Thursday, March 25, 2004

Manager Rumah

(Seperti yang pernah aku tulis dalam MRSM Kerteh Yahoogroup suatu masa dahulu, apabila seorang teman menggelarkan dirinya sebagai - Manager Rumah)

Aku juga teringin nak jadi Manager Rumah. Wanita yang menjadi idola aku dalam karier sebagai Manager Rumah ni, sudah pastinya emak aku. Namun tak mungkin aku dapat jadi seperti emak kalau setiap hari aku ke pejabat pukul 8 pagi, balik pula pukul 8 malam.

Ramai yang pandang rendah pada isteri tak bekerja. Macam² yang aku pernah dengar - ketinggalan zaman lah, tak maju lah, tak vogue lah, malah ada juga yang kata, "Rugi lah belajar tinggi² kalau end up duduk di ceruk dapur, tunggu suami balik kerja." Bagi aku, kalau kita tonton cerita² Melayu lama di kaca TV, memanglah begitu gambaran seorang suri rumah - di ceruk dapur. Tapi itu zaman dahulu. Zaman Tun Perak dan Hang Tuah.

Kini zaman dah berubah. Isteri zaman sekarang celik IT. Silap haribulan, isteri lebih pandai IT daripada suami, kerana di rumah, bila anak tidur, kerja rumah pula dah beres, isteri ada masa mengadap komputer. Dan silap haribulan lagi, isteri lebih tahu pasal perkembangan dunia semasa, tentang Bush dan Amerika, tentang Israel dan Palestin, tentang politik dan pilihanraya, maupun tentang gossip artis sini-sana, kerana isteri lebih kerap tengok TV, tengok berita dan baca surat khabar. Isteri yang duduk rumah juga mungkin lebih fit, kerana mereka boleh exercise sambil menghayun buaian anak, dibandingkan dengan isteri bekerja macam aku yang hanya duduk di depan komputer, dalam bilik berhawa dingin dari pagi sampai petang, langsung tak keluar peluh, kemudian bila balik rumah dah penat, tak larat pula nak exercise.

Suri rumah zaman sekarang jauh lebih educated dari nenek² kita dahulu. Tak perlu tunggu suami hulur duit belanja dapur, sebaliknya isteri pula yang hulur pada suami senarai perbelanjaan yang diperlukan setiap bulan untuk beli susu, Pampers, bayar bil telefon dan internet, beli lipstick Channel, CD Siti Nurhaliza & VCD Hindustan.

Isteri di zaman belum merdeka mungkin tak pandai buat urusan luar, maklumlah jarang keluar rumah, semuanya suami yang uruskan. Tapi kini suami sudah boleh tumpukan perhatian pada kerja atau perniagaan, kerana isteri era millenium boleh uruskan sewa rumah, loan kereta dan pembayaran bil-bil melalui maybank2u.com, boleh memandu menghantar dan menjemput anak² dari sekolah, malah boleh juga aktif sebagai AJK ANSARA atau menghadiri mesyuarat Puteri UMNO.

Ada yang cakap kat aku, tak seronok lah tak berkerja kerana tak boleh pegang duit sendiri. Aku rasa semua tu terpulanglah kepada kebolehan masing² berkomunikasi dengan suami dalam soal kewangan. Tambahan pula, suami zaman ini tidak lagi berfikiran kononnya bila beri isteri pegang duit, maknanya takut bini lah, queen control lah. Suami zaman sekarang kalau dia beri duit pada isteri, katanya sayang isteri, kerana mahu isteri pergi gymnasium, maintain body macam J-Lo, juga kerana dia sedar memang sudah tanggungjawab dia memberi nafkah pada isteri.

Untuk apa pegang duit sendiri, kalau setiap kali ke pejabat, tension dengan kerenah boss dan kerja yang tak sudah². Hati pula sentiasa terkenangkan anak di rumah ditinggalkan dengan orang gaji, bimbang entah anak diberi makan ulat sampah, seperti mana yang selalu dibaca dalam email. Suami pula kononnya selalu demam, asyik pula nak balik rumah pada waktu pejabat, dijaga pula oleh pembantu rumah dari tanah seberang yang entah apa² ilmu dia ada. Untuk apa lah dapat gaji sendiri yang sedikit tu, kalau tidak dapat melihat anak² membesar didepan mata, langkah pertama anak disaksikan oleh baby sitter di pusat penjagaan kanak², bukannya kita, perkataan pertama yang diucapkan oleh anak didengar oleh mak atau mak mentua yang menjaganya, bukannya kita?

Masa zaman sekolah dulu, seorang teman pernah mengadu pada aku, betapa dia mengharap ibunya tidak bekerja, agar ibunya ada lebih masa untuk dia dan adik-beradiknya, supaya bila dia balik dari sekolah ada ibunya menanti di meja makan dengan hidangan tengahari yang dimasak sendiri oleh tangan ibu, bukan dibeli dari gerai makan di hujung jalan. Itu ibunya, seorang cikgu, boleh dikata berkerja half day saja. Bagaimana pula yang berkerja balik lewat macam aku? Silap² seminggu sekali baru memasak. Itu pun kalau ada sayur dan ikan dalam peti ais.

Oleh itu, bersyukurlah sesiapa yang suaminya mampu menanggung rumahtangga tanpa perlu isteri bekerja. Untunglah kerana anak² kalian takkan mengadu pada temannya sepertimana temanku tadi. Pada isteri² yang bekerja macam aku pula, mari lah kita berdoa semoga suami kita dimurahkan rezeki, supaya kita boleh berhenti kerja dan menjadi Manager Rumah. Tapi kalau sudah terpaksa berkerja juga, nak buat macamana kan? Masa aku pegi kursus kahwin dulu, Ustaz tu cakap, isteri² yang pergi berkerja dengan niat untuk membantu kewangan suami, pahalanya samalah macam pahala berjihad. Andaikata ditakdirkan mati dalam perjalanan ke tempat kerja, mati syahid kita. Wallahualam... Itu pun kalau pergi berkerja dengan niat membantu suami lah, kalau pergi kerja atas alasan tak mahu jadi perempuan kolot duduk di dapur tu, tak tau lah ya...

Monday, March 22, 2004

Bukan aku tak suka kamu

Tamatlah pilihanraya. Yang menang, gembira. Yang kalah, berduka. Yang tak puas hati, kira semula.

Rasanya malas aku nak ulas tentang keputusan pilihanraya kali ini. Tidak dalam weblog ini. Pasti lebih banyak ulasan bernas dalam weblog lain. Aku bukan pemerhati politik, jauh sekali ahli pada mana² parti politik. Yang pasti, aku pergi mengundi. Siapa yang aku undi? Tak kisah lah dia dari parti mana, yang pasti aku tidak mengundi seorang perempuan untuk menjadi seorang pemimpin.

Wahai perempuan, maafkan aku kerana tidak mengundi kamu. Bukan aku tak suka kamu. Aku sendiri seorang perempuan, pasti aku tahu kebolehan dan keupayaanku. Cuma aku sedar, aku ini hanya dicipta dari tulang rusuk seorang khalifah. Sekiranya telah terdapat ramai khalifah di sekeliling ku, bagaimana pula aku - sekadar sebatang tulang rusuk - layak mengetuai khalifah² itu?

Wahai perempuan, maafkan aku kerana tidak mengundi kamu. Bukan aku tak suka kamu. Tapi aku kasihan. Sekiranya engkau memimpin kelak, aku bimbang kau jarang dapat melayan dan membelai suamimu dengan sempurna, sehingga dia akhirnya merasa sunyi dan mencari belaian dari wanita lain pula. Aku kasihan pada anak² yang kurang mendapat perhatianmu kerana kau pasti sibuk ke sana ke mari menyelesaikan masalah rakyat yang kau wakili. Aku bimbang bila engkau terpaksa bertemu dengan golongan lelaki pelbagai jenis. Bukan mudah untuk menolak sekiranya mereka menghulur tangan ingin bersalaman denganmu. Bimbang nanti suami mu cemburu. Bimbang perkara sedemikian dijadikan bahan untuk musuh² menikam mu.

Wahai perempuan, maafkan aku kerana tidak mengundi kamu. Bukan aku tak suka kamu. Aku cuma bimbang, tatkala engkau cuba membela maruahku dan maruah perempuan lain di bawah pimpinanmu, maruah mu sendiri tidak terbela, dengan mudah dicerca, dicela, dinista. Aku tahu engkau pasti kuat untuk mengharunginya. Kerana aku juga seorang perempuan, kuat sepertimu. Tapi usahlah kita menjadi Hindun (ketika zaman jahiliahnya), gagah berani di barisan hadapan bersama lelaki, sekadar untuk diingati sebagai si pelapah jantung dan hati. Biarlah kita menjadi Sumaiyyah, menyuntik kekuatan kepada anak² dan suami, bukan di medan perang dia mati, namun tetap disanjung sebagai wanita pertama syahid di jalan Illahi.

Thursday, March 18, 2004

Album mini Azizi pelbagai jenis rentak

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff

KEJAYAANNYA menduduki tempat ketiga di belakang Vince dan Khai pada musim pertama Akademi Fantasia (AF) tahun lalu memberikan ruang buat artis berbakat, Azizi, untuk merakamkan suara ke album.

Malah, ramai peminat rancangan itu beranggapan suara yang dimiliki jejaka berusia 28 tahun itu cukup bermutu dan selayaknya dia menjadi artis rakaman. Azizi sendiri bukan asing kepada dunia nyanyian kerana dia memang aktif menyanyi sejak dulu lagi.

Azizi yang berasal dari Pahang kini sibuk di studio untuk proses rakaman album pertamanya. Album itu bakal memuatkan lagu daripada beberapa komposer terkenal tanah air seperti Azmeer, Adnan Abu Hassan serta Adi Hassan.

“Insya-Allah, jika segala-galanya berjalan lancar, album ini akan turut mendapat sentuhan komposer terkemuka, Fauzi Marzuki,” kata Azizi ketika Persada Seni menemuinya sewaktu dia hadir memberikan sokongan kepada calon uji bakat Akademi Fantasia musim kedua di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Azizi hanya akan muncul dengan album mini sebagai percubaan pertamanya. Sebanyak enam lagu akan dimuatkan dalam album yang berkonsepkan muzik pelbagai itu.

“Saya tidak kisah sama ada saya muncul dengan album penuh atau album mini, kerana peluang merakamkan suara ke album itu sendiri sudah cukup memberi erti buat saya,” tegas Azizi yang peramah ini.

Katanya, menerusi album yang mungkin menggunakan judul Afundi itu, dia menyanyikan lagu-lagu berentak balada, R&B, rock dan lagu etnik yang diberikan sentuhan baru. Ia lebih kepada album percubaan untuk melihat sejauh mana dia mampu membawakan irama terbabit, di samping mencari kesesuaian untuknya, bagi projek rakaman selepas ini.

Album terbabit dijangka berada di kedai muzik seluruh negara mulai pertengahan April ini. Setakat ini, Azizi sudah pun merakamkan empat lagu. Album sulungnya itu memuatkan lima lagu baru di samping sebuah lagu lama yang diberikan nafas baru.

“Ia adalah album terima kasih saya kepada peminat dan mereka yang banyak memberikan sokongan buat saya selama ini. Saya benar-benar menghargai sokongan dan dorongan yang mereka berikan, sehingga saya boleh berada di sini hari ini,” kata Azizi.

Anak muda yang berbangga dengan AF, yang memberikannya banyak peluang keemasan dalam dunia seni, juga tidak terasa dirinya terpinggir daripada mendapat publisiti selepas berakhirnya tayangan AF musim pertama dulu.

Sebaliknya dia memberitahu, dia sentiasa menerima jemputan mengadakan persembahan di serata tempat di seluruh negara.

“Saya juga sentiasa cuba memenuhi permintaan para wartawan dan pihak media massa yang ingin menemubual saya atau mengadakan sesi fotografi bersama saya. Saya amat bersyukur dengan pelbagai publisiti yang mereka telah berikan untuk saya selama ini,” ujar Azizi.

Ditanya mengenai jodoh pula Azizi cepat-cepat memberitahu, buat waktu ini dia ingin menumpukan perhatian kepada kerjaya seninya dulu. Namun dia tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dalam waktu terdekat ini.

Wednesday, March 17, 2004

Poster, poster, poster

Merata-rata. Di mana-mana.Poster, poster, poster. Dacing, bulan, maupun mata. Biasalah, menjelang pilihanraya. Tapi yang aku tak suka, si penampal poster, malam² buta, memekak saja. Tak boleh tunggu matahari terbit ke? Atau takut nanti orang cam muka? Mungkin juga takut orang mengata. Maklumlah, semalam kata, “warna hijau aku suka”. Hari ini gantung poster biru pula. Iya lah, penaja poster biru kan kaya raya. Dengar kata, RM 200 ribu untuk seorang calon semata. Hmm…. Banyaknya. Kalau bagi aku semua, boleh habiskan hutang rumah dan kereta.
Lagi yang aku tak suka, sesetengah muka di dalam poster, cubalah letak gambar yang sedap di pandang mata. Biar bila rakyat tengok pun percaya, “dia ni bukan kaki korupsi punya…”. Tapi ada sesetengah wajah dalam poster, huk alah… muka.. macam biasa nampak kat kelab dangdut je. Ish, pandai² mulut ni mengata. Nanti dituduh menabur fitnah pula. Entah calon tu ke sana, bincang hal berniaga, atau berjumpa kawan² lama, mungkin juga menenangkan minda, selepas penat memikirkan cara² nak menyelesaikan masalah negara.
Macam² cerita, menjelang pilihanraya. Ada juga yang ke sini-sana, cerita politik tak lekang dari mulutnya. Tanyalah apa saja, dia tau semua. Tapi bila ditanya,’Mengundi nanti di mana?”, tersengih² pula dia. “Terlupa mendaftar” itu jawabnya. Mulalah aku rasa nak geleng kepala. Tak kurang juga yang bersuara, “Undi ke tak undi sama saja, balik² yang menang yang itu juga”. Habis aku nak kata apa? Takkan nak paksa². Tak berani pula aku nak kata, “Kau ni tak bertanggungjawab pada negara”
Harinya akan tiba juga. Rakyat memangkah ikut selera, bermacam sebab dan alasannya. Kerana dah banyak termakan jasa, kerana mempertahankan ketuanan bangsa, kerana menegakkan agama, atau kerana suka calonnya.
Bagi diri aku pula, ini adalah kali kedua. Pendirian aku tetap sama – sekiranya para pewakilan kita, terdiri dari individu yang mulia, tak kiralah dia parti apa, pasti rakyat yang dia bela, bukan perniagaan dan anak²nya semata².

Tuesday, March 16, 2004

Dia

Dia
aku yang dulu
Dia
memang sayang kamu
Dia
terlalu lama menunggu
Dia
akhirnya jemu
Dia
ketemu hidup baru
Dia
bukan lagi aku.

Monday, March 15, 2004

Akak Ogy, Datuk Pah dan Aku !

Siangnya
aku membaca kenyataan Akak Ogy,
"tidak mahu syok sendiri",
merujuk kepada tugasannya sebagai pengacara majlis malam nanti.
Malamnya
aku mendengar Akak Ogy
mengisytiharkan diri
sebagai "Janda Eksklusif Malaya", sambil memperagakan diri

Siangnya
aku membaca kenyataan Datuk Sharifah Aini
"Siti Nurhaliza akan berada di tempat saya suatu hari nanti".
Malamnya
aku mendengar (atau tidak mendengar?) - macamana ni?
Datuk Biduanita Negara terlupa macamana nak menyanyi.
Mungkin Datuk Pah tidak sedar lagi,
sebenarnya Siti
telahpun berada bertingkat² lebih tinggi.

Siangnya
aku tak sabar² nak menonton ABP
asyik baca ulasan itu-ini
sampai lupa nak masak nasi
makan cekodok aje dari pagi
Malamnya
tekak aku kian mual dan loya
melihat telatah wanita di ambang senja,
dan akhirnya aku terlena
mendodoi diri dengan lagu Twinkle² Little Star (yang pasti aku hafal liriknya..)

Wednesday, March 10, 2004

Diskriminasi

Tengahari tadi ofis aku mengadakan majlis makan tengahari untuk Dr. Hara Prasad Padhy yang bakal meninggalkan kami untuk menyertai UNESCO Paris. Takkan itu saja? Makan tengahari dalam pejabat sahaja? Dengan budget tak sampai RM500? Untuk seseorang yang begitu besar sumbangannya pada institut ini? Lelaki yang telah banyak membantu menjulang nama boss aku dalam dunia pembangunan penyiaran Asia Pasifik. Penghargaan buatnya hanya sekadar makan tengahari dan sebuah jam dinding?
Aku masih ingat, ketika meraikan kehadiran Olivier dari France dan Winfried & Karl dari Germany, kami mengadakan majlis di Royal Selangor Club. Ketika Reiner hendak pulang ke Germany, majlis perpisahan untuknya diadakan di PJ Hilton. Mengapa? Kerana mereka dari negara barat? Atau kerana mereka berkulit putih? Adakah kerana Dr. Padhy berasal dari India dan berkulit hitam, maka dia menjadi tidak layak untuk diraikan di tempat² eksklusif walaupun jasa beliau pada institut ini ketara lebih besar dari mereka?
Ternyata diskriminasi bangsa dan warna kulit masih wujud di sini. Dan aku semakin sedar kedudukan diri aku, kerana warna kulitku pastinya tidak secerah kulit Olivier, Winfried atau Reiner. Walaupun negaraku sudah merdeka berpuluh tahun yang lalu, walaupun kini merekalah yang sebenarnya datang mencari rezeki di tanahairku, namun mereka masih tetap menjadi tuan di bumiku sendiri. Dan aku hanya memandang, mendengar dan mengangguk.. tak mampu melepaskan tekak dan perut yang masih dijajah mereka...

"Behind a successful person of a successful organisation, there must be a team of excellent people. And YOU are one of them.." -Dr. Hara Prasad Padhy-

Monday, March 08, 2004

Indahnya Pertemuan Langit dan Lautan

"Indahnya pertemuan antara langit dan lautan." Macam tu lah kata Abang sewaktu merenung ke laut di pantai Suria Cherating Resort. And I couldn't agree more. Memang terlalu indah pemandangan tu. Ajaibnya, dengan hanya melihat lautan dan langit yang kosong, jiwa menjadi begitu damai. Begitulah besarnya kuasa Allah, jiwa manusia boleh tersentuh hanya dengan melihat ciptaanNya.

Dah lama aku tak tengok laut. Dah lebih setahun, semenjak Mak dan Abah pindah ke Jengka. Alang-alang dah sampai Kuantan, lepas majlis kenduri Fara dan Apai, kami terus ke Cherating. Sengaja kami bawa Raha mengenali pantai dan lautan. Biar Raha belajar mencintai kedamaian.

Sebelum tu, sempat juga aku lalu depan MRSM Kuantan. Masih macam dulu.. melihat bangunan asrama, Dewan Makan, surau, basketball & tennis court, Dewan Besar dan bangunan akademik, terasa masih menebal memori di situ. Zaman remaja tanpa masalah kewangan, tanpa tekanan bekerja, tanpa tanggungjawab sebagai isteri dan emak. Melihat seorang dua pelajar yang sedang berehat² di bawah pokok, aku yakin, tak mungkin mereka sedar betapa mudahnya menjadi pelajar. Sayangnya waktu terus berjalan, manusia tak boleh kembali ke zaman silam. 'Time machine' hanya wujud dalam filem.

Kita sebenarnya tak berpeluang untuk kembali ke waktu lampau dan membetulkan kesilapan kita yang lalu. Kita hanya mampu untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama di masa akan datang. Kalaulah manusia mampu kembali ke masa silam, pasti perkataan 'menyesal', 'minta maaf' dan 'taubat' tiada dalam kamus.

Friday, March 05, 2004

Bagai Tiada Lagi Istilah 'Rehat'

Masuk hari ni, baru 5 hari aku mula kerja semula selepas 2 bulan lebih bercuti. Tapi penatnya bukan kepalang. Abang pun macam tu juga. Dah 3 hari dia demam. Mungkin kami belum dapat menyesuaikan diri dengan rutin sekarang. Rutin baru sebagai emak dan abah Raha.
Kalau dulu, pukul 7 pagi pun belum tentu kami dah bangun tidur. Subuh pun selalu miss. Tapi sekarang, kalau rasa tak mahu bangun pun, dah tentu Raha akan kejutkan kami. Kalau tak pukul 5 pagi, pukul 6 pagi. Menyusu. Lepas solat, aku terus basuh baju. Baju sendiri boleh lah masuk washing machine, baju Raha kena lah aku basuh tangan. Lepas tu kena siapkan pakaian dan barang² Raha untuk dihantar ke rumah Kak Ika. Abang pula siapkan sarapan pagi. Kesian juga tengok Abang. Dulu jarang sekali dia pegang kuali dan sudip. Dulu kamilah pelanggan setia Padang Kota. Dulu hari² kami sarapan roti canai, roti telur, roti sardin dan apa sajalah jenis roti yang mamak tu jual. Dulu hari² kami baca surat khabar sambil bersarapan. Dulu ada saja berita akhbar yang menjadi bahan bebelan aku di kereta dalam perjalanan ke pejabat.
Tapi tu dulu. Sekarang kami dah jadi 'Mat Salleh', bukan tekak 'India' lagi. Sekarang hari² sarapan roti, nugget, frankfurter. Habis tu, dah itu saja yang paling mudah untuk Abang sediakan. Sekarang aku dah tak tau apa berita dalam atau luar negara sebab sekarang aku dah tak beli surat khabar. Parlimen dibubarkan pun aku tak tau, sampai lah aku ternampak tajuk utama akhbar di pejabat. Sekarang sepanjang perjalanan ke pejabat, aku tidur dalam kereta, sebab malam sebelumnya tak cukup tidur.
Di pejabat pula, aku masih terkial² nak mengejar kerja² yang dah lebih 2 bulan aku tinggalkan. Dan masih hangat bercerita tentang Raha pada teman sepejabat atau bergossip perihal pejabat sepanjang ketiadaan aku selama 2 bulan. (Dan masih ada hati juga mengadap weblog ni). Sedar² dah pukul 5.30.
Dulu aku tak kisah kalau Abang sampai lambat. Dulu pukul 7 pun aku masih di pejabat. Dulu lepas kerja terus cari tempat makan, atau merayau di shopping complex. Dulu jarang sekali makan di rumah. Dulu jarang sekali aku memasak. Dulu peti sejuk di rumah tu kosong saja. Kalau ada pun, makanan dan minuman ringan atau ais krim. Dulu sampai rumah terus capai remote control, mengadap peti TV sampai waktu tidur.
Tapi tu dulu. Sekarang pukul 6 petang aku dah panas punggung dan membebel kalau Abang belum sampai. Sekarang aku terus balik ke rumah, tak ada lagi fikir tentang kedai makan atau window shopping. Sekarang sampai saja di rumah, aku terus capai periuk nasi. Sekarang peti sejuk aku dah berisi dengan lauk dan sayur. Sekarang hari² aku memasak. Abang pula akan jaga Raha. Lepas makan malam, Abang dah pandai basuh pinggan dan kumpul baju kotor, giliran aku pula melayan Raha. Lepas tidurkan Raha, gosok baju untuk ke pejabat esok harinya pula. Sedar² dah pukul 1 atau 2 pagi. Baru aku teringat, aku dah terlepas untuk menonton CSI, American Idol atau Roda Impian, maupun Bulletin TV3. Rupanya sekarang aku pun dah terlupa jadual siaran rancangan TV... tapi aku dah terlalu penat pula untuk tengok siaran ulangannya. Aku perlu tidur sebab aku tahu, pukul 3, 4, 5 atau 6 pagi besok Raha pasti akan kejutkan kami..

Thursday, March 04, 2004

Ngadap blogger

Berjam jugak aku ngadap blogger petang nih. Abis laa keje tak siap. Alaa, biasa la,mende baru... Let's see if 2 months from now, aku masih setia menulis.
6.20 pm - balik lah. Rindu Raha.. Mana Abang ni tak sampai lagik..

Baru start

Baru start. Special thanx to Faris Iskandar.