Tuesday, July 27, 2004

Selepas Konsert-7 AF2

Ini baru kejutan. Lumrah setiap konsert AF, pelajar di kedudukan pertengahan sering dilupakan lalu tersingkir sebelum waktunya. Tetapi Konsert-7 menyaksikan pelajar di kedudukan terakhir sebelum konsert tersingkir jua. Apakah ini memberi makna minda para pengundi sudah berubah? Apakah ini harapan baru bagi peminat-peminat AF untuk melihat kedudukan 5 tangga teratas akademi bakal menjadi milik mereka yang benar-benar berbakat sahaja? Tepuk dada tanya selera. Tepuk handphone, tanya sms. Tepuk poket, tanya duit. Tepuk dahi.. jangan tanya dah, bayar aje lah bil tu.

Apa-apa pun, Nurul kelihatan gembira. Gembira kerana dapat berjumpa keluarga? Atau gembira kerana dapat bertemu semula Edlin, Fitri, Anding dan Zarina? Mungkin gembira kerana terlepas dari tekanan guru-guru yang agak garang di akademi? Boleh jadi juga Nurul gembira kerana dia tahu sebaik sahaja menjejakkan kaki di luar Dewan MPPJ, Nurul telahpun dikenali oleh hampir seluruh rakyat Malaysia.

Semoga Nurul berjaya di dunia realiti di luar sana. Yang pasti, selama 3 tahun akan datang, Nurul akan terus berada dalam dunia hiburan. Samada di radio, di kaca TV, di majalah atau di pentas, MAESTRO pasti mencari jalan mengenengahkan Nurul. Selepas itu, hanya bakat dan usaha Nurul yang bakal menentukan samada peminat dunia hiburan akan terus AFUNDI NURUL.

Selepas Konsert 7, Zahid, Bob, Farah, Kaer dan Linda masih menjadi pilihan Top-5 aku.
Status AFUNDI - KOSONG.

Tuesday, July 20, 2004

Kau Duniaku - Azizi

Ini bukan ulasan album, kerana blog aku bukan blog ulasan album. Dengan pengetahuan muzik yang amat cetek, siapalah aku untuk mengulas kualiti album ini mahupun mengulas kemampuan vokal Azizi. Ini adalah penghargaan aku buat Azizi. Ini adalah ‘Kau Duniaku’ mengikut pendengaran telinga aku semata-mata.
 

1. Kau Duniaku
(Composer / Lirik: Hadi Hassan / Intan Pribumi)
Lagu berirama nusantara ini mengingatkan aku pada lagu-lagu nyanyian Sheqal suatu masa dahulu. Gabungan rentak moden dengan kemeriahan bunyi alat muzik tradisional, disesuaikan dengan lirik lagunya yang meminta kita berdamai dengan alam. Rasa macam berbaring atas buaian di bawah pokok, di tepi pantai, pakai baju bunga-bunga, kaca mata hitam dan topi mengkuang… sambil minum air kelapa muda yang sejuk. Ahhh...

2. Cinta Yang Tak Ku Undang
(Azmeer / Azmira)
Lagu balada ini adalah lagu yang paling aku suka. Sebenarnya semua lagu dalam album ni aku suka dengar, tapi yang ini aku suka ulang dengar banyak kali. Sangat sesuai untuk halwa telinga mereka yang telah ditinggalkan kekasih, kemudian berjaya membina hidup baru, kemudian kekasih lama tu datang semula terhegeh-hegeh menagih cinta.

3. Hanya Di Radio
(Othman Mohammad / S. Amin Shahab)
Lagu yang pernah dipopularkan oleh Headwind ini telah digubah menjadi rentak Latin. Aku suka intro lagu ini yang telah digunakan Azizi untuk mengajak peminatnya bergelek di atas pentas ketika beliau mempromosikan album. Selitan unsur rap menjadikan lagu ini lebih menarik lagi.

4. Aku Bisa
(Hadi Hassan)
Menjadi single pilihan untuk ke udara dari corong radio Era, lagu ini juga terdapat unsur-unsur etnik nusantara. Pertama kali aku mendengar lagu ini ialah ketika rakaman Dari Studio Satu Azizi. Menurut Azizi, lagu ini ala-ala lagu Indonesia.


5. Nafas Kasih
(Zul Mahat / Wan Rosalinda)
Lagu romantik ini pula berentak R&B. Sangat sesuai di mainkan sebelum tidur sambil berangankan kekasih anda. Kepada isteri yang nak buat surprise candle light dinner untuk suami tercinta, aku mencadangkan lagu ini dimainkan berulang-ulang sebagai lagu latar.

6. Gadis Ayu
(Copyright Reserved)
Semua peminat Azizi pasti mengingati lagu tugasan pertama beliau di AF. Gadis Ayu mungkin dimuatkan dalam album sulung Azizi ini sebagai tanda penghargaan, kerana inilah lagu yang menyelamatkan Azizi dari tangga terakhir pada konsert pertama itu, sehingga beliau akhirnya menjadi salah seorang finalis AF. Gadis Ayu bagaikan sudah serasi dengan Azizi.

7. Kasihku
(Zul Mahat / Alhsafida)
Penggunaan falsetto pada adlib dalam lagu ini, yang mana tidak pernah aku dengar Azizi gunakan sebelum beliau memasuki AF, menunjukkan ilmu yang di kutip sepanjang berada di akademi tidak beliau sia-siakan. Aku rasa Zul Mahat ni romantik orangnya kerana kedua-dua lagu ciptaan beliau dalam album ini adalah lagu untuk mereka yang sedang dilamun cinta. Err.. Zul Mahat dah kahwin ke belum? Eh.. aku yang dah kahwin rupanya..

8. Habis Sudah Umpanku (versi live)
(Marlin / Loloq)
Selain lagu tugasan pertama , lagu terakhir nyanyian Azizi di AF juga menjadi pilihan untuk dimuatkan dalam albun ini sebagai track terakhir (sebelum 2 track minus one). Kedengaran suara Aznil Hj. Nawawi mengumumkan, “Terimalah, Azizi.. !’. Aku memang suka lagu ini sejak pertama kali mendengarnya. Dan aku masih suka dengar lagu ini sekarang.


9. Cinta Yang Tak Ku Undangminus one
Susah juga aku nak menyanyi lagu ni. Asyik lari tempo. Suara mendatar. Tak ada dinamik. Ada masalah ‘rasa’. Pitching all over the place, ke parit ke laut perginya.

10. Aku Bisaminus one
Aku belum cuba lagi sebab track 9 pun belum pass.


Secara keseluruhan aku merasa puas mendengar album ini. Tidak terikat dengan satu genre lagu sahaja, album ini tidak jemu di dengar dari awal hingga ke akhir. Juga tidak jemu walaupun diulang-ulang banyak kali. Sesuai dengan kulit album berwarna kuning yang membawa mesej ‘ceria’, anda pasti ceria mendengar lagu-lagu Azizi.

Jangan lupa... dapatkan KAU DUNIAKU !!

Sunday, July 18, 2004

Selepas Konsert-6 AF2

Pemergian Zarina telah aku duga. Minda pengundi majoriti masih belum berubah. Sebab itulah aku tidak mahu mengundi sejak awal rancangan ini bermula.UNDILAH DENGAN BIJAK, begitu laungan Aznil setiap malam, setiap minggu. Dengan tersingkirnya Zarina, adakah itu bermakna pengundi tidak bijak? BIJAK itu subjektif. Bagi peminat Nurul, 'Undi Bijak' bermaksud AFUNDI NURUL pada saat-saat akhir supaya dia sentiasa terselamat. Bagi peminat Mas, 'Undi Bijak' mungkin bermakna AFUNDI MAS sehingga dia jadi juara agar dia boleh membawa pulang kereta untuk membawa anak-anaknya makan angin keliling Tawau. Bagi peminat Bob pula, 'Undi Bijak' bererti AFUNDI BOB agar dia mara sebagai Top-5 bagi membuktikan rupa paras tidak penting asalkan berbakat. Bagi peminat Adam, 'Undi Bijak' adalah AFUNDI ADAM supaya wajah ayunya dapat ditatap di kaca TV saban malam, memandangkan Yusri KRU telahpun menjadi milik Erra Fazira. Manakala bagi peminat-peminat yang menghargai bakat, 'Undi Bijak' mungkin bererti AFUNDI ZAHID, LINDA, KAER, ZARINA dan FARAH, dan usah pedulikan yang lain. Lalu 'Undi Bijak' dari golongan manakah yang menjadi AFUNDI majoriti? Ternyata golongan yang mengundi Zarina kerana bakat, menjadi golongan minoriti pada Konsert 6.
Yang pasti, tafsiran 'Undi Bijak' bagi penerbit adalah UNDI BANYAK-BANYAK, tak kiralah siapa pun korang nak undi. Makin BANYAK korang undi, makin BIJAK lah korang bagi penerbit.
Bagi aku, UNDI BIJAK bererti TIADA AFUNDI.

Selepas Konsert 6, dengan lambaian Zarina, aku mengharapkan Bob akan menyertai pilihan aku yang lain iaitu Zahid, Farah, Kaer dan Linda sebagai Top-5. Walaupun aku sebenarnya kurang berkenan dengan ke'mesreeee'annya itu, namun aku akur pada bakat beliau. Namun aku hampir pasti, setidak-tidaknya, 2 dari pilihan aku sekarang, akan ditendang keluar oleh 'Undi Bijak' golongan majoriti.
Status AFUNDI - KOSONG.

Thursday, July 15, 2004

Selepas Konsert-5 AF2

Sejak AF2 bermula, rutin harian aku pun mula berubah. Pagi-pagi perkara pertama aku buat bila sampai pejabat ialah on komputer, terus membaca weblog yang mengulas tentang AF. Nak harapkan aku mengulas sebiji-sebiji macam diorang tu, tak laratlah. Tapi aku memang suka tumpang sekaki beri komen. Ye lah, apa guna Ruangan Komen kalau bukan untuk memberi komen. Kalau untuk memberi pujian, baik dinamakan Ruangan Membodek. Blog kegemaran aku adalah YatiAtHome. Mungkin kerana penulisnya seorang wanita, maka aku rasa lebih serasi dengan tulisan Y. Dulu aku selalu baca blog sorang mamat tu. Tetapi bila penulisannya makin menyerlahkan aura 'berlagak', 'perasan pandai', 'macam bagus' dan segala perkataan lain yang seerti dengannya, aku jadi semakin geli dan rasa nak muntah setiap kali membaca tulisannya, maka aku mencari sesuatu yang lebih jujur, yang penulisnya menulis bukan kerana nama. Aku temuinya pada jemari seorang wanita. Semoga Y akan terus menulis dari hati, bukan untuk dipuji, bukan juga mencari populariti.

AF2 juga menemukan aku dengan ramai teman-teman baru, bukan saja melalui blog yang aku kunjungi, tapi juga dari yahoogroup yang aku sertai. Kadang-kadang kerja pun lambat siap sebab asyik berchatting dengan teman-teman baru ni. Balik dari pejabat pun tak singgah kemana-mana lagi, terus balik rumah kerana tak mahu terlepas Diari AF jam 8.30. Buletin TV3 pun aku tonton separuh saja. Lagipun dalam berita tu asyik-asyik keluar cerita orang bunuh orang. Buat risau kepala otak aku je. Lagi baik baca lawak 'Pak Abu buat pelamin' di Channel 15 tu, sementara tunggu siaran ulangan Diari AF jam 11.30. Tidur pun lambat. Paling awal pukul 12.30. Kalau ada ulangan konsert, lagilah lambat aku tidur. lambat jugalah ke pejabat esoknya.

Bilalah agaknya demam aku nak kebah.
Selepas Konsert 5, pilihan Top-5 aku tetap Zahid, Zarina, Farah, Kaer dan Linda.
Status AFUNDI - KOSONG

Wednesday, July 07, 2004

Selepas Konsert-4 AF2

Aku melihat pelbagai perkara hasil penangan demam AF. Memang tidak kesemua perkara itu secara langsung disebabkan AF. Ia lebih kepada sikap manusia sendiri apabila menangani sesuatu situasi. Ia bukan sahaja berlaku ketika demam AF, namun apa yang ingin aku tulis adalah apa yang aku saksikan kebelakangan ini, yang mana titik mulanya adalah AF.

Aku melihat adik-beradik bertengkar dan tidak bertegur sapa beberapa hari hanya disebabkan si kakak ketawa bila pelajar AF pujaan adiknya tersingkir minggu ini. Aku melihat suami menarik muka masam bila isteri sering tidur lambat kerana asyik mengadap komputer, samada membaca ulasan AF atau membuat ulasan AF. Aku melihat persahabatan dipersenda hanya kerana sahabatnya meminati pelajar AF yang paling dia benci.

Aku melihat kutuk-mengutuk bagaikan satu budaya yang seakan tidak berdosa di dunia cyber. Aku melihat begitu angkuhnya apabila seseorang mengutuk mana² pelajar, namun begitu mudah jua melenting bila pelajar kesukaannya dijentik. Aku melihat pengkritik yang begitu hebat mengkritik namun menggelepar bila dirinya sendiri dikritik. Aku melihat betapa bongkaknya seseorang mahukan orang lain memohon maaf kerana mengutuk dirinya, namun begitu sukar memberi maaf, apatah lagi memohon maaf setelah mengguris hati orang lain. Aku melihat penulis membuka ruang untuk pembacanya memberi pendapat namun tidak membuka hatinya untuk menerima teguran. Aku melihat pembodek² sewenang²nya melabelkan insan lain sebagai bodoh dan bangang hanya kerana insan itu tidak sependapat dengan mereka dan walaupun mereka sendiri tidak pernah mengenali siapakah yang mereka katakan bodoh itu. Aku melihat satu kritikan menutup seratus pujian yang pernah ditaburkan sebelumnya. Aku melihat betapa benarnya pepatah - indah khabar dari rupa.

Akhirnya aku melihat pelajar tersingkir tetap menjadi bintang. Aku melihat pelajar tersingkir makin maju perniagaannya. Aku melihat pelajar tersingkir tetap popular meskipun berkoyan-koyan kutukan ke atas dirinya. Aku melihat pengutuk² berkoyan-koyan pula dosanya dan tetap tidak popular. Aku juga melihat pengAFUNDI² berkoyan-koyan habis duitnya kerana menyelamatkan pelajar kesayangan mereka. Dan walau aku tak dapat lihat, namun aku pasti Accountant dan Auditor Astro dapat lihat berkoyan-koyan juga Fixed Deposit Astro selepas tamat AF nanti.

Lalu aku melihat peribadi aku sendiri dan cuba muhasabah diri.
Selepas Konsert 4, pilihan Top-5 aku masih Zahid, Zarina, Farah, Kaer dan Linda.
Status AFUNDI - KOSONG