Tuesday, April 27, 2004

Sekitar Asia Media Summit

Lama betul aku tak menulis. Kesibukan Sidang Kemuncak Media Asia (Asia Media Summit) tempohari benar² mencuri masa ku. Bukan sahaja masa untuk aku menulis, malah masa untuk aku bersama² Raha dan Abang. Sepanjang minggu lalu aku terpaksa pulang lewat, hanya berkesempatan melihat Raha telah pun melelapkan mata.

Satu malam, kerja² sekretariat hanya selesai jam 2 pagi. Esoknya pula pagi² lagi dah kena mula berkerja semula. Memandangkan rumahku agak jauh dari hotel, dan demi menjimatkan masa perjalanan, maka aku terpaksa tidur di sana. Malam itu terasa begitu panjang tanpa Raha disisi. Semenjak Raha lahir, itulah kali pertama aku tidur sendiri tanpa Raha. Walaupun badanku penat dan masa tidur hanya 4 jam, namun beberapa kali aku terjaga. Tertanya² adakah Raha terbangun untuk menyusu? Sudahkah Abang mengganti lampinnya sebelum tidur tadi? Lenakah Raha tidur tanpa aku? Sedarkah Raha emaknya tiada bersama? Mungkinkah Raha merindui aku sepertimana aku sedang merinduinya?

Sebenarnya bilik untuk aku disediakan sepanjang berlangsungnya sidang tersebut. Kalau dulu, mungkin dengan senang hati aku tidur di situ. 5 malam percuma di Nikko Hotel, tilam dan bantal empuk, bilik berhawa dingin, kamar mandi yang hampir sama besar dengan bilik tidur di rumah ku, sarapan pagi yang mewah dengan pelbagai hidangan, siapa yang tak mahu? Namun kini bagiku semua itu langsung tak setanding mendodoi dan mendakap Raha sepanjang malam.

Bukan aku seorang, malah setiap teman sepejabatku yang bergelar wanita dan ibu, saban hari mengeluh apabila terpaksa pulang lewat. Cerita yang tak lekang dari mulut mereka ialah - ANAK.
"Kesian my children makan apa lah today.."
"I don't trust my husband to take care of our baby lah.."
"..Pity them, I cannot cook for few days, they have to eat outside everyday, you know"
"Yesterday my children ask me, 'Ma you don't want us anymore haa?' Aiyyoo.. my heart sank lah.."
Maka tak seorang pun dari kaum ibu ini menikmati kemudahan bilik hotel yang disediakan.

Lain pula cerita dengan teman² kerjaku yang lelaki. Merekalah yang lebih dulu check-in sebelum ketibaan delegasi lagi. Tak ada pula di kalangan teman² lelaki yang kulihat macam cacing kepanasan teringat anak di rumah. Yang aku nampak, mereka tu gembira ada lah! Mungkin kaum lelaki lebih profesional dan bijak menumpukan perhatian terhadap kerja. Atau mungkin lelaki tidak perlu berasa risau kerana mereka tahu anak² berada dalam jagaan sempurna bersama isteri mereka dirumah. Atau mungkin kah mereka sebenarnya gembira kerana dapat melarikan diri dari isteri dan anak² buat beberapa hari ?!

Thursday, April 15, 2004

Rezeki.. rezeki..

Lama juga aku tak posting kat sini. Sibuk betul menjelang Asia Media Summit minggu depan. Rasa macam nak berhenti kerja pun ada. Kerja teruk², gaji macam itu juga. Selalu aku terfikir, pergi pagi, balik petang, sampai hujung bulan, dapat gaji, kira hutang. Sudahnya tak pernah cukup. Masih juga terkial-kial memikirkan di mana lagi nak korek untuk cover keseluruhan perbelanjaan. Sampai bila nak menggaru kepala macam ni? Lagi 10 tahun? Berapa banyak gaji aku boleh naik? Jangan mimpi lah increment RM 1000 setiap tahun. Nak buat kerja part-time? Insurans? Multi-level marketing? Bila? Malam? Lepas kerja? Weekend? Habis tu Raha? Aduhh... sudahnya aku mengeluh panjang juga. Tapi tak adanya duit datang bergolek dengan keluhan panjang aku tu. Tak bersyukurkah aku?

Semalam Ima bagitau aku, officemate dia baru je dapat commission USD 1.7 million, hasil jualan unit trust. Ada Mat Salleh invest USD 6 M dengan dia. Mak aihh... USD 1.7 M kali 3.8, RM 6.46 juta! Aduhai nasib badan. Rezeki.. rezeki..

Teringat pula aku sebelum ni, memang banyak kali Ima pernah bercerita tentang Abang S yang baru bergelar jutawan tu (terpaksa lah aku rahsiakan nama sebenar dia, karang ramai pulak agen insurans, pegawai income-tax, tak pun pisau² gillette cari dia).

Kata Ima, Abang S ni memang baik, rajin, alim pula tu. Bila bercakap tak pernah menyakitkan hati orang. Pandai memasak, pandai mengemas rumah. Kalau di pejabat tu, meja Abang S mengalahkan meja perempuan dihiasnya. Sembahyang tak pernah tinggal. Ima tau lah, sebab setiap kali officemate dia nak pergi bilik sembahyang, mesti kena lalu depan meja Ima. Abang S dan isterinya tak dikurniakan anak, tapi Abang S bela anak angkat. Dari kecik sampai besar dijaganya macam anak sendiri. Dan yang paling penting, apa juga yang dibuatnya, mesti mengutamakan emaknya. Dari rumah kecik, dia beli rumah besar, supaya emaknya lebih selesa. Dari motor kapcai, dia beli proton, dari proton dia beli Toyota Unser. Bila ditanya kenapa, katanya supaya lebih mudah dan selesa untuk bawa emaknya berjalan-jalan. Satu pejabat kata Abang S anak yang taat pada emak.

Mungkin Abang S memang seorang yang rajin berusaha dan berkerja, maka pendapatannya pun mencanak. Atau mungkin doa ibu, atau doa si anak, atau doa teman² Abang S yang tidak pernah disakitinya menyebabkan rezeki Abang S melimpah-ruah.

Hari ini aku tanya pada diri aku sendiri, sudah cukup kuatkah aku berusaha mencari rezeki? Cukupkah solat ku 5 waktu sehari? Adakah aku tak pernah menyakitkan hati orang² disekeliling ku dengan mulut laser ku ini? Sanggupkah aku menjaga, menyayangi, membela dan mendidik seorang anak yang tidak ku tahu asal-usulnya sepertimana aku mengasihi Raha? Taatkah aku pada emak? Rasanya dah seminggu aku tak telefon emak disebabkan terlalu sibuk dengan kerja.

Patutlah aku susah nak kumpul walaupun RM 1 ribu!

Wednesday, April 07, 2004

Andainya..

"Andainya engkau ku miliki terdahulu sebelumnya, andai kucurah rahsia hati, mungkin kini ku kan tenang di sampingmu"

Begitulah sebahagian lirik lagu Aku Cinta Padamu nyanyian Siti Nurhaliza di awal kemunculannya sebagai penyanyi. Sebaris lirik itu sesuai diungkapkan kepada si dia yang kita cinta, namun disebabkan tidak pernah meluah rasa, maka si dia kini telah pun berpunya. Juga sesuai untuk x-boyfriend atau x-girlfriend yang sudah pun berumahtangga, untuk orang yang merasakan dirinya telah 'terlepas' untuk memiliki pasangan idamannya. Atau dengan ayat yang menyakitkan hati, sesuai untuk si pengecut dan orang² yang tidak tahu menghargai insan tersayang ketika si dia berada di depan mata.
Bila si dia dah berada dalam dakapan orang lain, barulah nak mencurah rasa. Kenapa? Tiba² pula muncul keberanian? Atau tiba² dirasuk iblis untuk meruntuhkan kebahagiaan yang telah dibina insan lain? Atau mungkin mengharap si dia meninggalkan kekasihnya, atau menceraikan isterinya, atau lari meninggalkan suami?
Lalu melodi dan lirik yang begitu indah di dalam lagu kini menjadi begitu keji di alam nyata.
Lumrah manusia,
...mengenang yang hilang,
...menangisi yang pergi,
...menunggu yang berlalu,
...melupa yang di mata.
Atau mungkin benar - Cinta Itu Buta. Lantas cinta tidak dapat melihat realiti, tidak nampak intan yang dimiliki, tidak tahu menghargai, tidak mahu mensyukuri. Tidak sedar diri!

Monday, April 05, 2004

Mak Mertua

Kesian kawan aku tu. Kata Iza (bukan nama sebenar) dia sedih, kerana mak mertuanya tidak seperti maknya, tidak seperti mak aku maupun mak mertua ku. Lebih haru bila dia kata (dia taip sebenarnya), "Uwaa... tu lah mak mertua aku sampai aku mati!!" Mula² aku rasa kelakar. Tapi bila aku fikir semula, Iza kata "sampai aku mati". Kalau ikut purata, manusia hidup antara 60 ke 70 tahun. Iza baru 29 tahun. Emak mertua Iza pun muda lagi. Bermakna Iza ada 30 ke 40 tahun lagi untuk bertahan dengan kerenah mak mertuanya tu.

Memang susah kalau tak 'sebulu' dengan mertua. Kena pula mertua yang suka sangat cari kesalahan. Ada saja yang tak kena. Iza samalah seperti kebanyakan wanita sekarang, bekerja untuk membantu pendapatan suami. Pada masa yang sama dia juga menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bukan apa, bolehlah nanti pohon jawatan yang lebih baik, gaji yang lebih tinggi. Bukan untuk orang lain, untuk memperbaiki taraf hidup keluarga juga. Memang lah sibuk, tapi Iza mendapat sokongan penuh suaminya. Bila Iza sibuk, suaminya sama² membantu menjaga anak. Bab makan pula, dah tentulah mereka selalu makan di luar.

Yang tak sedapnya, bila mak mertua Iza mempersoalkan tentang apa perlunya Iza menyambung pelajaran. Suami Iza pula dimarahi kerana mengambil alih tugas isteri menjaga anak dan menolong di dapur, sedangkan isteri sibuk dengan kerja pejabat, belajar atau menyiapkan assignment. Suatu ketika mak mertua Iza berkunjung ke rumah, di sebabkan ketiadaan ration barangan mentah (maklum lah selalu makan di luar), juga disebabkan kesuntukan masa, Iza masak simple saja hari tu, habis pada seluruh saudara mara mak mertua Iza menjaja cerita makan nasi goreng saja di rumah menantu. Bila belanja makan di luar, dikata membazir, menghabiskan duit anaknya pula. Walaupun sebenarnya Iza yang bayar!

Pendapatan Iza dan suami kalau diikutkan boleh tahan juga. Tapi setiap hujung bulan, Iza terpaksa bertapa di pejabat bila tiba waktu makan tegahari. Katanya short of cash untuk lunch. Semuanya kerana wang gaji Iza habis digunakan untuk perbelanjaan rumah, sedangkan gaji suami Iza habis dicurah untuk mak mertuanya. Bukan sedikit, malah hampir setiap bulan melebihi separuh pendapatan suami Iza. Ada saja yang diminta oleh ibu mertuanya. Untuk buat kenduri lah, cat rumah lah, beli perabot lah. Bukan Iza menghalang suaminya memberi duit pada ibu, tetapi bagi Iza agak keterlaluan apabila segala perbelanjaan rumahtangga terletak di bahunya seorang.

Dari segi penjagaan anak juga Iza selalu saja di sindir, seolah² Iza tidak pandai mendidik anak. Jika ditakung, agaknya sudah berperigi air mata Iza menahan sindir mak mertua. Kadang² Iza rasa, mungkin mak mertuanya sengaja mencari salah supaya suami Iza merasa menyesal kerana tidak mengahwini calon isteri pilihan ibunya dulu. Sering juga Iza bermasam muka dengan suami disebabkan mak mertuanya.

Banyak lagi cerita Iza. Kalau ditulis satu persatu, boleh buat drama bersiri. Namun aku yakin Iza tak keseorangan. Pasti banyak cerita yang sama di luar sana. Malah ada yang lebih sengsara lagi dari Iza. Ada pasangan hinggakan bercerai-berai disebabkan tak boleh ngam dengan mertua masing². Seorang temanku yang lain pula, bercinta sejak di bangku universiti lagi. Bertahun² lamanya bercinta macam Erra Fazira dan Awie dulu tu lah. Tapi tak sampai setahun berumahtangga, temanku itu terpaksa akur dengan ketentuan jodoh yang tidak berpanjangan. Gara² mertua juga khabarnya. Soal jodoh tu memang lah telah tertulis, tapi hati mana tidak terkilan jika mak mertua yang menjadi punca.

Namun itulah sebahagian dari ujian rumahtangga. Lain pasangan, lain ujiannya. Ada yang diuji dengan masalah tidak ada anak, tidak sefahaman dengan pasangan sendiri, pasangan terlalu sibuk dengan kerja, pasangan main kayu tiga, dan aku rasa masalah yang paling banyak dihadapi oleh pasangan berumahtangga ialah masalah kewangan. Yang belum berumahtangga tu jangan lah takut pula untuk berkahwin. Mana ada manusia hidup tanpa masalah. Kalau tidak merasa pahit, bagaimana kita tahu enaknya rasa manis.

Kembali kepada cerita mertua tadi, aku rasa dalam masalah begini, suamilah yang sebenarnya lebih tertekan. Tersepit antara ibu yang melahirkannya kedunia, dan isteri yang melahirkan zuriatnya. Kasihan pada isteri, hormat pada emak. Takkan nak tinggalkan anak dan isteri? Takkan pula nak menderhaka pada emak? Kita perempuan menangani tekanan dengan tangisan. Bagaimana lelaki? Ketika kita menumpahkan air mata di bahu suami, mungkin kita terlupa hati suami dibanjiri airmatanya sendiri.