor yang bermasalah, bukan kabel tu. Kumar kata, kalau nak repair, mungkin RM 150 ke atas. Tak payah lah. Campakkan aje dalam sungai belakang Kampung Abdullah Hukum tu. Sungai tu pun memang dah tercemar. Kalau repair, lepas tu rosak lagi, lepas tu repair lagi, lepas tu rosak lagi, otak aku pulak yang kena repair nanti.

Maaf aje lah ye Studioworks 700S. Anda dipecat.
Selamat menjalankan tugas, SAMSUNG SyncMaster 793s.

Monday, September 20, 2004

Siapa Yang Bodoh?

Adakalanya kita tahu kita diperbodohkan, dan yang membodohkan pula fikir kita bodoh, tak tahu diri kita diperbodohkan. Terasa ingin bangun bersuara "Hoi monyet, kau ingat aku bodoh?!".

Namun mulut yang sopan ini terkunci, kerana kita tahu, monyet jenis apa yang ada di hadapan kita. Monyet kannibal. Monyet jenis sanggup makan daging saudara sendiri. Kalau dengan bersuara, hanya akan menyebabkan monyet itu menjadi lebih liar, maka mungkinkah berdiam itu lebih baik? Dengan harapan, suatu hari nanti bila monyet itu sedar, tiada saudara sendiri untuk dimakan dagingnya, maka dia pasti akan kembali makan pisang.

Lalu siapakah yang bodoh sebenarnya? Monyet itu? Atau manusia yang membiarkan dirinya diperbodohkan si monyet?

Penghujungnya, amarah mendorong kata berbisa, walau tidak terucap di bibir, bahu ini tetap memikul dosa.

Friday, September 17, 2004

Dari Kotak Surat SuMie

Aku baru buat satu lagi blog lain – Dari Kotak Surat Sumie.
Sebenarnya blog tu dah lama, tapi dulu namanya lain. Blog tu dulu aku jadikan medan percubaan tiap kali aku nak renovate blog SuMie ni. Ye lah, aku ni bukan pandai sangat bab-bab script ni. Sekali kalau aku tersalah renovate, jenuh pulak nak dapatkan semula ‘rumah’ asal.

Aku memang dah lama terfikir nak buat kompilasi email² yang aku terima selama ni. Email yang aku rasakan berguna untuk disimpan lah. Selalunya bila dah baca email yang diterima tu, aku delete, sebab aku ni jenis yang suka tengok folder aku kosong. Kalau banyak sangat, aku rasa serabut semacam aje. Dengan perasannya aku merasakan konon dengan sekali baca, aku boleh ingat perkara tu sampai mati. Tapi bila tiba² ada perkara berbangkit, aku dah lupa pulak apa yang aku dah baca. Bila nak refer semula email lama, tak jumpa pula cari dalam mailbox tu. Memang tak jumpalah sebab aku dah delete!

Tak kuasa pulak aku nak print semua, stapler, punch, lepas tu masuk dalam ABBA file. Macam buat kerja office pulak. Ini bukannya zaman Toriton. Aku rasa dengan menyimpan email² tu dalam satu blog, bukan saja memudahkan aku untuk baca semula email² tu, tapi juga aku dapat berkongsi pengetahuan dengan rakan² bloggers lain. Lagipun, bukan semua orang pernah terima email yang sama. Sekurang²nya, aku tak perlu menyemakkan mailbox kawan² AMTY dengan forwarded email dari aku. Bila² rajin, kawan² semua boleh klik aje Dari Kotak Surat SuMie tu ya!

Thursday, September 09, 2004

Roti Canai & Nescafe Tarik

Itu menu sarapanku pagi ini.
Aku masih cukup wang untuk menikmati roti canai. Bagaimana agaknya nasib adik Mohd. Sukri yang rumahnya terbakar tempohari? Mungkinkah dia sedang merayau-rayau bersama bapanya mencari kotak-kotak terpakai untuk mencari sekupang dua agar dapat menjamah sekeping roti yang mungkin dibahagi dua buat mengalas perut?

Tekak ku masih mampu dibasahi segelas nescafe tarik. Aku sedar ramai insan malang di luar sana yang hanya meneguk air paip pagi tadi, atau mungkin sekadar menelan air liur menghilangkan dahaga. Mungkin kerana dihimpit kemiskinan, atau mungkin kerana takdir telah menempatkan mereka di bumi kering kontang yang hanya disirami hujan setahun sekali.

Walau poket sering ketandusan, syukur alhamdulillah untuk sekeping roti canai dan segelas nescafe tarik pagi ini.

Monday, September 06, 2004

AMTY – Part II

Selepas gathering pertama yang hanya dihadiri oleh 5 orang, Sabtu lalu, 4 September 2004, Siam Kitchen Midvalley menjadi saksi AMTY mengukir sejarah ke-2 pula. Hampir kesemua AMTY hadir.

Dari jauh aku dah nampak Watie, Uncute, Xmen, Qyrie, Magbox, Ardini & ‘real Ardini’ (anak Ardini) depan pintu Dapur Siam tu. Selepas sessi perkenalan sejenak bersama Magbox & 2 Ardini tu (sebab yang lain aku dah kenal), aku terus masuk Siam Kitchen, minta meja untuk 12 orang. Sebenarnya aku masuk cepat² sebab kat dalam restoran ada air-cond. Kat luar tu panas, tak tahan aku lama², cair mekap aku nanti.. hehehe.. Hari tu Siam Kitchen kosong, tak ramai orang, senanglah dapat meja. Aku duduk di tempat yang sama aku duduk semasa gathering pertama AMTY.

Tak lama lepas tu Kak Shamina & 2 orang anak perempuannya sampai. Sebenarnya aku dah nampak Kak Sham & anak²nya sebelum tu di depan Maybank. Masa tu aku ada juga terfikir “Entah² ni pun AMTY juga”, sebab aku teringat sebelum tu kat tingkap Y, memang ada yang cakap nak bawa anak. Masa bersalaman, Kak Sham kata “Oh ini Sumie.. patutlah…” Err, apa yang ‘patut’ tu Kak Sham?

Tengah borak², Emy & Co2 pula sampai. Mula² aku ingatkan pasangan suami isteri mana lah pula yang join AMTY tu, sebab setau aku, cuma aku, Watie dan Ardini saja yang dah kahwin. Rupa²nya dua orang pembekal CD cetak rompak tu dah pun berjumpa sebelum mereka seiring dan sejalan ke Siam Kitchen. Terima kasih Co2 & Emy di atas bekalan CD kalian. Jangan bimbang, nama sebenar kalian tidak akan aku dedahkan di sini bagi mengelakkan sekarang tindakan oleh pihak berkuasa.

Screwloose sampai juga akhirnya. Dengan alasan mengambil emak di KL Central, Screw akhirnya berjaya memboloskan diri dari pejabat. Dan Screw yang memang dah slim tu tak mahu makan tengahari kerana berdiet, sebaliknya lebih selesa menjadi camera-woman di saat orang lain menikmati sajian tengahari yang berupa nasi dan lauk-pauk seperti Green Curry Chicken, Chilly Beef, Kerabu Mangga, Kailan Ikan Masin dan Fried Crab Meat. Err.. nama² menu mungkin kurang tepat sebab aku cuma ingat rupa dan rasa lauk tu saja.

Sajian tengahari di Siam Kitchen


Sambil makan kami berborak-borak diiringi bunyi ‘ktingg’ ‘ktungg’ iaitu bunyi sudu dan garpu yang berlaga dengan pinggan. Disebabkan aku duduk di sebelah yang ramai lelaki, maka topik perbualan kami lebih kepada hal² kerja dan sekolah lama, tak ketinggalan juga tentang kuda Tun Mahathir. Agak jeles juga aku dengan sebelah yang satu lagi tu kerana dengan adanya Ratu Majalah disebelah sana, maka aku rasa topik perbualan mereka adalah lebih berkisar kepada gossip dunia hiburan. Seperti biasa suara Watie dihujung meja sana boleh aku dengar dari hujung meja sini, begitu juga suara aku yang duduk di meja hujung sini, pastinya sampai ke hujung meja sana. Suara Kak Sham dan Magbox jarang² sekali ke udara, bukan kerana mereka tidak bercakap, tetapi disebabkan lontaran suara yang kurang jelas, maka vokal aku dan Watie lebih kedengaran walaupun adakalanya pitching kami agak ke parit. Emy pula nampaknya kurang eye-contact dengan kamera. Kritikan panel juri kepada Emy: 'Apabila anda nampak lampu merah pada kamera tu menyala, pastikan anda pandang kamera ya, sila jangan sembunyikan mata anda di sebalik bahu Uncute, kerana anda mempunyai sepasang mata yang cantik'.

Memandangkan dah lama sangat duduk, maka sebelum pekerja² Siam Kitchen memberikan jelingan manja, maka kami pun beredar ke destinasi seterusnya- Secret Recipe, untuk dessert pula. Oleh kerana Xmen dan Co2 tak dapat turut serta, maka Abang pun pergi window-shopping untuk memberi peluang pada aku berborak panjang lagi dengan AMTY. Macam² yang kami bualkan. Dengan Classic Cheese Cake, Banana Chocolate Cake dan satu lagi kek (aku lupa nama) yang dikongsi beramai², menyedapkan lagi suasana berborak petang tu, sampai tak sedar akhirnya dah pukul 4 pm. Kesiannya tengok anak² Kak Sham dan Ardini yang tak mau berpisah. Tak apa ya adik-adik (chewaah.. bukan patutnya anak² ke?), lain kali kita buat AMTY Family Day, seperti yang Auntie Emy cadangkan tu, kita pergi berkelah ke apa ke, anak² semua boleh main dari pergi sampai petang, okay. Pertemuan dengan Kak Sham dan anak²nya tamat di situ. Screw juga terpaksa balik semula ke pejabat.


Dessert pilihan Watie yang telah menggoda anak² Kak Sham & Ardini


Sebelum tayangan Puteri Gunung Ledang bermula, aku jumpa Abang semula. Kami semua beratur beli pop-corn. Hubby Ardini pun turut serta. Terima kasih pada Uncute yang bersusah-payah membeli tiket sejak awal² lagi, tak payah susah² kami beratur. Berbekalkan sekotak besar pop-corn & sebungkus M&M yang dah pun habis tak sampai suku filem, itulah kali pertama aku menonton wayang semenjak melahirkan Raha. Macamanapun tumpuan aku di 30 minit yang terakhir agak terganggu disebabkan Ice Lemon Tea Siam Kitchen, Ice Blended Mocha Secret Recipe dan Mineral Water GSC mula memainkan peranan. Aku meninggalkan AMTY sebaik saja tamat PGL dan meluru ke toilet.


Tiket PGL


Watie dan Ardini & family balik selepas itu. Abang pula nak pergi beli printer baru. Aku, Emy, Qyrie, Magbox & Uncute pun menghabiskan sisa² masa yang ada di Food Court Midvalley. Selepas itu aku pula terpaksa minta diri membiarkan rakan² bujang aku tu pula menghabiskan masa sesama mereka. Setau aku bas Emy pukul 10 malam tu. Tak tau lah kalau Emy cancel tiket bas pula lepas tu ajak Uncute, Magbox & Qyrie clubbing.. Ye lah, malam masih muda, kelab² dangdut pun baru buka pintu.. hehehe.. gurau je.

Dengan cerita yang panjang lebar ini, aku harap aku berjaya men’jeles’kan Y, Red, a_ct, Eisya dan Sinchan. Semoga aku dapat berjumpa kalian pula di masa yang akan datang. Terima kasih semua atas persahabatan ini. Terima kasih AMTY.

(Buat AMTY yang tidak berpeluang hadir, aku kasi can korang mengenali mereka yang telah pun datang hari tu.. Kenali AMTY)