Sunday, January 30, 2005

Kari 'Recycle'

Beberapa malam yang lepas aku tiba² terasa macam nak makan roti canai. Jangan salah sangka pulak, aku bukannya mengidam. Cuma semenjak jadi Manager Rumah ni, aku dah lama tak sarapan di luar. Tiap² hari bangun pagi buat sarapan lah. Pemalas bebenor kalau dah dok rumah pun nak sarapan kat luar jugak. Jadi dah lama juga lah aku tak pekena roti canai mamak Khalifah tu.

Kebetulan malam tu Abang ada meeting dengan seorang kawan. Memandangkan kami tak ada pejabat, maka Restoran Khalifah tu lah yang selalunya kami jadikan bilik mesyuarat. Jadi aku pun dengan gaya mamak sejati berpesan pada Abang "Roti canai satu! Garing punya, wokeh!"

Takdelah sedap sangat pun roti canai dia. Biasa je. Sedap lagi roti canai yang mak mertua aku buat sendiri. Tapi disebabkan aku makan sambil menonton Friends entah untuk ke berapa kalinya, habis jugalah roti canai tu. Alah, bukan besar sangat pun sekeping tu. Masa makan, tak ada pulak aku terasa apa² yang tak kena pada kuah kari tu. Lepas habis makan, aku basuh tangan, tutup TV dan terus masuk tidur dengan bau kari masih lagi melekat di jari-jemariku.

Besok paginya, bila bangun dari tidur aku rasa perut aku semacam. Badan pun rasa tak sedap aje. Aku tak ada mood nak sediakan sarapan pun. Makan roti ajelah Abang pagi tu. Puas aku berguling² atas katil dengan harapan dapat membetulkan urat² perut. Dan tak lama selepas tu, maka bermulalah acara berlumba² ke bilik air.

Seharian aku cirit-birit. Mula² aku fikir disebabkan daging goreng halia yang aku masak semalam. Tapi bila aku tanya Abang, dia okay je. Kebetulan Ana pun makan sekali hari sebelum tu. Bila aku tanya Ana, dia pun okay aje. Dan satu²nya makanan yang aku makan tapi diorang tak makan ialah roti canai mamak tu. Sah lah roti canai dan kuah kari menjadi penyebabnya.

Aku selalu juga dengar orang kata tentang restoran mamak yang suka recycle kari hari semalamnya, dicampur dengan kari hari ni. Jangan kata semalam, entah² kari minggu lepas pun ada campur sekali. Cis! Cinnabon punya mamak. Bukan banyak pun aku makan kari tu. Takde lah sampai menghirup kuah. Setakat buat cicah roti canai tu aje. Lagipun aku ni bukannya jenis yang suka makan roti canai banjir. Tapi penangannya, sampai seharian aku sakit perut, tak mampu buat satu kerja pun.

Aduh laa mamak, ini macam kalu, lain kali saya tada mari juga!

Saturday, January 29, 2005

Al-Fatihah buat Shah

Semalam aku terima berita, Shah telah kembali ke Rahmatullah. Arwah dijemput mengadap Illahi disaat menunggang motor pulang dari solat Jumaat. Tersentap aku seketika.

Shah adalah seorang teman di bangku sekolah. Walau tidak pernah berbicara sesama sendiri sewaktu di sekolah, namun takdir menemukan kami semula kira² 5 tahun lalu, lantas takdir juga membuka ruang untuk kami bertempat di hati satu sama lain. Kami hampir mendirikan masjid. Malah aku telahpun menemui kedua orang tua Shah. Namun takdir juga telah menetapkan tiada jodoh antara kami. Meski saat itu hatiku amat terluka, namun aku pasrah atas ketentuan Illahi. Aku redha Shah kembali ke pangkuan bekas kekasihnya.

Aku lalui hari² seterusnya dengan sulaman airmata, berita majlis perkahwinan Shah lebih meruntun jiwa, namun ku gagahi langkah meneruskan kehidupan, ku cari kekuatan demi kekuatan sehingga setahun kemudian aku bertemu Abang, segala kepahitan berlalu dengan kisah cinta baru. Allah lebih berkuasa dan lebih mengetahui siapakah sebenarnya pasangan yang paling sesuai buat hambaNya.

Meski aku tidak pernah bertanya² lagi berita tentang Shah, namun aku tak pernah sama sekali menduga akan menerima khabar tentang 'pemergiannya'. Sedih? Tidak. Aku tidak bersedih. Aku kira sebagai isteri, tidak wajar untuk aku bersedih atas pemergian bekas kekasih. Namun aku akui ia satu kejutan buatku. Aku diberitahu Shah baru saja menimang cahayamata. Sayu hatiku bila mengenangkan bayi kecil yang belum sempat memahatkan wajah ayahanda di hatinya. Simpati mengingatkan isterinya yang masih muda dan pastinya amat memerlukan Shah di sampingnya.

Shah seorang yang baik. Yang paling aku pasti, Shah sangat taat pada ibunya. Semoga Allah mencucuri rahmat buat arwah Shah. Semoga Allah berikan kekuatan buat isteri Shah meneruskan kehidupan.

Akhir² ini aku sering mendengar dan membaca berita tentang kematian. Benarlah setiap kematian itu menimbulkan keinsafan. Shah dan aku sebaya. Sememangnya ajal tidak mengenal usia. Saat aku sedang menulis ini pun, berkemungkinan Allah mengutuskan Izrael menjemputku mengadapNya. Bersediakah aku? Cukupkah amalanku untuk mengimbangi segala dosa² ku? Rasanya aku sangat jauh dari bersedia. Sangat² jauh.

Thursday, January 20, 2005

Salam Aidil Adha

Selamat Hari Raya Aidil Adha buat semua sahabat. Semoga sempena Aidil Adha kali ini, kita semua diberi keberkatan serta keinsafan, dan semoga kita diberi petunjuk untuk lebih menghayati istilah 'korban'.

KORBAN. Pendek. Mudah sahaja bunyinya bukan? Namun semudah itukah perlaksanaannya? Korban itu sendiri seharusnya mengingatkan kita kepada peristiwa Nabi Ibrahim A.S. yang diuji Allah dengan perintah agar mengorbankan satu-satunya darah daging baginda, Nabi Ismail A.S. Begitu besar kasih seorang ayah terhadap anak yang dinanti kelahirannya sejak berpuluh tahun, besar lagi cinta Nabi Ibrahim A.S pada Penciptanya, maka hatinya redha dan pasrah atas perintah Illahi. Begitu tebal keimanan Siti Hajar, maka sanggup dikorbankan nalurinya sebagai ibu, merelakan anak yang dikandungnya dengan bersusah-payah selama sembilan bulan, harus terkorban di tangan suami sendiri. Begitu teguh pula ketaqwaan seorang anak, dengan rela hati Nabi Ismail A.S. akur untuk menjadi korban demi perintah Yang Maha Esa.

Seperti yang kita tahu, Allah akhirnya menggantikan seekor kibas menjadi ganti Nabi Ismail A.S sebagai ganjaran ketaatan mereka. Namun perlu kita ingat, bahawa mereka telahpun bersedia untuk berkorban jiwa dan raga tanpa sedikit pun mengetahui akan ganjaran Allah itu.

Hari ini, andaikata begitulah tahap keimanan kita diuji, mampukah kita membuat pengorbanan sedemikian rupa? Aku sendiri akui, amat sukar untuk aku menjawab. Ternyata iman masih teralu nipis umpama sehelai rambut.

Sebagai umat Islam, apakah kita benar-benar sanggup sepenuh hati untuk berkorban demi agama, demi perintah Allah? Mengorbankan seekor kambing mahupun lembu setiap tahun mungkin tiada masalahnya bagi kebanyakan umat Islam, terutamanya bagi mereka yang berada. Namun adakah pengorbanan yang dilakukan demi kerana Allah, demi mendapat keredhaan-Nya, atau adakah kerana ia telah menjadi 'tradisi' setiap kali menjelangnya Aidil Adha? Tepuk dada, tanyalah iman. Semoga korban kita tidak menjadikan kita riak, riak pada manusia lain dengan menunjuk-nunjuk dan menggembar-gemburkan betapa kita melakukan korban setiap tahun, mahupun riak kepada Allah dengan merasakan pengorbanan kita itu cukup untuk membuktikan kekuatan iman kita.

Monday, January 17, 2005

Sumie Bertemu Babun!

Baru saja beberapa hari lepas aku baca posting Y tentang golongan kurang ajar di Malaysia yang Y gelarkan BABUN. Kebetulan pula semalam aku berjumpa dengan salah seekor babun ni. Ketika tu, aku, Abang dan Raha baru je habis shopping. Masa nak sampai dekat kereta, aku nampak seekor babun betina ni sedang menyorong satu troli kosong, dan dengan selambanya dia 'parking' troli tu depan kereta kami. Amboi.. amboi.. dia ingat cantik sangat ke muka dia? Otak dia letak kat bontot ke apa? Dia ingat kereta aku tu kereta kebal ke? Atau dia fikir troli tu invisible? Ke kaki dia tu diserang untut sampai tak boleh nak sorong troli tu ke tempat yang dah disediakan pihak pasaraya? Atau si babun ni terlalu bangang sehingga tak tau dimana troli sepatutnya diletakkan? Atau mungkin baru keluar dari hutan belantara sehingga tak tahu membezakan antara tempat letak kereta dengan tempat letak troli?

Aku perasan ada lagi 2 troli lain di depan kereta aku. Bermakna, sebelum si babun betina tu, ada 2 ekor lagi babun lain yang dah letakkan troli mereka di situ. Yang 2 babun tak berotak tu aku tak nampaklah, tapi si babun betina ni depan-depan mata kitorang pun dia boleh buat perangai tak bertamadun tu!

Yang aku bengang sangat tu, dia dah nampak kitorang datang dekat kereta, tapi dia terus jugak tinggalkan troli dia di situ dan berlenggang kangkung menghala ke kereta dia. Darah aku terus menggelegak masa tu. Kalau di rebus babun tu dengan darah aku yang tengah panas tu, memang akan cukup empuk daging babun tu untuk dijamu pada babun-babun lain. Aku pandang si babun betina tu dengan pandangan yang lebih menggerunkan dari pandangan mata Pontianak Harum Sundal Malam. Aku tundingkan telunjuk aku straight pada troli tu, kemudian aku tunding pula jari aku pada babun betina tu. Korang bayangkan Maya Karin menunding jari pada korang sambil berkata "Pulangkaaan.. pulangkaan...". Macam tu jugalah aku. Cuma bezanya, skrip aku mungkin berbunyi "Pulangkaaan.. pulangkaaan troli tu kat tempat yang sepatutnya!!"

Jarak antara kitorang dengan babun tu rasanya dalam 25 meter. Walaupun babun tu tengok aku macam takut-takut aje, tapi dia tak pula berpatah balik untuk ambil semula troli dia, sebaliknya dia seolah-olah nak cakap kat kitorang "Alaa memang dah ada troli lain kat situ". Bahalul, kalau orang lain jadi babun, ko pun nak jadi babun jugak ke? Yang lain tu ambil kesempatan masa kitorang tak ada. Yang ko tu, berbelas kali ganda tak beradab, depan-depan mata pun boleh kurang ajar.

Ikutkan hati aku hendak je aku sorong troli tu balik letak depan kereta dia pula. Terasa ringan aje mulut aku nak memaki hamun, tapi aku cuba kawal juga amarah, cuba untuk tidak menjadi seekor lagi babun dan menambah spesis mereka di mukabumi Malaysia ni. Namun aku tetap memberi jelingan paling tajam pada babun betina tu tatkala dia berlalu dengan keretanya. Yang hairannya, satu keluarga dalam kereta tu buat muka tak bersalah, buat tak tau aje bila nampak Abang sorong troli-troli tu ke tepi. Memang dasar keluarga babun! Keluarga macam ni cuma ada duit untuk bershopping semata-mata, tapi tak ada duit nak hantar ahli keluarga ke sekolah untuk belajar. Sebab itu lah spesis mereka tu 'kurang ajar'.

Kewujudan spesis babun kurang ajar ni sebenarnya memberi kesan negatif pada masyarakat Malaysia keseluruhannya. Mereka bukan saja mencemar jiwa-jiwa yang damai macam aku ni, malah menambah jumlah pesakit-pesakit darah tinggi akibat marah terhadap sikap kurang ajar mereka. Selain tu mereka juga sekadar memberi imej buruk pada masyarakat timur yang sepatutnya beradab dan penuh dengan sopan santun. Lebih merbahaya lagi, spesis ni membawa jangkitan kepada orang lain, contohnya, menyebabkan orang yang sopan santun seperti aku menjadi kurang sopan apabila marah terhadap mereka hingga melabelkan mereka sebagi babun. Spesis macam ni patut ditembak aje macam kita tembak gagak tu!

Sunday, January 16, 2005

Biru lah pulak

Saja aje tukar. Dulu aku pakai warna kuning sebab ada satu kuiz tu kata blog ni sesuai dengan warna kuning. Tapi aku dah bosan pulak dengan warna kuning tu. Tengok kawan² lain sibuk renovate 'rumah' masing², aku pun nak juga buat² sibuk sempena Raya Haji ni.

Aku dah tukar tajuk blog ni juga, menjadi 'Sumie di Rumah'. Kat atas tu memang gambar sebahagian dari rumah aku pun. Jangan marah ye Y, aku Bahasa Malaysia kan nama lama blog kau. Lagipun tahun ni kau pun dah tak 'at home' lagi. Biarlah aku ambil alih pulak.

Sunday, January 09, 2005

Sampah-sarap Hidup Aku

Secara rasminya dah lebih kurang seminggu aku memegang jawatan sebagai Director, Manager, Accounts Executive, 'Sexytary', Clerk, Tea Lady dan Cleaner di 'office baru' aku. Amboi gila kuasanya aku. Semua jawatan aku nak pegang. Habis tu apa jawatan Abang ya? Tak apalah, aku bagi dia 2 jawatan penting - Sales Manager cum Office Boy.

Selama seminggu yang lepas, rasanya jawatan aku sebagai Cleanerlah yang memainkan peranan paling penting. Dari ruang tamu ke bilik tidur, ke bilik air, ke stor hingga ke dapur, segala sawang dan habuk aku bersihkan. Entah berapa banyak plastik sampah, kain buruk dan tisu dapur yang menjadi korban. Meski resdung ku menjadi² akibat sensitif dengan habuk, namun kuteruskan jua tanggungjawab ku sebagai seorang Cleaner yang berdedikasi. Tak sangka rumah yang kecik ni pun memakan masa berhari² untuk 'dibersihkan'. Nampak sangatlah selama ni aku mengemas cuma secara ala kadar sahaja.

Manakala hampir separuh dari barang² dalam rumah telahpun aku buang atau berikan pada orang lain. Habis seluruh stor aku geledah, entah apa² barang aku jumpa. Jam tangan lama lah, kotak² kosong lah, bola golf pun ada, padahal aku dan Abang bukan main golf pun. Klip rambut, cekak rambut dari zaman aku belum bertudung dulu, dah berkarat² pun aku simpan juga. Anting² plastik, gelang dan rantai yang bermacam² fesyen, eei.. aku pakai semua tu dulu? Kasut² lama yang dah berkulat yang kalau diberikan pada penagih dadah atau pencuri kasut pun diorang tak hendak. Radio buruk, cenderamata² yang tak boleh digunakan, negatif² gambar lama, kad² raya, kad harijadi, sampaikan surat² cinta dari 10 tahun lepas pun aku jumpa!

Almari baju pula hampir kosong aku kerjakan. Rasanya selama ni lebih separuh dari isi almari tu adalah baju² yang aku tak pakai. Ada antara pakaian² tu masih elok dan cantik lagi, tapi aku tak pakai sebab tak selesa. Yang peliknya, kenapalah aku beli baju tu dulu kalau dah tau tak selesa? Ada sesetengah pakaian tu pulak, samada aku baru pakai sekali atau tak pernah pakai langsung. Masa beli dulu muat lah, lepas tu belum sempat pakai, badan dah naik, pregnant pulak. Lepas bersalin, berat tak turun². Dulu berangan nak tunggu kurus baru nak pakai baju tu semua. Bila fikir balik, entah bila lah nak kurusnya, entah² takkan kurus pun. Daripada membazir membiarkan pakaian tu berlapuk tanpa dipakai, lebih baik aku bagi pada yang lebih memerlukan. Malas aku nak fikir berapa banyak duit aku dah laburkan atas pakaian tu semua. Aku anggap itu bukan rezeki aku. Memang dah ditakdirkan menjadi hak orang lain.

Baju² 'seksi' dari 'zaman gelap' dulu pun ada lagi. Aku tertanya² juga sendiri, kenapalah aku simpan lagi baju² tu? Macam lah aku nak pakai. Duduk di rumah pun aku tak ingin nak pakai lagi baju² tu. Nak buat kain buruk pun segan. Habis tu kenapa pula baju² tu masih dalam almari aku? Maka selamatlah baju² 'zaman gelap' tu masuk ke 'tong gelap'. Tak mau aku bagi orang baju² tu, dibuatnya ada perempuan 'menyeksi' dengan baju aku tu, sia² aku pun dapat dosa jugak. Dosa² yang ada ni pun tak tertanggung, tak terpikul dek bahu.

Hari ni setelah aku singkirkan segala 'sampah-sarap' dari rumah, terasa lebih banyak ruang dalam rumah aku, terasa segar udara yang kuhirup, tenang jiwa aku, aman hidup aku. Malah hati aku berbunga² bila Abang balik rumah, buka pintu dan berkata "Waaahhh..." sambil mengangguk² kepala dengan senyuman dibibir pabila melihat suasana rumah yang kini berbeza, pastinya lebih selesa, lebih sedap mata memandang. Lalu aku menambah satu lagi azam untuk tahun ini, iaitu untuk tidak menambah dan menyimpan lagi sampah sarap dalam hidup kami.

Wednesday, January 05, 2005

KEMBALI

Ya. Aku kembali.
Sebulan berlalu. Banyak perkara yang ada dalam kepala aku ni, tapi aku tak tau yang mana aku nak tulis dulu. Walaupun dah 4 hari berlalu semenjak aku berhenti kerja, aku masih tak berkesempatan untuk update blog ni. Bukan aku malas. Bukan tak ada idea. Tapi buat masa ni, aku banyak habiskan masa melandaikan 'gunung kain baju tak berlipat' yang ada di ruang tamu rumah aku, filing bil², penyata akaun dan penyata hutang piutang yang dah berbulan² aku biarkan bersusun hampir sama tinggi dengan Raha. Belum lagi aku bersihkan habuk setebal make-up pelakon opera yang melekat pada rak buku, pinggan mangkuk, atas dapur, atas peti sejuk dan di serata ceruk rumah aku. Kalau aku senaraikan semua, dibuatnya mak mentua aku baca, mahu dia kata "Iskk iskk isskk.. yang ni ke aku pinangkan untuk anak aku dulu?"

Tiap kali aku online pulak, aku 'membersihkan' pula sampah sarap dalam mailbox aku. Sayang pulak aku nak delete terus semua, aku baca juga satu persatu. Dah beratus² aku baca dan delete. Masih beratus² juga yang aku belum baca. Sampai naik pening kepala, nak muntah pun ada.

Memandangkan ini posting pertama bagi tahun 2005, aku ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru buat semua teman² yang masih sudi mengunjungi blog aku ni. Meskipun 2004 berakhir dengan tragedi, meskipun kemurungan masih kita rasai, namun kehidupan harus kita teruskan. Jangan biarkan keazaman kita turut ditenggelami ombak ganas itu. Anggaplah ianya sebagai satu sebab mengapa kita harus berusaha lebih gigih memperbaiki keadaan hidup kita, agar kita dapat membantu mereka yang malang itu bukan sahaja hari ini, bukan sahaja bulan ini, malah untuk beberapa tahun akan datang, kerana aku merasakan dugaan dan kesengsaraan mereka bakal berpanjangan. Aku doakan mereka semua diberi kekuatan menempuh ujian Tuhan. Semoga 2005 menjanjikan rahmat, kebahagian, keriangan dan keberkatan berpanjangan buat mereka dan sahabat semua.