Wednesday, September 28, 2005

Seorang Anak Jepun di dalam gambar

Lama betul aku tak update blog nih. Hari² aku bukak blog, tapi tak sempat nak update apa². Baru check satu dua email, dah kena berhenti. Keje pun makin banyak, tak cukup tangan nak handle. Duit masyhuk jek yang lembab.. huhuhuu.. Raha sekarang pun dah makin besar, makin nakal, makin mintak lebih perhatian. Baru aku tulis sebaris ayat, dia dah "Mak! Mak!", ada lah benda dia nak tunjuk, hasil lukisan kat dinding ke, hasil susunan tupperware tinggi² ke, buah oren masuk dalam botol susu ke..

Sebenarnya entry kali ni aku nak tunjuk gambar Aki kat korang yang dok tertanya² mana satu Aki dalam gambar² entry lepas. Korang ni pun, tajuk entry lepas kan 'Kisah seorang Anak Jepun DI SEBALIK GAMBAR', jadi Anak Jepun tu tak ada lah DALAM GAMBAR, dia ada DI SEBALIK GAMBAR. Haa, tajuk hari ni 'Seorang Anak Jepun DI DALAM GAMBAR', jadi memang ada lah gambar Aki kat bawah ni.

Sebenarnya aku dah cuba cari gambar² Aki, tapi yang dari digital camera, ada 1 ni jek. Yang lain semua gambar dalam album, masa zaman aku pakai camera biasa dulu. Malas nak scan.

Jangan konpius pulak, yang kecik kat depan tu bukan Anak Jepun, yang tu Anak Jawa + Bugis.. huhuhu. Aki yang tengah tergelak atas pelamin tu yek. Dia gelak pasal si kecik kat depan tu tetiba enterfrem bila kitorang nak amik gambar.

Friday, September 16, 2005

Kisah seorang Anak Jepun di sebalik gambar

Ni gambar zaman bila ni haa?

Kalau tak silap, ni gambar kat Penang, masa aku ikut Mak & Abah ambik Abang Long dari sekolah tempat dia buat matrikulasi kat Penang tu, lepas tu hantar dia pergi USM. Lihatlah deknon, betapa remajanya akak pada masa itu.. huhuhu. Tengok lah baju ala buruh Indon tu.. baju pesen apa tuh?! Muahahahaa.. Tapi kalau nak tahu, baju tu menjadi rebutan ramai zaman tu tau! Sebenarnya tu baju Abang aku, tapi disebabkan aku tersangat la muka tak malu, memula aku pinjam, lepas tu aku buat² lupa nak pulang, lepas tu terus aku pakai macam harta sendiri. Lepas tu, entah macamana baju tu boleh beralih lak kat Ana. Aku rasa dia pun pakai taktik yang sama macam aku, memula pinjam, pastu buat² lupa nak pulang dan dengan tak tau malunya terus buat macam harta sendiri jugak.

Yang lelaki tu, Abang Long aku. Budak pompuan kecik tu - Kak Teh, adik aku yang nombor 5. Budak laki tu pulak - Apiq, adik aku yang bongsu. Sekarang dedua dah besar panjang, dah banyak jerawat pun. Huhuhuuu.. Ada lagi 2 orang adik aku - Ana & Ounis tak ada dalam gambar ni sebab masa ni diorang kat asrama, still sekolah. Aku masa ni baru habis SPM kot, sebab tu boleh ikut Mak & Abah jalan² gi Penang.

Gambar ni sebenarnya dah tak ada dalam simpanan keluarga aku. Kitorang dah bagi pada penganjur Program Pertukaran Pelajar dalam tahun 1995 dulu. Masa tu, aku lah yang cadangkan kat keluarga aku supaya join program tu, ambik salah sorang pelajar dari luar negara sebagai anak angkat keluarga aku. Mula² tu Mak aku macam tak setuju sangat, takut tak reti nak sesuaikan diri dengan orang asing. Aku pun bagitau Mak, bukan kita yang kena sesuaikan diri dengan budak tu, tapi budak tu yang kena sesuaikan diri dengan cara hidup kita. Masa tu aku ingat akan dapat orang putih - student dari US ke, UK ke, New Zealand ke, Australia ke. Aku cakap kat Mak, kalau ada orang putih tu nanti, boleh lah speaking dengan adik² aku kat rumah, secara tak langsung membantu subjek English diorang. Maka Mak aku pun setuju lah nak terima anak angkat.

Rupa²nya tahun tu program tu tak ada ambik pelajar² mat salleh, tapi ambik pelajar² Korea & Jepun. Aku lak tiba² rasa bersalah sebab penganjur dah bagitau, budak² dari Korea & Jepun tak berapa reti Bahasa Inggeris pun. Hoh! Macamana nak berkomunikasi tu? Tapi penganjur tu cakap, tak usah cakap orang putih dengan budak tu nanti, sebab tujuan dia datang Malaysia nak belajar bahasa kita, budaya kita. Maka aku pun bagitau Mak, cakap aje lah bahasa kita, lama² dia faham jugak.

Bila Aki (pelajar dari Jepun tu) sampai Malaysia, keluarga aku sambut dengan hati dan tangan yang terbuka. Aki sebaya dengan Ounis. Kitorang panggil dia Kak Lang, supaya dia tak rasa macam orang luar. Dan sememangnya dia memang dah macam keluarga sendiri. Kalau aku pernah gaduh dengan adik-beradik aku, macam tu juga lah Aki dengan adik² aku, ada gurau², ada gaduh², merajuk², lepas tu baik semula. Lepas setahun duduk dengan keluarga aku, Aki dah fasih cakap Melayu, dah biasa pakai baju kurung, dah boleh makan pedas. Masa Aki balik semula ke Jepun, keluarga aku nangis² jugak lah. Kak Teh & Apiq yang memang rapat dengan dia, aku rasa mestilah lagi sedih.

Tapi hati Aki memang melekat kat Malaysia ni kot. Walaupun dah balik Jepun, dia masih selalu berhubung dengan kitorang. Sesekali dia datang untuk bercuti. Kehadiran Aki dalam keluarga kitorang jugak menjadi pendorong untuk Ounis sambung study kat Jepun lepas SPM. Kak Teh pulak, masuk Tingkatan 1 kat Shah Pekan, pilih subjek Bahasa Jepun sebagai salah satu subjek pilihan. Kiranya, ketara juga lah pengaruh Aki dalam keluarga aku walaupun dia cuma tinggal dengan keluarga aku setahun je.

Lepas tamat Degree kat Jepun, Aki datang sini semula, sambung belajar kat sini pulak. Sekarang dia tengah buat Master kat USM. Walaupun tak duduk dengan keluarga aku lagi, tapi bila cuti selalu lah dia balik kampung, macam aku balik kampung jugak lah. Hari Raya pun mesti dia ikut sekali balik rumah Tok. Sedara-mara aku pun semua dah kenal sangat dengan dia. Kalau 10 tahun dulu, dia cakap Melayu sepatah² dengan diorang, sekarang siap dah boleh buat lawak lagik.

Tahun lepas Aki scan gambar² lama ni dan email kat kitorang. Inilah antara gambar² keluarga aku yang dikirimkan oleh penganjur Program Pertukaran Pelajar tu pada dia, sebelum dia datang Malaysia dulu. Tiap kali aku nengok gambar² ni, mesti aku senyum sorang², teringat kenangan masa adik² aku masih kecik lagi. Teringat macamana Apiq selalu cerita - tiap kali jumpa Kak Lang, mesti teringat yang Apiq pernah gaduh dengan Kak Lang masa kecik² dulu, sampai suruh Kak Lang balik Jepun cepat², dan sampai sekarang Apiq masih rasa bersalah dan menyesal sebab pernah cakap macam tu kat kak Lang.

Aku tersenyum bila teringat macamana terkejut dan bulatnya mata Aki yang sepet tu bila mula² tengok lauk yang kuahnya warna merah. Agaknya dalam kepala dia mesti pikir, "Macamana aku nak hirup sup kaler merah ni? Apasal diorang makan air lada nih?!!". Huhuhuu..

Aku tersenyum bila teringat waktu kami meyambut harijadi Aki 10 tahun dulu. Bila Mak keluarkan hadiah untuk Aki yang merupakan seutas rantai emas, aku terkejut sesangat. Bukan sebab aku jeles, tapi sebab masa tu lah aku sedar yang Mak memang sayang Aki macam anak sendiri, sebab hadiah berupa rantai emas ni Mak cuma berikan pada anak² perempuannya saja. Err.. sebenarnya aku jeles jugak, sebab rantai emas dia, ada huruf 'A' yang cute sangat. Huhuhu.. Bila difikir²kan kembali, aneh kan? Nenek moyang aku dulu mungkin membenci nenek moyang Aki yang digelar 'penjajah', yang membunuh ramai pejuang bangsa kita. Tapi hari ini, keluarga kami mungkin menyayangi Aki lebih dari kami menyayangi nenek moyang kami yang tak pernah kami kenali. Mungkin lebih tepat kalau aku katakan, kisah Aki dan keluarga aku adalah suatu bukti bahawa kasih sayang antara insan bukan saja merentasi jurang bangsa, bahasa dan agama, malah menembusi tembok kebencian yang pernah dibina dek sejarah.

Seperkara lagi, aku mesti senyum nengok gambar² lama ni, sebab.. oh lihat lah betapa remajanya wajah akak dalam gambar nih deknon oi..

Thursday, September 15, 2005

Blogging Personality

Dah lama tak JJCB (Jalan² Cari Blog). Sibuk pun ye. Malas pun ye jugak. Aku jumpa mende alah 'Blogging Personality' ni kat blog Emy masa JJCB tadi, so aku try lah, jawab 2-3 soalan, dan konon²nya kata dia.. (err 'dia' tu sesapa yang memandai reka kuiz ni lah), inilah 'Blogging Personality' aku.

Your Blogging Type is Confident and Insightful

You've got a ton of brain power, and you leverage it into brilliant blog.
Both creative and logical, you come up with amazing ideas and insights.
A total perfectionist, you find yourself revising and rewriting posts a lot of the time.
You blog for yourself - and you don't care how popular (or unpopular) your blog is!

Hmm.. memandai jek ko Peah, or Joyah, or Bedah, or Deknon.. or whatever lah nama orang yang buat kuiz nih. Tak pastilah tang 'brain power', 'brilliant blog', 'creative and logical' semua tuh, tapi tang 'revising and rewriting posts' tu memang betul sesangat lah. Selalu kalau aku tulis, mesti aku baca berkali², pastu betulkan ayat, betulkan ejaan. Pastu bila rasa bahasa aku kesat sangat, aku tukar. Kalau aku rasa ayat macam terlampau nak kontrol sangat, aku tukar jugak. Kalau aku baca ayat aku, aku sendiri pun tak paham, lagilah aku tukar kan.. tukar lagi dan lagi dan lagi.. sampai lah aku puas hati.

Thursday, September 08, 2005

Setelah 3 tahun

Lama gila tak update blog. Minggu lepas aku sibuk sangat dengan persiapan majlis reunion sekolah lama aku. Alhamdulillah, reunion tu berjalan lancar. Walaupun 3 malam berturut² sebelum reunion tu, aku tidur lambat buat macam² persiapan, bungkus hadiah, bungkus hamper, update senarai nama, print & lipat brocher aturcara majlis. Sampai di hari reunion tu aku kena selsema, kemudian esoknya start batuk pulak, bila balik semula rumah, terus hilang dah suara aku. Nak bercakap pun siksa. Sampai ke hari ni pun suara aku masih ala² suara Marsha masa Konsert Prelude. Tapi tak kisah lah. Selsema ke batuk ke, hilang suara ke, berbaloi rasanya penat lelah tu bila ramai member² lama yang datang. Puas hati betul dapat jumpa diorang yang ada antaranya dah 15 tahun tak jumpa. Terima kasih bebanyak lah kepada semua kawan² yang turut serta menjayakan Reunion MRSM Kerteh 90' - Bersama Selamanya tu.

Sebenarnya semalam ulang tahun ke-3 perkahwinan aku. Laaa.. baru 3 tahun jek ke aku kahwin? Rasa macam dah lama pulak.. huhuhu.. Kiranya 3 tahun dulu, pada tarikh hari ni, aku tengah bersanding ler nih kot. Aku rasa pencapaian terbesar aku sejak 3 tahun kahwin ni, selain dari melahirkan Raha lah, ialah berhenti kerja dari AIBD. Syukur alhamdulillah, sehingga ke hari ni, aku masih lagi merasakan berhenti kerja tu adalah keputusan terbaik aku pernah buat dalam hidup aku, terbaik untuk Abang, terbaik untuk Raha, terbaik untuk rumahtangga aku. Kebetulan pulak semalam juga, bekas Director aku call. Dia tanya samada aku nak kerja balik kat sana. Staff yang ganti aku tu dah hantar surat resign pulak. Tu la, aku dah kata, aku sorang jek yang tahan manage account kat situ. Huhuhu.. riak ler nih. Dengan senang hati, tanpa ragu² aku menolak pelawaan bekas boss aku tuh. Bukan lah aku nak berlagak dengan dia yang kononnya income aku sekarang ni lebat sangat pun, tapi seriously, kalau dia kasi aku gaji tiga kali ganda gaji lama aku pun, tak berbaloi dengan tekanan kerja kat situ, dan yang penting tak setanding 'ketenangan' yang aku dapat dengan menguruskan rumahtangga dan bisnes Abang sekarang.

Memanglah kalau nak ikutkan, walaupun bisnes bertambah baik sejak aku berhenti kerja, tapi kalau dicongak², lebih kurang jek lah macam shared income kitorang masa aku masih makan gaji dulu. Bezanya, sekarang aku bekerja lebih relax. Aku tak tertekan dengan arahan boss, tak tertekan dengan kerenah teman sepejabat, pendekata tak pernah ler aku bosan dengan kerja. Kalau bosan pun, bosan sebab takde kerja. Huhuhu.. Kalau aku penat ngadap kerja pun, bila² masa aku suka aku boleh bangun pergi basuh pinggan, lipat baju, nengok TV atau tido. Dan bebila aku nak blogging pun, aku tak yah risau kot² boss aku tetiba tercongok kat pintu bilik aku. Huhuhu..

Bezanya lagi, aku tak payah susah² nak gosok baju atau tudung untuk ke pejabat. Pakai t-shirt dengan short pun aku dah boleh mula bekerja. Dan yang paling penting, aku boleh spend masa dengan Raha sebanyak mana yang aku suka. Kalau aku rasa aku nak concentrate kerja, baru aku hantar Raha ke rumah Cik Ika. Kalau takde banyak sangat kerja, aku boleh buat kerja sambil layan Raha main². Alaa macam iklan merdeka kat TV tu. Iklan apa ek? Iklan TM ke apa tu? Memang tahun ni, erti kemerdekaan bagi aku, sebijik macam perempuan dalam iklan tu la. Cuma ofis aku ni tak lah sehensem ofis perempuan dalam iklan tu.

Of course, bukan segalanya indah. Ada juga kontranya. Contohnya, pendapatan tak tetap jadi ada masanya kitorang short jugak sana-sini. Kadang² pulak aku rasa benak semacam sebab kehidupan aku berlingkar sekitar rumah jek. Kadang² aku rindu nak keluar lunch dengan officemate, malangnya aku dah takde officemate ..huhuhu. Tapi semua benda yang 'missing' dari hidup aku sekarang terlalu kecil dan remeh berbanding dengan nikmat² lain yang aku miliki sekarang. Syukur alhamdulillah sebab aku dikurniakan suami yang sangat memahami. Rasanya Abang sedar masalah utama aku bekerja di rumah ialah 'bosan'. Jadi apa saja perkara selain kerja ofis yang aku nak buat, Abang sentiasa bagi sokongan. Contohnya aku nak buat majlis reunion ke, nak pegi gathering AMTY ke, nak gi bercuti ke, asalkan ada duitnya, Abang tak pernah melarang.

Mungkin usia perkahwinan kami masih terlalu muda, maka segalanya masih indah di mata. Ye la, kang ada lak yang kata, "Alaa baru 3 tahun, semuanya elok jek lah, tunggu dah 30 tahun besok".

Well, aku tak tau apa akan terjadi hari esok. Mungkin untuk ulangtahun ke-3 semalam Abang menghadiahkan sejambak bunga, bawak pegi dinner. Mungkin pada ulangtahun ke-30 nanti Abang terlupa, atau mungkin aku dah tak ada kat dunia. Tapi tu cerita esok lusa, aku tak ada kuasa melawan ketentuan Nya. Apa yang aku mampu ialah berusaha untuk mempertahankan apa yang aku ada hari ini. Tapi yang aku pasti, hari² yang telah berlalu adalah milik aku. Selagi tak hilang ingatan, memori itu adalah hak aku. Dan hari ini, setelah 3 tahun berlalu, aku tahu aku dan Abang sehala, aku tahu kami setia, dan aku tahu perkahwinan ini bahagia. Syukur alhamdulillah untuk 3 tahun yang dirahmatiNya.