Aku tak berkesempatan mengikuti Rentak Juara sedari awal pertandingan ini bermula. Sekadar menonton beberapa minggu yang akhir serta
final yang disiarkan secara langsung dari Stadium Negara malam tadi. Sebenarnya aku tak faham kenapa pertandingan akhir diadakan pada malam Selasa. Kalau kita tengok kebanyakan rancangan hiburan, tak kiralah samada pertandingan mahupun majlis anugerah, penganjur rata² memilih malam minggu, apatah lagi untuk pertandingan peringkat akhir. Malam Selasa pastinya bukan malam yang sesuai sekiranya RTM berhasrat menarik perhatian lebih ramai penonton mengikuti rancangan ini.
Hadiah yang ditawarkan memang lumayan. RM 100,000 untuk Juara! Tempat ke-2 pula memenangi RM 60,000, tempat ke-3 menerima RM 20,000 dan RM 3000 setiap satu untuk 5 pemenang saguhati. Juga RM 3000 setiap satu untuk
Guitarist Terbaik,
Bassist, Drummer, Keyboardist dan
Vocalist Terbaik. RM 5000 pula untuk kumpulan paling popular yang diundi melalui SMS. Seingat aku belum pernah ada satu pun pertandingan hiburan di Malaysia yang menawarkan hadiah sebegitu lumayan. Sebagai langkah pertama, aku rasa hadiah lumayan tu pastinya akan mendorong lebih banyak penyertaan pada tahun² akan datang. Dan disebabkan ianya yang pertama juga, maka aku kira banyak kekurangan yang perlu diberi perhatian oleh RTM bagi memastikan rancangan tersebut lebih menarik pada tahun² akan datang.
Aku tak pandai nak komen perkara² teknikal, namun kalau tak sedap di telinga aku, tak sedap lah aku kata. Aku tak tahulah samada
sound system di Stadium Negara yang tak sedap, atau band² tu sendiri tu yang tak pandai
sound setting, atau sememangnya sejak dulu, apa saja bunyi yang keluar dari saluran RTM memang tak sedap.
Sketsa lakonan peserta² yang ditayangkan sebelum mereka mulakan persembahan juga aku rasakan mengarut. Tak sedap langsung. Setiap kali aku tengok, maka yang terkeluar dari mulut aku ialah "Hek eleee...". Ini pertandingan band ke pertandingan badut? Kalau zaman sekolah dulu, sketsa begini kami panggil 'codek'. 'Codek' bererti lawak syok sendiri, atau, sendiri buat lawak, sendiri rasa kelakar, sendiri juga gelak. Orang lain yang menonton tetap akan kata "Hek eleee.." Tak tahulah kalau RTM nak cari band yang juga boleh boleh dijadikan pelakon bersiri rancangan ala² Senario. Mungkin tujuannya saja suka², tapi aku tetap tak suka. Aku lebih rela tengok iklan daripada tengok pemuzik² tu membodohkan diri sendiri (atau diperbodoh²kan?).
Secara keseluruhan, kesemua peserta akhir yang terdiri dari kumpulan Havoq, Gypsy, Azia, NRG, Thunderstorm, Gerhana Skacinta, The Big Band dan Skyhigh memberikan saingan sengit. Kesemuanya boleh dikatakan pemuzik
versatile yang mampu bermain muzik pelbagai genre, dari pop dan jazz hingga ke blues dan rock. Aku yakin mereka pastinya telah lama berkecimpung dalam bidang ini, mungkin antaranya dari kumpulan² muzik
underground, atau biasa bermain di kelab² atau hotel, mahupun di kenduri² kahwin atau
fun-fair. Paling tidak pun, mereka ini pasti masuk studio
jamming 2-3 kali seminggu. Malah ada antara persembahan² malam tadi yang kulihat jauh lebih baik dari persembahan
live OAG. Maaf lah kepada peminat OAG, tapi inilah pendapat aku.
Persembahan selingan dari Spider, Wings dan Ramli Sarip juga tidak menghampakan. Akhir² ni aku selalu lihat Yan (Lefthanded) mengiringi persembahan XPDC. Tak tau lah samada Yan memang dah
join XPDC atau sekadar bermain secara kontrak. Namun XPDC tetap mantap. Spider juga tak dapat dinafikan memang hebat beraksi. Begitu juga Papa Rock yang tetap
rock walau rambut putihnya kini kian ketara. Wings agak kurang menyengat, mungkin kerana mereka memainkan lagu
playsafe untuk vokal Awie yang sekarang dah tak begitu
power bila tarik tinggi². Aku tak ingat tajuk lagu tu. Macam biasa, aku memang tak berkenan bila Joe banyak sangat 'menggoreng'. Mungkin bagi sesetegah orang ianya artistik. Tapi bagi aku, artistik kalau macam Yngwie Mamsteen. Tapi kalau goreng sampai sumbang tak masuk dengan
bass, yang tu bagi aku bukan artistik, yang tu aku panggil
overacting atau saja nak menunjuk². Apa² pun, Joe tu professional. Aku bukannya pandai pun perihal gitar ni. Cuma macam aku kata tadi lah, kalau telinga aku dengar tak sedap, tak sedap lah aku kata.
Yang paling memualkan aku tentulah pengacaranya, Azwan Ali. Pasangan pengacaranya tu pula tak pernah aku tengok sebagai pengacara di mana² rancangan. Pol? Saiful? Macam tu lah nama dia. Aku tak nak sebut pasal Pol sebab aku rasa untuk mengacarakan rancangan seperti Rentak Juara, mamat tu
okay lah juga, walaupun perlu di asah lagi. Tapi Azwan Ali? Kenapa Azwan Ali? Tak ada orang lain lagi ke? Tak tahulah apa pendapat orang lain, tapi aku rasa Azwan memang sangat² tak sesuai. Dengan bebelannya yang entah apa², aku rasa Azwan lebih sesuai mengacara rancangan Rentak Periuk Belanga atau Rentak Senduk(tu pun kalau ada lah). Tambah pula dengan fesyen pakaian Mat Rempit digandingkan dengan dandanan rambutnya yang nengarut², kadang² aku rasa macam tengah tengok Pertandingan Fesyen Rambut, kadang² aku rasa macam tengah tengok Pertandingan Ratu Mak Nyah pulak. Aku jadi menyampah nak tengok Rentak Juara kerana adanya Azwan. Sejak dari minggu² yang lalu, setiap kali Azwan buka mulut, ada saja yang aku rasa tak kena keluar dari mulutnya. Mungkin Azwan ramai peminat, namun aku pasti mereka yang menonton Rentak Juara kebanyakannya berjiwa 'rock', yang pastinya bukan dari kalangan pemuja Azwan Ali. Aku pun tak faham kenapa Azwan dipilih mengacara rancangan seperti ini. Untuk menandingi populariti Aznil Nawawi barangkali? Jauh panggang dari api. Malahan Jien dan Aleya yang masih mentah tu mengacarakan Malaysian Idol lebih baik dari Azwan mengacarakan Rentak Juara.
Dan kesilapan yang paling besar dan paling bodoh pernah dibuat oleh mana² pengacara ialah mengumumkan nama kumpulan yang salah sebagai Juara. Dah berapa tahun Azwan mengacara? Macamana boleh salah? Kesian aku tengok ahli² kumpulan NRG yang melonjak² sakan bila nama mereka diumumkan sebagai Juara. Malah setelah beberapa kali Azwan mengulangi "Harap maaf, ada kesilapan", NRG masih tidak sedar, masih melompat² kerana terlalu seronok meraikan 'kemenangan' 10 saat itu. Azwan juga hingga terpaksa meminta tolong dari Pol untuk menutupi kesilapannya. Malang bagi Azwan kerana Pol juga bagaikan termangu² tak tahu nak kata apa. Aku sendiri pun terkejut bagaimana kesilapan begitu boleh berlaku. Satu kesilapan yang aku rasakan tidak dapat dimaafkan. Tak dapat aku bayangkan perasaan NRG apabila Azwan kemudiannya mengumukan semula "Keputusan sebenar, juara secara rasminya adalah kumpulan Thunderstorm". Ahli² Thunderstorm juga tidak kelihatan begitu
excited diumumkan sebagai pemenang sebenar. Mungkin kerana awalnya menyangka mereka telahpun tewas, atau mungkin juga kerana tak sampai hati mengambil balik
trophy dan
mock cheque 100 ribu tu dari tangan NRG.
Ini merupakan musim pertama Rentak Juara Rhythm of Champions, dan pengumuman JUARA PERTAMA bagi rancangan RENTAK JUARA sepatutnya menjadi detik kemuncak keseluruhan musim ini. Namun detik itu di rosakkan sama sekali oleh pengacara yang kononnya berpengalaman bertahun². Walau Azwan berkali² memohon maaf dan cuba menerangkan bahawa kesilapan itu disebabkan kekeliruan pada senarai nama yang diberikan kepadanya, namun Azwan terus²an di
boo oleh penonton di Stadium Negara malam tadi. Siaran secara langsung itu pastinya menampakkan kesilapan dan kebodohan Azwan. Dan aku hampir merasakan ianya adalah detik penamat bagi karier Azwan Ali.
Mungkin ianya kesilapan pihak penerbitan yang tidak berbincang dahulu mengenai senarai pemenang yang diberikan kepada Azwan. Pemenang diumumkan bermula dengan pemuzik² terbaik, selepas itu 5 pemenang saguhati (mengikut turutan dari bawah), diikuti pemenang tempat ke-3, dan JUARA diumumkan dahulu, barulah tempat ke-2. Senarai yang diberikan pada Azwan telah pun disusun mengikut nama yang perlu diumum, oleh itu nama Thunderstorm pastinya berada di nombor 2 dari bawah (atau nombor 2 dari atas), namun Azwan mungkin menyangka nama yang paling akhir (atau paling atas) dalam senarai adalah Juara, yang pastinya nama NRG, lantas dengan konfiden mengumumkan NRG sebagai juara. Kesalahan begitu mungkin boleh diterima sekiranya di lakukan oleh orang yang baru pertama kali menjadi pengacara. Tapi Azwan berpengalaman bertahun²!
Terlebih awal sewaktu mengumumkan pemenang² bagi kategori pemuzik terbaik -
Guitarist terbaik,
Bassist terbaik dan
Drummer terbaik jatuh kepada kumpulan Thunderstorm. Cuma
keyboardist terbaik jatuh kepada NRG dan
Vocalist terbaik pula jatuh kepada satu lagi kumpulan lain (tak ingat kumpulan mana). Secara
logicnya, jika 3 pemuzik terbaik berada dalam satu kumpulan yang sama, sudah pastilah kumpulan itu sepatutnya muncul sebagai kumpulan terbaik. Aku yang menonton di rumah pun dapat mengagak Thunderstorm sepatutnya diumumkan Juara jika berdasarkan keputusan pemuzik² terbaik. Sebagai pengacara berpengalaman, Azwan sepatutnya peka perkara² sebegitu. Jika keliru, Azwan sepatutnya mendapatkan kepastian.
Bagi aku inilah tamparan paling hebat buat Azwan. Disaat 'perselisihan' nya dengan Aznil masih baru saja diperkatakan, pastinya Azwan akan dibanding²kan lagi dengan 'musuh' tradisi nya itu. Dan semalam merupakan 'kekalahan' besar buat Azwan. Aznil juga pernah membuat kesilapan yang sama ketika mengumumkan penyingkiran Fitri dari AF2. Aku menganggap itu sebagai satu kesilapan yang tak seharusnya berlaku. Namun apa yang berlaku semalam bagi aku berkali ganda lebih besar silapnya. Malah ketika sidang media yang ditayangkan secara langsung selepas itu juga, seorang wartawan muda secara terang²an menegur tentang kesilapan yang tak sepatutnya berlaku itu. Dato' Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir pula yang terpaksa memohon maaf bagi pihak RTM. Menurut Dato' Paduka, ada lagi kesilapan² lain yang telah beliau perhatikan, dan beliau akan cuba memastikan ianya takkan berulang (aku harap maksud sebenar Dato' Paduka ialah: Azwan Ali takkan kembali mengacarakan Rentak Juara tahun hadapan)
Apapun, aku bersetuju dengan kata² Dato' Paduka, Malaysia mempunyai banyak kumpulan² muzik berbakat besar, kita tak perlu mengambil pemuzik² dari luar untuk menyanyi di hotel² kita. Dengan adanya Rentak Juara bukan saja dapat memberi peluang kepada bakat² berkumpulan ini menonjolkan diri, di harap juga dapat membuka mata sesetengah pihak tentang kewujudan mereka. Aku pada awalnya hanya melihat Rentak Juara sebagai hiburan semata², namun Dato' Paduka telah mengaitkannya dengan industri perhotelan tanahair. Ye lah, Dato' Paduka dulu kan dari Kementerian Pelancongan, pasti banyak pengalaman beliau yang dapat di hubung-kait kan dengan agenda² baru di Kementerian Penerangan. Khabarnya Rentak Juara Rhythm of Champions juga adalah idea Dato' Paduka sendiri. Syabas Dato' Paduka. Cuma diharap Dato' Paduka janganlah biar kan orang² yang cepat melatah tu merosakkan agenda² dan idea² bernas Dato' Paduka tu ya.