Noritta
'Noritta aktif lakukan hubungan seks'
'Noritta mati selepas seks kasar'
'Noritta pernah jadi GRO'
Kalau dah begitu tajuknya, dah tentu laju aje tangan kita mencapai untuk membeli (termasuklah tangan aku sendiri). Kayalah company surat khabar tu ye. Pada mulanya memang bersunguh-sungguh aku ikuti kes perbicaraan ni. Tapi semakin hari, aku semakin jijik. Namun jijik aku bukan pada Noritta. Tapi pada penulis yang mensensasikan kes perbicaraan tersebut. Banyak sangat gaji mereka dapat agaknya, atau mungkin semakin sensasi tajuk berita tu, semakin mencanak elaun atau bonus mereka nanti.
Pasti ramai yang mencebik mencemuh gadis yang telah pun berada di alam barzakh itu. Ramai pula yang naik syok tertunggu-tunggu, apa pula kisah sensasi esoknya. Satu Malaysia tahu apa yang dibuat oleh Allahyarham Noritta sebelum dia meninggal dunia. Satu Malaysia tahu betapa exoticnya Noritta, berapa ramai lelaki ditidurinya, dimana lebam pada tubuh badannya, berapa banyak takungan air mani di dalam… Cerita di akhbar kini tidak lagi menjadi ulasan kes perbicaraan pembunuhan, tapi dah jadi rentetan cerita seks Noritta! Berapa ramai agaknya yang baca akhbar tu tertunggu-tunggu samada si Haniff Basree tu bersalah atau tidak? Berapa ramai agaknya pembaca yang mencemuh mereka yang telah meniduri Noritta? Berapa ramai agaknya pembaca yang mengutuk betapa kejamnya si pembunuh? Berapa ramai pula yang meletakkan diri mereka di tempat ayah, ibu, adik-beradik dan saudara-mara Allahyarham Noritta?
Aku bukanlah ingin membela Noritta. Namun bagi aku Allahyarham masih terlalu muda. Mungkin Allahyarham tersilap dalam mengejar kemewahan dan keseronokan dunia. Aku juga seorang perempuan, pernah melalui usia 22 tahun, pernah mengingini pelbagai perkara, juga tidak lari dari melakukan pelbagai kesilapan, kerana aku hanyalah manusia biasa. Begitu juga Allahyarham Noritta. Dia juga seorang manusia biasa. Sekiranya Allahyarham telah melakukan dosa, biarlah ianya antara Allahyarham dan Tuhan. Mengapa pula kita yang hidup ni nak buat dosa kering dengan mengaibkan Allahyarham? Mungkin perbicaraan memerlukan butir terperinci bagi mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh, namun perlukah butiran terperinci itu dipaparkan untuk tatapan umum? Perlukah Allahyarham yang ditemui mati dalam keadaan berbogel itu 'ditelanjangkan' lagi? Konon untuk dijadikan pengajaran? Aku rasa, ianya lebih kepada untuk menjadikan DUIT.
Tak cukup-cukup kah pihak akhbar di saman oleh Mikko Kauko Johannesjarva dan Shahfrul Azrin Azman yang pernah direman di awal kes ini? Mungkin pihak akhbar ini menunggu kunjungan peguam dari pihak keluarga Allahyarham Noritta pula. Aku bayangkan seandainya Allahyarham Noritta itu adalah sebahagian dari ahli keluargaku. (Aku tak pasti samada Allahyarham ada mempunyai adik, kakak atau abang. Namun yang pasti Allahyarham ada ibu bapa.) Bagaimana aku hendak ke pejabat sekiranya melangkah sahaja ke pejabat, teman-teman sekerjaku sedang mengadap akhbar dengan tajuk utama - adikku aktif lakukan hubungan seks. Bagaimana boleh aku ke sekolah, jika teman-teman asyik memandang-mandang padaku, mungkin mereka sedang memikirkan bahawa kehidupan aku juga seperti kakakku? Bagaimana aku hendak menghadiri kenduri-kendara jiran-tetangga sekiranya baru malam tadi akhbar mewar-warkan anakku yang telahpun menjadi arwah itu pernah jadi GRO?
Di saat kita membaca surat khabar sambil menggeleng-geleng kepala, mencemuh-cemuh dan berbincang-bincang sesama kita , di saat tauke surat khabar ketawa besar mengaut untung berjuta, sedarkah kita, keluarga Allahyarham Noritta memerah kain mengelap airmata?
Buat ahli keluarga Allahyarham Noritta, aku doakan semoga kalian tabah dan diberikan kekuatan menghadapi saat paling getir ini. Buat Allahyarham Noritta, Al-Fatihah...