"kalaulah, 20 tahun akan datang, tiba-tiba anak kau Raha nak masuk AF. adakah kau nak sokong atau sebaliknya.
sekadar soalan.
saya "
Begitulah soalan yang aku terima dari seseorang yang menggelarkan dirinya sebagai 'saya'.
Jawapan aku adalah - TIDAK. Sebagai seorang emak, pastinya aku inginkan yang terbaik untuk anak aku, dunia dan akhirat.
Bukan niat aku untuk mengatakan kehidupan seorang artis itu jelek, tetapi amat nyata dunia hiburan lebih banyak perkara negatif dari positif. Samada artis yang separuh bogel, artis yang berpakaian sopan hinggalah ke artis yang bertudung litup, mereka bukan sahaja boleh menjadi idola dan disayangi, namun mereka juga tidak dapat lari dari dibenci, digossip, difitnah dan diganggu kehidupan peribadi. Tiada
privacy hinggakan cerita dalam seluar dalam pun menjadi bahan bualan masyarakat.
Mungkin anak aku sangat berbakat dan boleh jadi lebih kaya raya dari Siti Nurhaliza, dan aku pun boleh tumpang senang. Tetapi sebagai emak, aku lebih rela hidup sederhana. Aku lebih rela anak aku membenci aku kerana tidak membenarkan dia menjadi artis, kerana cuba melindungi kehidupannya, daripada membiarkan dia dibenci oleh masyarakat yang hanya membaca atau mendengar kisah² peribadinya dari akhbar, namun tidak pernah mengenalinya sejak dari dalam perut.
Sebenarnya terlalu banyak sebab-sebab yang boleh aku senaraikan. Terlalu banyak contoh di surat khabar, majalah dan ruang forum internet yang rasanya tak perlu aku ulas. Belum lagi masuk bab hukum-hakam agama yang terang² tidak menyebelahi.
Sebagai emak, hati mana yang tidak tercalar pedih jika anak yang kau bawa di dalam perut dari sebesar zarah, yang kau lahirkan kedunia dalam keadaan menyabung nyawa, yang kau tatang sepenuh jiwa, kau susukan hingga kenyang, kau ajarkan perkataan pertamanya, kau tatihkan langkah pertamanya, bila dewasa menjadi umpat cerca hanya kerana dia bergambar dengan seorang lelaki, atau hanya kerana dia TIDAK MAHU bergambar dengan seorang lelaki?
Walau seburuk mana perangainya, walau sehodoh mana wajahnya, walau sebodoh mana akalnya, dia tetap anak aku. Satu perkataan mengeji dia, bagai halilintar menyentap jantung aku, bagai seluruh langit menimpa dada aku.
Secara peribadi, aku tidak sekuat ibu Nana, Atie, Azza, Rosma, Liza dan Nija yang mampu memberi sokongan kepada anak² mereka untuk menceburi bidang ini. Aku tidak sekuat mereka yang mampu memekakkan telinga, membutakan mata, membisukan mulut, bila orang mengutuk mengata anak mereka di kaca TV dan di dada majalah. Aku takut aku tidak kuat memaut tangan anak aku agar dia tidak hanyut dibawa arus. Aku takut aku tidak mampu menariknya berdiri andai dia rebah menyembah bumi.
Yang lebih aku takut, jika aku tak mampu menjawab bila tiba masanya, DIA bertanya adakah aku menunaikan tanggungjawabku menjaga, melindungi dan mendidik AMANAH NYA dengan betul seperti mana yang DIA tuntut, seperti mana yang telah diajar oleh UTUSAN NYA, dan seperti mana yang difirmankan dalam QALAM NYA?