Tuesday, August 31, 2004

Merdeka! (?)

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan buat semua warga Malaysia.

Aku lahir pada tahun 1975, 18 tahun setelah tanahair ini mencapai kemerdekaan. Aku tak pernah tahu bagaimana rasanya hidup di zaman penjajahan Jepun, zaman perjuangan menentang British, zaman ancaman Komunis. Dari apa yang aku dengar, aku baca dan aku tonton, kehidupan ketika itu seolah-olah nyawa di hujung tanduk, saban saat diselubungi ketakutan. Semangat juang yang kental harus dibayar dengan darah atau kepala sendiri.

Setiap tahun, ramai orang bertanya dan ditanya, apakah erti kemerdekaan bagi diri masing²? Ada yang menjawab, bebas ke sana ke mari, tanpa rasa takut pada peluru dan bonet, pada askar² Jepun dan Komunis. Benarkah begitu? Saban hari tersiar di dada akhbar mahupun di kaca TV, jenayah rogol, rompak, ragut, bunuh, samseng di mana² sahaja. Mangsanya tak kira umur atau bangsa. Bebaskah aku?

Ada yang berkata, kemerdekaan bukan sahaja bererti bangsa dan tanahair bebas dari jajahan, tetapi minda dan jiwa juga harus bebas dari dijajah. Namun aku tidak pula menghafal lagu² Ghazal, Keroncong mahupun lenggok tari Inang dan Zapin. Sebaliknya aku lebih selesa mendengar lagu² Rock, R&B atau Pop. Tidak merdeka kah aku?

Aku sebenarnya masih kurang pasti, masih mencari-cari erti 'kemerdekaan' buat diri aku. Namun untuk 29 tahun yang telah aku lalui sebagai warga Malaysia, aku bersyukur kerana aku berpeluang bersekolah, menuntut ilmu, bekerja, berkahwin dan berkeluarga, tanpa iringan letupan bom atau tembakan senapang. Selama aku hidup, aku tak pernah kekurangan beras. Nasi adalah makanan seharianku. Malah banyak ketikanya aku jemu makan nasi, lalu mencari McD, A&W atau KFC. Tidak seperti nenek moyangku di zaman sebelum merdeka yang terpaksa makan ubi rebus kerana ketiadaan beras. Kini, setelah 47 tahun merdeka, ubi rebus pun susah nak cari.

Bila ya kali terakhir aku makan ubi rebus? Eh, sedap pulak kalau dapat ubi rebus cicah sambal tumis ikan bilis, kena pulak dengan kopi panas...

Friday, August 20, 2004

Kata Asmah

Dalam minggu ni saja, entah berapa kali aku dapat email yang sama tentang Siti Nurhaliza. Sejauh mana kebenaran email yang ditulis oleh Asmah (bukan nama sebenar) tu, Tuhan saja yang tahu.

Aku percaya lebih separuh rakyat Malaysia yang ada email, yang celik IT, dah baca email tu. Ada yang kata ianya sekadar gossip untuk menjatuhkan nama baik Siti. Ada yang kata ianya bertujuan mensabotaj konsert Siti Fantasia Tour. Tak kurang juga yang percaya bulat², maklum lah sejak dulu memang dah jaki dengan insan yang di beri gelaran diva tu. Bagi peminat² fanatik pulak, dah tentu menolak mentah² dan menganggap email itu sebagai fitnah.

Aku bukan peminat fanatik Siti Nurhaliza. Aku tak pernah menyertai fanclub Siti Nurhaliza. Aku juga belum pernah pergi mana² konsert Siti. Lagu² Siti pun aku tak hafal. Album terbaru Siti Nurhaliza pun aku belum beli. Apa yang aku nak kata, aku sekadar mengkagumi suara dan bakat Siti, bukan peminat fanatik Siti. Jadi bukan niat aku nak membela Siti Nurhaliza. Lagipun Siti tak kenal siapa aku. Kalau aku bela dia pun, aku takkan dapat walau 1% pun dari income Siti. Namun aku sekadar ingin berkongsi pendapat dengan sesiapa sahaja yang sudi berkongsi.

Kata Asmah, Siti makan telur dalam jamban, tak tau lah, aku tak pernah tengok dengan mata aku sendiri. Asmah tu mungkin pernah tengok agaknya, sebab tu dia berani tulis. Aku juga tak pernah nampak Siti bersama Ramli MS, jadi aku tak boleh lah nak percaya sepenuhnya. Asmah tu pun tak pernah tengok sebenarnya, sebab dia pun tulis 'kami dengar'. Tak tahulah pula Asmah dengar dari siapa, sebab dia tak tulis. Tentang merokok pula, kata Asmah, Nurul si make-up artist yang beritahu orang. Diulangi, Nurul beritahu orang, Asmah tak cakap pula yang Nurul tu sendiri beritahu dia yang Siti merokok. Katanya semua yang rapat dengan Siti tau tentang tu, tapi Asmah tak kata pula yang dia rapat dengan Siti, atau dengan mereka yang rapat dengan Siti. Begitu juga dengan cerita botox, mandi bunga dan asap kemenyan. Mungkin Asmah kebetulan bercuti di Indonesia dan dia ternampak Kris Dayanti bawa Siti buat semua tu.

Yang aku pasti kebenarannya cumalah satu perkara - Siti taruh mata biru, hijau dan hazel. Yang tu satu Malaysia, Brunei dan Indonesia pun tau sebab boleh nampak di TV dan majalah. Tapi tak patutlah Asmah kata Siti tu dahi senduk, muka penyek dan tak ada orang nak tengok. Mungkin wajah Asmah cantik rupawan, tapi janganlah menghina wajah orang lain kerana itu kan pemberian Tuhan. Lagipun wajah yang Asmah kata penyek dan berdahi senduk tu juga yang lebih popular dari wajah Asmah.

Kata Asmah, kawan²nya dari Astro mengikut konsert Siti, apakah ini bermakna Asmah tidak ikut? Kalau Asmah tak ikut, maknanya kesemua cerita sepanjang konsert tu bukanlah Asmah sendiri alami, sebaliknya Asmah dengar dari kawan²nya. Prihatin sungguh Asmah pada sahabat²nya sehingga sanggup meluangkan masa menulis pada Kuseman @ Siti Jarum untuk meluahkan ketidakpuasan hati kawan²nya.

Kata Asmah, Siti menghalau seseorang dari bas istimewanya kerana Siti tak mahu orang itu berada dalam bas bersamanya. Tapi Asmah tak bagitau kenapa Siti tak suka orang tu. Mungkin Asmah sendiri tak tau, sebab Asmah tak naik bas tu. Kita semua pun tak tau, mungkin orang tu ada buat sesuatu yang tidak baik pada Siti. Mungkin ada orang lain yang halau, tapi dia kata Siti yang tak suka dan Siti yang suruh halau. Mungkin.

Kata Asmah, di Johor, Siti menghampakan peminat bila dia tidak hadir untuk makan durian dengan alasan penat dan malas. Mungkin betul Siti penat. Ye lah nak buat konsert tu, bukan boleh terus naik atas pentas menyanyi. Mungkin Asmah lupa, Siti kena berlatih menyanyi dan menari. Kena duduk berjam² untuk di make-up. Kan penat tu. Tak make-up nanti Asmah kata muka Siti macam 'orang toreh getah penyek' pula. Orang yang bekerja 8 jam di pejabat pun kadang² terpaksa menolak pelawaan orang kerana penat dan malas. Lagipun Siti bukan ada banyak masa untuk pergi tengok wayang atau menulis email panjang² macam Asmah. Jadi mungkin bila ada kesempatan sedikit ruang masa untuk berehat, maka Siti nak berehat. Mungkin.

Kata Asmah, Siti tak menyanyi FREE, Siti dibayar. Asmah keliru agaknya. Yang dimaksudkan FREE ialah, kalau Asmah nak pergi tengok Siti menyanyi, Asmah tak payah bayar tiket, Asmah boleh tengok FREE! Memanglah Siti menyanyi tu dibayar. Kalau Asmah sendiri pun kena ke hulu ke hilir menyanyi di 15 konsert, takkan Asmah nak pergi FREE saja. Siapa pula nak bayar duit sewa bas, petrol, make-up artist, back-up dancer, makan minum semua tu?

Kata Asmah, mereka yang bertungkus-lumus bekerja tu, Siti tak pernah jemput minum walau segelas air tawar. Sekali lagi Asmah terlupa agaknya, Siti juga turut bertungkus-lumus menjayakan konsert tersebut, bukan Asmah dan kawan²nya saja. Ayi abang Siti pun takkan lah duduk goyang kaki saja. Masing² pastilah ada tugasan sendiri. Mungkin Siti pun tak tau kat mana air tawar tu, dia nak minum pun kena mintak kat orang, macamana nak jemput orang minum? Kalau dia sibuk² suruh orang ambilkan air untuk krew, nanti tukang handle air pula yang marah. Kalau Asmah tukang buat air, mungkin email Asmah berbunyi begini pula, "Eh Siti nih, aku tau lah keje aku, dia lak nak mengarah² aku buat air. Kerja kau menyanyi, menyanyi aje lah. Tu nak tunjuk baik tak bertempat lah tu". Mungkin begitulah.

Asmah kata Siti cemburu dengan Misha. Hairan juga, kalau betul Siti cemburu dengan Misha sekalipun, takkan Siti nak beritahu Asmah. Jadi, dari mana Asmah tahu?

Asmah kata Siti dan keluarganya kena belajar PR, kena belajar berbudi-bahasa. Tapi Asmah sendiri bagaikan kurang bahasa dalam emailnya. Macam² Asmah labelkan Siti dan keluarganya - bangsat dari Lipis, puaka jelmaan bela hantu, muka penyek, dahi jendul, anak raja dari Brunei, Binatang dari Ulu Lipis, kaduk naik junjung, lapar duit, mata duitan yang tak ada kelas, bertuhankan duit, senduk penyek berlagak nak jadi puteri, dan macam-macam lagi perkataan yang biasanya tidak digunakan oleh orang cukup bahasa. Mungkin Asmah terlebih bahasa, sebab tu Asmah pandai cipta banyak jenis perumpamaan.

Tapi Asmah juga kata Siti juga punya perasaan macam orang lain juga. Maknanya Asmah pun akui Siti punya perasaan seperti Asmah, seperti aku juga. Macamana agaknya perasaan Asmah kalau orang tulis email menyebarkan tentang keburukan Asmah dan dibaca pula oleh hampir seluruh rakyat Malaysia. Mungkin Asmah tak kisah kerana orang tak kenal Asmah. Lagipun Asmah tak pakai nama sebenar. Asmah tau, orang lain takkan tau apa keburukan Asmah, tak dapat lah orang membuka pekung di dada Asmah.

Banyak lagi yang Asmah kata. Tak larat aku nak ulas semua. Lagipun aku bukan bertujuan membela Siti. Cuma aku hairan dengan Asmah. Kalau Asmah rasa dia menceritakan kebenaran, kenapa Asmah tak guna sahaja nama sebenar? Mungkin Asmah takut kehilangan kerja di Astro kerana Asmah mungkin tidak semewah Siti. Walau macamanapun, Asmah sekarang dah popular. Walaupun tak sepopular Siti Nurhaliza, Asmah mungkin sudah sepopular Siti Jarum dalam masa tak sampai pun seminggu. Mula-mula aku nak ucapkan tahniah pada Asmah sebab dah popular, tapi tak jadi pula. Sebaliknya aku simpati pada Asmah, kerana semakin berkembang email Asmah, semakin berkembang dosa Asmah. Kalau tidak dosa memfitnah, dosa mengumpat, membuka keaiban orang atau dosa menghasut.

Kan bagus kalau kebolehan menulis tu Asmah gunakan untuk menulis perkara² yang baik. Aku sendiri pun mungkin berkongsi dosa kerana menulis tentang email Asmah. Namun aku harap tulisan aku tidak mengundang perkara negatif pada yang membaca. Cuma suatu masa dulu aku pernah ditegur oleh seorang teman apabila aku memforwardkan email² sebegini di internet. Sampai sekarang aku masih ingat teguran itu (terima kasih Intan). Kini aku ingin berkongsi nasihat Intan disini.

Lebih kurang begini kata Intan, dosa dengan Tuhan boleh kita bertaubat dan minta ampun, tapi dosa sesama manusia? Yang berbuat dosa tu, dah tentu dosanya dengan Tuhan, jika dia minta ampun dan bertaubat, lalu Tuhan ampunkan dosanya, maka terhapuslah dosanya, lepas lah dia dari segala dosa dan hukuman. Apa pula ceritanya dengan kita yang menyebarkan email ni? Bukan kah sama dosanya dengan menyebarkan keaiban orang lain? Bukankah dalam agama kita seharusnya menutup aib orang lain? Dan andainya yang empunya diri tidak memaafkan kita, mampukah kita mencarinya di Mahsyar kelak untuk meminta ampun?

Aku bukanlah orang yang layak untuk bersyarah tentang dosa dan pahala. Cuma, yang mana baik dan boleh diterima, terimalah dengan hati dan fikiran terbuka. Yang mana tersilap dan melukakan hati, aku pohon kemaafan.

Resah Pagi

Satu email yang aku terima pagi ini benar² mengundang resah hati. Meski ia bukanlah kisah aku mahupun sesiapa yang aku kenali, namun aku kira ia bisa berlaku pada sesiapa sahaja. Sebelum berkahwin aku tidak pernah terfikir hanya dengan membaca email sebegitu, aku boleh menjadi begitu tersentuh dan begitu takut.

Betapa aku rasa berdosa. Betapa aku takut balasan Tuhan padaku kelak. Terasa begitu berat tanggungjawab yang tergalas di bahu ini. Terasa begitu sedikit yang telah aku lakukan sebagai isteri. Terasa bagaikan aku tidak menghargai dan tidak mensyukuri anugerah Tuhan. Terasa begitu lemah melawan dugaan dan godaan.

Andai dengan berterus-terang bisa melukakan perasaan, andai kebenaran mungkin membawa kehancuran, lalu bagaimana bisa kupohon keampunan?

Sunday, August 15, 2004

MACAM-MACAM ADAAA…

Disebabkan terlalu sibuk minggu lepas, aku tak sempat buat entry bertajuk ‘Selepas Konsert-9 AF2’, walaupun sebenarnya macam-macam aku nak tulis, especially tentang AFMASUK dan Linda. Memandangkan konsert akhir dah pun berakhir, maka aku skip ajelah topik tu. Cuma yang sedihnya (sedih dengan diri sendiri lah), aku terpedaya juga dek permainan emosi Astro. Walaupun setakat minggu lepas, status AFUNDI aku kekal kosong, namun banyak juga aku hantar AFMASUK. Sampai tak sempat kira. Bukan setakat untuk aku, Ana yang dah habis kredit tu pun minta tumpang hantarkan AFMASUK untuk dia. Siap marathon pula, aku tertidur - dia SMS, dia tertidur - aku SMS. Setelah operasi AMASUK ZARINA kami gagal, barulah nak menyesal. Namun yang menyebabkan aku rasa macam orang bodoh sangat, bila hari Rabu malam Khamis, pukul 12 malam, baru aku dapat 68 reply dari Astro untuk AFMASUK aku. Amboi, makan masa sampai 3 hari baru SMS aku nak sampai? 68 x RM 0.65 = RM 44.20. Itu yang masuk lambat. Yang dah masuk, berapa pula? Padan muka aku.


Selepas Konsert Akhir AF2

Sebelum Konsert Akhir bermula, pilihan aku untuk tempat pertama, ke-2 dan ke-3 adalah Zahid, Farah dan Kaer. Walaupun melihatkan peratusan undi semasa, aku kurang yakin Farah dan Kaer akan menduduki 3 tangga teratas, namun aku tetap berhasrat memberikan 3 AFUNDI untuk Zahid, 2 untuk Farah, dan 1 untuk Kaer. Cukuplah tu, bukan untuk mengkayakan lagi Astro, sekadar penghargaan buat mereka kerana menghiburkan aku selama 10 minggu yang lepas.

Tapi pada pagi Jumaat, aku dapat SMS dari Celcom , aku dah over limit, mesti bayar bil sebelum pukul 4.30 petang untuk mengelakkan pemotongan. Mesti over limit sebab AFMASUK hari tu lah. Cis! Aku bayar lah melalui Maybank2U hari Jumaat tu juga. Tapi pagi Sabtu, handphone aku tetap kena bar. Bagus juga, selamat aku dari terlebih AFUNDI kot. Aku minta ajelah kredit Ana sikit. Disebabkan kredit Ana pun tinggal 2 ringgit lebih je, aku cuma dapat menumpang 1 AFUNDI saja untuk Zahid sorang. Ok lah tu.
Status AFUNDI – 1 untuk Zahid
Status AFMASUK – baaaanyaaaak untuk Zarina.

Akhirnya Zahid dinobatkan Juara AF2. Walaupun aku sendiri kurang setuju Linda diserap semula, apatah lagi menjadi naib juara, namun aku lebih tidak bersetuju dengan perbuatan sesetengah penonton yang boo Linda tu. Bukan salah Linda wujudnya AFMASUK. Bukan Linda yang mengundi diri dia sendiri sehingga diserapkan semula ke akademi. Bukan dia juga yang mengAFUNDI dirinya sendiri sehingga menjadi naib juara. Kenapa pula dia yang di boo? Boo lah Astro atau pengundi2 Linda. Begitu juga dengan kedudukan Adam. Kalau ikut penilaian aku yang tak professional ni, jangan kata tempat ke-3, masuk final pun aku tak setuju. Tapi kalau dah memang rezeki mereka, biarlah. Terbukti peminat mereka lebih banyak duit untuk dibazirkan berbanding peminat-peminat Farah, Kaer, Bob dan pelajar-pelajar lain.

Gelihati juga bila aku baca di sana-sini ramai yang melenting-lenting tak puas hati dengan keputusan Konsert Akhir. Aku pun ada juga tak puas hati masa mula-mula diumumkan AFMASUK. Namun, bak kata Y dalam blognya Yati@Home, buat apalah nak naikkan tekanan darah sendiri dengan marah-marah. Akademi Fantasia tu kan hiburan semata-mata. Banyak lagi perkara lain di dunia yang boleh kita protes. Penat je melenting sana-sini, bergegar-gegar blog dan website mengutuk Astro dan pelajar-pelajar yang tak disukai, yang kaya Astro dan Maxis juga. Yang popular dan bergelar bintang, pelajar-pelajar AF tu juga. Yang kena bayar bil telefon, yang melenting-lenting tu jugalah.

Kini AF dah tamat. Sekalung tahniah buat kesemua pelajar AF2 - Zahid, Linda, Adam, Farah, Bob, Kaer, Mas, Nurul, Zarina, Anding, Fitri dan Edlin. Tamat sudah perjuangan di akademi, bermulalah perjuangan mereka di industri hiburan sebenar. Semoga mereka serius berkarya setelah memilih untuk meniti jalan sebagai penghibur. Mereka semua adalah anak bangsaku, mereka adalah generasi pelapis bagi penghibur yang ada sekarang. Apa yang aku harapkan, bintang-bintang yang baru bersinar ini bukan sekadar bintang yang diselubungi gelap malam. Bukan sekadar menghiasi kaca TV dan dada majalah dengan pakaian tidak cukup kain dan benang, atau dengan gossip hangat percintaan dengan si polan, hubungan sulit dengan Datuk atau Tan Sri berkenaan, ditangkap basah, ditangkap memandu dalam keadaan mabuk, ditahan reman kerana memiliki ganja atau memiliki kereta curi, dan sebagainya. Aku juga berharap sifat rendah diri mereka hari ini tidak berubah menjadi sombong dan bongkak hanya kerana tepukan gemuruh, flash kamera, huluran salam dan autograph yang bakal mereka terima di luar sana. Tinggi harapan aku untuk melihat industri ini dihiasi bintang-bintang yang bukan sahaja berbakat, malah memiliki personaliti dan pekerti yang disanjungi.


AMTY

Ahli Mesyuarat Tingkap Yati@Home. Akhirnya Jumaat lalu, aku bertemu Screwloose, Uncute, Watie dan Xmen. Masing-masing macam dah lama kenal. Mungkin kerana umur yang lebih kurang sebaya, serta suka dan tak suka perkara yang sama, maka 4 jam berborak pun tak perasan. Dari Akademi Fantasia ke tingkap Yati@Home, ke Siam Kitchen, ke Secret Recipe. Aku gembira kerana berpeluang mengenali kalian semua.


Kamera Baru

Hari Jumaat tu juga, lepas jumpa AMTY, kebetulan ada Digital Camera Fare di Midvalley. Mula-mula memang aku dengan Abang ingat nak survey je. Sekali bila dah pegang-pegang, dah testing, tak tahan lah pulak. Abang pandang aku, aku pandang Abang, aku tengok dia macam nak aje. Mesti dia tengok muka aku pun sama je. Finally kitorang sambar juga Nikon Coolpix 4100 tu. Maka kini aku pun dah ada Digital Camera, yeyyy!! Lepas ni tak payah lah aku susah-susah scan gambar lagi. Apa aku nak buat dengan kamera lama tu ek?

Wednesday, August 04, 2004

Mengeluh Lagi?

Dah lebih seminggu Raha asyik berhingus. Ni dah 2-3 hari batuk pulak. Tidur malam pun tak lena. Asyik merengek aje. Kesian aku tengok. Ubat dah bagi dah. Baiknya tak juga. Hari tu pergi klinik, doktor kata tak perlu antibiotik. Doktor ni betul ke tidak? Lepas pegi klinik makin teruk jek batuk dia. Ke sebab ubat tu ubat murah? Ye lah, aku pegi klinik biasa aje. Bukan klinik pakar. Sekali rawatan RM25. Miskinnya aku. Cik Ika tu lagi loaded, kalau anak dia demam terus pergi Pakar Kanak-kanak. Sekali rawatan RM50-RM60. Ye la, kalau tak okee jugak 2-3 hari ni, aku bawak lah Raha pergi Klinik Pakar.

Tapi yang bestnya, bila Raha merengek-rengek tu, dia mesti panggil “Maaakk… maak”. Barulah ni aku dengar dia panggil ‘Mak’. Happynya aku. Kalau tak asyik panggil ‘Abah’ jek. Anak abah lah tu. Aku garang kot?. Tapi bila dia merengek aje lah baru dia nak panggil aku. Bila dia okee, dia mesti panggil “Abah.. abah..”. Nak geng ngan abah jek. Takpe dia. Nanti aku bagi dia adik, biar adik dia geng ngan aku, baru dia tau. Cheh, ugut pulak.

Hari ni aku pulak yang macam nak demam. Sejuk semacam jek. Badan lemah aje. Gigi pun rasa ngilu aje. Besok Pengarah nak balik opis, hari nilah baru nak demam. Kalau aku tak datang besok, mesti Pengarah ingat aku saja je malas datang kerja sebab taknak jumpa dia. Dia kalau balik mesti lapan belas kali panggil aku. Kalau panggil tu nak bagi souvenir dia beli dari overseas takpe lah jugak. Ni panggil sebab nak bagi kerja berbakul-bakul. Agaknya sebab tau nak dapat kerja menimbun ni lah aku demam kot.

Sebenarnya aku dah bosan kerja kat sini. Bukan kat sini je, kat mana-mana pun. Aku dah bosan makan gaji. Gaji seciput. Lagi sakit hati bila aku tengok gaji Pengarah tu. Aku bukan dengki kat dia. Err.. dengki lah jugak. Tapi kalau bab gaji kitorang ni, dia berkira sangat. Bosannya.

Tapi, apakan daya, bosan-bosan pun, aku belum mampu berhenti kerja. Shared income pun tak cukup, kalau berhenti sapa pulak nak tolong Abang cover semua expenses. Aku sebenarnya nak sangat duduk rumah. Aku tau duduk rumah tu bukannya boleh relax pun, mungkin lebih penat dari kerja ofis. Tapi sekurang-kurangnya aku puas hati, dapat jaga rumah, dapat jaga sendiri Raha. Raha pun aku tengok bukan main kamcing lagi dengan Cik Ika. Pagi-pagi kalau aku hantar dia pada Cik Ika, macam tak sabar-sabar nak mintak Cik Ika dukung dia. Jealous pun ada. Bersyukur pun ada sebab dapat babysitter baik macam tu.

Aku ni asyik mengeluh aje. Tak reti-reti nak bersyukur. Isk isk..

Monday, August 02, 2004

Selepas Konsert-8 AF2

Aku pun tak pasti AF ni pertandingan apa sebenarnya. Pertandingan bakat? Pertandingan personaliti? Pertandingan pakej sempurna? Pertandingan populariti? Pertandingan meraih simpati? Semuanya tak tepat. Mungkin yang paling tepat - pertandingan penyokong siapa paling tak sayang duit.

Aku pun dah tak kisah sebenarnya siapa yang tersingkir dan siapa yang kekal. Nama pun Akademi Fantasia. Bukan Akademi Realiti. Dalam dunia fantasi, yang menyanyi sumbang pun boleh digelar DIVA.

Aku masih tetap menonton. Itulah bentuk sokongan aku kepada AF. Andai ada antara mereka menghasilkan album kelak, aku dah tahu album siapa yang akan aku beli dan album siapa yang tak akan aku sentuh pun.

Selepas Konsert 8, aku mendoakan semoga Zahid, Bob, Farah dan Kaer mara sebagai finalis. Lagi sorang tu aku tak peduli lah sapa pun.
Status AFUNDI - KOSONG.